Search
Close this search box.

Kebijakan Dalam Kebajikan

Penulis: Furqan Abdullah

Saat ini, kita lihat badan kebajikan, yayasan dan NGO tumbuh bagaikan cendawan. Hampir semua orang berinisiatif untuk menjadi perantara bagi memudahkan orang ramai menyalurkan derma dan bantuan. Mereka lazimnya terdiri dalam kalangan penggiat seni, ahli politik, ahli perniagaan, pempengaruh, agamawan dan seumpamanya.

Dari sudut positif, lambakan badan kebajikan amat dialu-alukan dalam konteks perlumbaan untuk melakukan kebajikan sepertimana gesaan al-Quran.  Namun, jika kita memahami al-Quran secara menyeluruh, kerja kebajikan turut terikat dengan tatacara, disiplin dan peraturan yang digariskan. Atau dengan kata lain, perlu ada kebijakan dalam kebajikan.

Jika dipersoal, kenapalah susah sangat nak buat benda baik? Sehinggakan ada yang mendakwa, dalam beramal kebajikan, lakukan sahaja dan jangan banyak soal. Dakwaan ini mungkin benar dari sudut gesaan umum agama untuk kita melakukan kebaikan, tetapi bukankah Allah SWT tidak hanya menuntut kita sekadar berbuat amal biasa, namun amal yang terbaik (ahsan amal). Oleh sebab itulah ada disiplin, peraturan dan pantang larangnya.

Kebajikan Bermula Dengan Orang Terdekat

Pada asasnya, seseorang yang ingin melakukan kebajikan perlu mengusahakannya sendiri, iaitu dengan membantu ahli keluarga atau individu kurang berkemampuan yang berada di sekeliling mereka. Inilah keutamaan yang digariskan agama dalam memberi bantuan dan bersedekah, sementelah agama memang menganjurkan kita untuk berusaha dan berperangai bergantung kepada diri sendiri.

Namun, jika seseorang dermawan ingin membantu kelompok yang luar dari capaian mereka, maka di sinilah wujudnya peranan perantara atau wakil penderma dalam kalangan badan pengurusan kerja kebajikan.

Mereka berperanan untuk menyampaikan hasrat para dermawan untuk diserahkan kepada kelompok yang memerlukan bantuan. Sudah tentulah usaha dan kerja untuk mengenal pasti kelompok penerima sedekah memerlukan kos dan suntikan dana kewangan. Justeru, ada justifikasi untuk para pengurus dana kebajikan mengambil upah atau menerima sedikit bayaran atas usaha dan keringat mereka menjadi wakil kepada penderma.

Namun demikian, perkara ini jangan disalah erti seolah-olah mereka sewenang-wenangnya boleh mengambil hasil derma orang ramai atas nama upah atau kos pengurusan. Apatah lagi ada yang melampaui batas sehingga menjadikannya sebagai platform untuk meraih laba keuntungan bagi kepentingan diri sendiri. Mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

Panduan Umum Buat Kebajikan

Saya tidak berhasrat untuk mengulas berkenaan sesuatu kes tertentu yang sedang tular berkaitan salah guna wang derma, tetapi ingin memberi sedikit panduan umum yang mungkin praktikal dan sesuai diwacanakan dalam konteks semasa. Secara umumnya, kebijakan dalam berkebajikan dapat diterjemahkan apabila hal-hal berikut diteliti:

1. Ilmu pengetahuan, etika dan prinsip dalam berkebajikan, bukan hanya didasari dengan sentimen dan semangat semata-mata. Hal ini kerana kerja kebajikan pada asasnya adalah untuk menagih keredaan Allah dan memelihara kesejahteraan buat kemanusiaan dan alam sejagat.

2. Kesan dan implikasi secara menyeluruh turut perlu dititik beratkan di samping amal baik itu sendiri. Kerja kebajikan yang bermatlamat murni perlu disulami dengan cara dan gerak kerja yang berdisiplin dan teratur. Dalam hal ini aspek kesungguhan (itqan) dan ihsan adalah amat mustahak.

3. Niat yang ikhlas perlu diiringi perbuatan yang memenuhi prinsip syarak, dan syarak harus difahami dalam erti kata yang menyeluruh terutamanya aspek maqasid syariah berupa pemeliharaan agama, jiwa dan kehidupan, keturunan, akal fikiran, maruah dan juga harta. Ia turut meliputi kesemua pemegang taruh dalam dunia kebajikan iaitu penderma, wakil penderma dan juga penerima.

4. Dari sudut penderma, hendaklah difahami asas pemberian sedekah (secara umum) dalam Islam adalah perlu diutamakan kaum kerabat dan jiran tetangga terlebih dahulu, kerana ia menghimpunkan dua elemen kebaikan iaitu sedekah dan silaturrahim sebagaimana dalam hadis. Namun, sekiranya hendak dihulurkan menerusi sesebuah institusi kebajikan (dalam keadaan mereka tak berkesempatan menyalurkannya sendiri), perlu bersikap objektif dan kritikal dalam memilih pihak yang akan menguruskan sedekah kita. Adakah kita sanggup membiarkan wang derma hasil titik peluh pendapatan kita diurus dengan caca merba dan sewenang-wenangnya? Sebagaimana kita selalu bersikap kritikal terhadap pusat-pusat zakat, kenapa pula tidak boleh bersikap kritikal terhadap NGO dan yayasan?

5. Wakil penderma yang terdiri daripada individu, pihak NGO ataupun apa sahaja namanya perlu mengamalkan akhlak ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menguruskan derma yang mereka tagih dan agih. Sepertimana mereka giat mempromosikan kerja-kerja mereka untuk memperoleh dan mengumpul derma yang banyak, mereka juga perlu giat mempromosikan laporan penuh dan juga lebih baik laporan audit ke atas derma yang mereka kumpul.

Kita bukan hanya mahu melihat laporan dalam bentuk rakaman gambar dan video yang menyayat hati dengan latar muzik yang syahdu, akan tetapi kita mahu melihat sejauh mana keberkesanan dan keberhasilan wang yang didermakan. Setiap sen duit keluar masuk hendaklah dilaporkan. Hal ini kerana secara teknikal, akad (kontrak) yang terlibat secara umum adalah wakil yang dibenarkan untuk mengambil upah. Justeru, menjadi tanggungjawab wakil secara sama ada dari aspek hukum syarak mahupun perundangan sepatutnya memiliki rasa kebertanggungjawaban kerana hakikatnya segala derma yang disampaikan adalah amanah yang dimandatkan oleh penderma, bukan hak milik mutlak mereka.

6. Aspek tadbir urus (governance) adalah ukuran utama jika melibatkan harta awam, bukan setakat penampilan serta mulut manis pengutip derma. Kadangkala sesetengah manusia cenderung terpedaya dengan kelicikan dan kebijakan sebilangan pengutip derma, justeru berwaspadalah dan berhati-hatilah dalam banyak keadaan kerana belitan tipu daya iblis itu juga amat halus dan sukar sekali untuk dihidu.

7. Paling penting, waspada terhadap wakil penderma atau pihak NGO yang dilihat bermewah-mewahan dan bangga menayangkan koleksi harta peribadi eksklusif mereka, berkemungkinan besar itu adalah hasil daripada peratusan yang mereka ambil atas alasan ‘kos operasi’ ataupun dalam situasi yang lebih teruk mereka terlibat dengan aktiviti penggubahan wang (money laundering). Tidak dinafikan sebahagian mereka turut ada perniagaan ataupun perolehan pendapatan sendiri.

8. Khusus kepada pasukan media, jika hendak mengambil gambar atau merakam sesi pemberian bantuan, sebaik-baiknya mohon keizinan kepada penerima bantuan untuk diambil gambar, dan jika diizinkan tangkaplah gambar dengan kondisi yang seelok-eloknya dan dalam masa sama memelihara asas dan etika bergambar untuk tatapan umum seperti keadaan yang sopan (ataupun menutup aurat) dan seumpamanya. Ambil gambar seadanya yang bertujuan sebagai lampiran kepada laporan gerak kerja, bukan dijadikan satu-satunya alat promosi dan juga publisiti untuk meraih lebih banyak derma. Jika hendak disebarkan di media, kaburkan wajah mereka, ataupun buatlah apa sahaja perkara mustahak yang boleh mencapai maksud utama pemeliharaan maruah dan harga diri penerima bantuan.

9. Jangan sesekali mengeksploitasi keadaan kemiskinan dan kemelaratan untuk menagih pulangan samada dalam bentuk material mahupun populariti. Begitu juga jangan sesekali memanipulasikan sifat pemurah dan dermawan orang ramai, lalu pengutip derma melakukan sewenang-wenangnya hasil kutipan derma tanpa rasa bersalah walau sedikitpun.

10. Perlu ada intervensi pihak berautoriti dalam menetapkan kadar atau peratusan upah yang wajar diambil untuk pengurusan dana awam. Saya tidak pasti sejauh mana benarnya dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan Bank Negara membenarkan untuk mengambil 30% bagi membiayai kos pengurusan. Namun, saya secara peribadi belum berjaya menjumpai pekeliling atau peraturan rasmi yang dikeluarkan.

Oleh yang demikian, kebijakan dalam berkebajikan merupakan isu yang penting untuk dibicarakan saat ini. Perkara ini turut terpakai kepada semua jenis dan bentuk organisasi yang memungut dana awam (crowdfunding) sama ada yang berorientasikan keuntungan, tidak berorientasikan keuntungan, keagamaan (tak kira agama apapun), kebudayaan, kebajikan dan lain-lain.

Jangan salah faham pula, saya tidak berhasrat untuk menghasut orang untuk berburuk sangka terhadap kerja-kerja kebajikan. Namun, hantaran saya seperti biasa menggesa agar kita mengamalkan kewaspadaan yang tinggi dan berhati-hati agar tidak berterusan ditipu dan tertipu dengan segelintir pihak meskipun beperwatakan lebai. Maklumlah, dunia kita pada harini penuh dengan kerosakan dan penipuan secara terang-terangan.

Tindak tanduk pihak yang tidak bertanggungjawab ini sedikit sebanyak telah mendatangkan toksik kepada kerja-kerja kebajikan. Ia juga telah menyebabkan kerja kebajikan yang pada asalnya bersih, telus dan tulus telah dicemari dengan pelbagai kekotoran. Di samping itu, ia juga berpotensi menjejaskan gerak kerja yang dilakukan oleh pihak-pihak yang ikhlas, itqan dan ihsan tanpa orientasi dan kepentingan peribadi. Amalkan kebijaksanaan sewaktu melakukan kebajikan!

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *