Penulis: Imran Mohd Rasid
Tahun 2023 bakal menjelang beberapa hari lagi, dan sebagai pembaca tegar, saya meniatkan sebuah azam baru: Saya mahu membaca lebih kurang buku tahun depan. Ya, kurang, atau lebih sedikit berbanding tahun ini. Azam ini tentunya janggal bagi seseorang yang meminati dunia pembacaan. Pun begitu, lambakan buku yang dibaca, seperti lambakan buku yang bergelimpangan di reruai pesta buku Big Bad Wolf dan Selangor International Book Fair baru-baru ini, belum tentu menjadi penentu kualiti pembacaan terutamanya buat penuntut ilmu yang serius.

Beberapa bulan yang lepas, saya mengulang baca buku ahli falsafah Mortimer J. Adler, How to Read a Book, yang pertama kali terbit pada tahun 1940. Saya terkesan dengan sebuah pesan beliau: “In the case of good books, the point is not to see how many of them you can get through, but rather how many can get through to you.” Saya termenung bersendirian mengenangkan senarai panjang bahan bacaan yang telah saya baca sepanjang tahun ini, sebahagiannya secara pantas, dan sebahagian lain dengan merangkak. Bermacam persoalan mula timbul: Sejauh manakah buku-buku itu benar-benar memberi kesan mendalam kepada saya? Dan yang sama penting juga, yang mana antaranya yang benar-benar saya kuasai?
Membaca dalam dunia digital
Nicholas Car, penulis prolifik dari Amerika Syarikat, dalam eseinya di The Atlantic, Is Google Making Us Stupid? (2008) mengadu bahawa budaya pembacaan mendalam (deep reading) semakin sukar hari ini. “Suatu masa dahulu saya cukup senang untuk tenggelam dalam pembacaan buku atau artikel yang panjang.. Kini tidak lagi sedemikian. Sekarang tumpuan saya kerap terganggu selepas membaca dua atau tiga muka surat.”. “Bacaan mendalam (deep reading)” tambahnya lagi, “dahulunya seperti sesuatu yang lumrah kini menjadi satu kepayahan.” Apakah yang terjadi sebenarnya? Mengapa lambakan buku yang kita baca (selalunya secara runcit-runcitan, dan tidak penuh) semakin kurang bermakna hari ini?
Carr menyalahkan dunia digital yang mencemari budaya membaca hari ini. Dunia hari ini tidak saja terdiri dengan teknik-teknik bacaan pantas, bahkan dikelilingi keupayaan digital yang canggih dan serba boleh. Teks-teks berbentuk digital, melalui laman media sosial, e-book, dan artikel-artikel dalam talian, juga semakin lazim dan meluas. Sepertinya di media sosial (Twitter, Instagram, Facebook, etc), teknologi digital membiasakan untuk kita berinteraksi maklumat dan kandungan secara “mi segera”. Dengan hanya satu klik atau scroll kita boleh beralih ke maklumat yang lain tanpa menghadam maklumat sebelumnya dengan baik. Kandungan bacaan ala bite-size, mudah alih, dan tidak kompleks menjadi bacaan popular dalam dunia digital.
Budaya “pantas” dan “segera” sebegini (Digital Mindset), seperti yang dikaji oleh ramai ahli sains dan psikologi, kini menjadi default mindset bagi majoriti pembaca yang hidup dan membesar dalam dunia digital hari ini. Fenomena ini menjadi subjek penulisan ramai penulis dan ahli pendidik, misalnya Nicholas Car, The Shallows: What the Internet Is Doing to Our Brains; Susan Greenfiel, Mind Change: How Digital Technologies Are Leaving Their Mark on Our Brains (2015); Maryanne Wolf, Reader, Come Home: The Reading Brain in a Digital World (2018); Naomi Baron, We Read Now: Strategic Choices for Print, Screen, & Audio (2021), dan ramai lagi. Konklusi mereka sama: budaya digital telah mencemari ragam membaca sekaligus menjejaskan kualiti dan makna pembacaan massa hari ini.
Stamina membaca
Saya yakin saya juga terkesan dengan fenomena ini. Daya fokus dan stamina untuk membaca teks-teks berat semakin rendah dan menjadi sukar. “Membaca” juga menjadi lebih cenderung untuk mencari maklumat tertentu berbanding membentuk suatu kefahaman yang jitu. Saya sendiri adakalanya menjadi resah untuk menghabiskan sesuatu teks yang “panjang” serta mudah sekali terganggu untuk membaca teks lain sebelum menyudahkan sesuatu bacaan. Akibatnya disiplin pembacaan dan menuntut ilmu secara tidak sedar semakin terhakis. Saya yakin sekali mentaliti Twitter dan Facebook terkadang mengganggu fokus bacaan ramai pembaca hari ini.
Sebab itu penting untuk sesiapa yang menyifatkan diri mereka sebagai pembaca dan penuntut ilmu tegar agar cuba mendekati teks-teks yang berat dan sukar. Teks-teks seperti ini melatih kita untuk membaca lebih perlahan, lebih teliti, dan mendidik kita agar lebih sabar dalam menekuni maksud pengarang. Tidak semua idea boleh dibalut dengan kaedah “mi segera”.
Kitab al-Mukaddimah karangan Ibn Khaldun, misalnya, memerlukan daya fokus pembacaan yang berbeza dengan buku Sapiens karangan Yuval Noah Harari. Pembaca yang bagus ialah pembaca yang mempunyai stamina dan daya fokus yang sesuai dengan jenis bacaan yang hendak dibaca. Seni membaca yang mendalam dan aktif jangan dibiarkan terbunuh dengan mentaliti digital yang mencemari ragam membaca kita hari ini.
Oleh sebab itu tahun 2023 saya mahu membaca lebih sedikit jumlah buku berbanding tahun sebelumnya. Syaratnya ialah buku-buku yang sedikit itu harus mencabar daya fikir dan fokus saya, dan pembacaan yang dibuat harus secara aktif dan sistematik agar kandungannya dapat saya kuasai dengan baik. Pesan Adler juga: “You must tackle books that are beyond you, or, as we have said, books that are over your head. Only books of that sort will make you stretch your mind. And unless you stretch, you will not learn.”
Di tengah-tengah budaya teknologi lambak yang serba pantas dan dangkal ini, pembacaan perlahan dan mendalam ialah detox mujarab bagi melatih diri menjadi lebih anjal dan tegas apabila berdepan dengan arus teknologi yang mendatang.