Search
Close this search box.

Isu Pendidikan: Di Mana Ada Kemahuan Politik, Di Situ Ada Jalan

Penulis: Dr Sahul HM

Isu Cikgu Mohd Fadli Salleh (MFS) menggegarkan Malaysia minggu lepas. Beliau yang menegur kepincangan dalam sistem pendidikan, cuba ditekan dan diambil tindakan berdasarkan peruntukan dalam Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993 yang terpakai kepada semua penjawat awam di Malaysia. Namun, selepas bermesyuarat, Lembaga Tatatertib kemudian mendapati bahawa MFS tidak bersalah. Kita semua tahu, status tidak bersalah itu pastinya kerana campur tangan Perdana Menteri yang dikhabarkan menghubungi terus Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia untuk mengendalikan kes ini dengan cermat dan tidak menghukum. Siapa yang berani lawan bos besar?

Menjelang pilihanraya umum ini, tiada elit politik yang sengaja mahu memperjudikan nasib mereka hanya kerana kes sebegini yang sebenarnya bertitik-tolak daripada tercalarnya ego sesetengah pihak di peringkat atasan. Walau bagaimanapun, pembebasan MFS ini akan menjadi satu duluan yang menjadi ikutan. Adakah selepas ini para penjawat awam bebas untuk mengkritik dasar kerajaan yang dianggap tidak bijak dan tidak sesuai? Atau ini hanyalah ‘political stunt’ di musim pilihanraya untuk menunjukkan bahawa kerajaan memang sebenar-benarnya mendengar suara rakyat? Soalan ini hanya akan kita peroleh jawapannya selepas pilihanraya pada 19 November kelak.

Cikgu MFS sudah bebas, namun apakah isu yang dibangkitkannya itu akan dibincangkan dan diperhalusi secara serius? Itulah permasalahan fundamentalnya. Terlalu banyak isu dengan sistem persekolahan kita yang perlukan polisi-polisi yang berpijak di bumi nyata. Ia bukan sekadar lamunan dan impian daripada para penggubalnya yang duduk di Putrajaya tetapi perlu mengambil kira realiti di lapangan yang hanya difahami oleh para guru yang mengajar di sekolah. Para pemegang ijazah kedoktoran yang duduk dalam jawatankuasa penggubalan kurikulum misalnya, perlu mendalami dan meneliti kemampuan dan kemahuan pelajar secara makro, di semua peringkat sekolah dalam dan luar bandar, sebelum perubahan kurikulum dilaksanakan. Bukan semua teori dan dapatan daripada kajian Phd itu boleh dilaksanakan dalam semua kondisi dan dalam setiap tempat di Malaysia ini.

Sebelum kurikulum digubal atau dipinda, kita perlu membuat keputusan yang tuntas, pendidikan yang bagaimana kita mahukan sebenarnya?

Kita ingin mengejar sains teknologi untuk memenuhi cabaran IR4.0, tapi jam pengajaran yang berkaitan di sekolah masih rendah. Jumlah guru pun masih belum benar-benar cukup. Kita ada ramai graduan, tetapi tidak mendapat penempatan sebagai guru. Makmal sains dan makmal komputer masih belum tip-top keadaannya. 

Impian kita ingin mendedahkan murid ke pertandingan sains teknologi sering sahaja terkandas usahanya kerana biaya sekolah yang terhad. Kalau biayanya cukup, waktu dan keberadaan gurunya pula menjadi masalah. Turunlah ke sekolah dan dengarkan sendiri dengan telus dan tulus rungutan sesetengah guru yang bersemangat memimpin muridnya ke pertandingan sains dan teknologi, tetapi sering terkandas kerana kekangan biaya atau juga kecenderungan pentadbir atasan yang tidak gemar gurunya meninggalkan kelas ketika Pdpc berlangsung. Jadi, apakah penyelesaian bagi hal ini? 

Selain itu, pada masa kita mengejar sains dan teknologi, kita dikejutkan pula dengan pelbagai isu moral dan kebejatan sosial anak-anak kita. Anak-anak yang tak cukup kasih sayang di rumah, mencari escapism di luar rumah. Ditambah pula dengan akses kepada internet dan telefon pintar yang menjadikan mereka berpotensi menjadi semakin bebas dan liar.

Mana satu yang kita perlu utamakan sekarang ini? Pendidikan sains teknologi atau pendidikan berteraskan kemanusiaan (nilai)? Mesti ramai yang menjawab, kita mahukan kedua-duanya. Cari jalan tengah.

Pada penulis secara peribadi, yang paling utama adalah pendidikan kemanusiaan dahulu, sebelum sains teknologi. Kerana apa? Kerana kita perlukan manusia yang ‘baik dan berkredibeliti’ untuk menguruskan kemajuan sains teknologi tersebut. Kita perlukan manusia yang berperikemanusiaan untuk mendepani cabaran perkembangan global. Manusia lebih utama daripada robot. Manusialah yang mentadbir robot, bukan robot yang menguasai manusia. Kita perlukan manusia yang menjauhi rasuah yang memusnahkan kemanusiaan. Kita perlukan manusia yang mengutamakan nilai kolektivisme berbanding individualisme.

Bagaimanakan caranya untuk mencapai semua ini? Hanya satu jalan, politik! ‘Political will’, dalam bahasa Melayunya, kemahuan politik. Barangkali ada yang tidak bersetuju dan menghujahkan, “ah, semuanya ingin dipolitikkan!” Tidak, bukan dipolitikkan. Tetapi pendidikan negara adalah produk daripada tindakan dan kemahuan sistem politiknya. Sang penguasa bisa menentukan bentuk kurikulum yang diinginkannya. Sang penguasa bisa pula menentukan jumlah biaya yang diperuntukkan kepada pembangunan pendidikannya. Lebih daripada itu, penguasa itu jugalah yang berupaya menentukan batas kebebasan dan ketelusan yang boleh dinikmati oleh para guru yang menjadi ejen utama pembina bangsa dan negara, yang bertindak selaku pelaksana segala kemahuan penguasa melalui dokumen yang dipanggil sebagai dasar pendidikan atau pelan pendidikan negara. 

Jika politiknya berteraskan komunisme, maka ideologi itulah yang akan diterapkan dan diindoktrinasikan kepada para anak-anak muridnya. Jika mahu membentuk masyarakat yang sekular, begitu pula ia dibentur melalui pendidikannya. Jika mahukan generasi yang beragama, pendidikannya juga akan dicorakkan menurut peraturan dan nilai agama. Jika kapitalisme yang menjadi pegangan, maka begitu jugalah pendekatan dan falsafah yang diterapkan dalam sistem pendidikannya. Demikianlah penguasa sesebuah negara itu berkemampuan penuh dalam mengawal dan mencorakkan pendidikan dalam negaranya. Kerana itulah penulis katakan, kemahuan politik itulah kunci kepada segala pintu kesulitan yang menghalang kemajuan dan pembangunan dalam negara kita. Di bumi ini, selepas kuasa Tuhan, kuasa politiklah yang mengatur segala urusan manusia, sama ada ke arah yang memberikan manfaat atau yang mendatangkan mudarat. 

Dalam negara Malaysia ini, memang menyedihkan apabila kita masih perlu berbahas tentang isu fundamental pendidikan selepas hampir 60 tahun menubuhkan negara moden. Kita berbicara tentang kemajuan di Finland, di Jepun dan di Singapura misalnya, tetapi terlupa dan terlepas pandang akan realiti yang membelit negara kita. Di mana ada kemahuan politik, di situ ada jalan.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *