Search
Close this search box.

Perihal Buku dan Membaca di Era Digital: Suatu Refleksi

Penulis: Juliyana Junaidi

Devices are not dangerous for literature. People can be dangerous for literature. People for example, who do not read. – Laszlo Krasznahorkai

Membaca merupakan suatu aktiviti yang memerlukan daya fokus yang tinggi, renungan yang tajam, dan kadangkala boleh juga sehingga menyebabkan pergolakan diri apabila berhadapan dengan pendapat yang pelbagai. Dalam zaman media sosial yang serba visual dan pantas, infografik dan video singkat berdurasi 10 ke 30 saat nampaknya lebih menarik perhatian masyarakat lalu mengakibatkan aktiviti membaca boleh menjadi sukar.  Media sosial mengakibatkan individu mengalami jangka masa perhatian yang pendek (short attention span) sekiranya mereka secara berterusan menggunakan media sosial dan boleh secara bebasnya untuk scroll away terhadap mana-mana kandungan yang mereka tidak berminat.

Rutin ini memberi kesan kepada daya tumpuan seseorang individu. Kalau dahulu membaca dua muka surat tidak menjadi masalah. Namun kini, artikel ilmiah yang tidak begitu panjang juga ada permintaan untuk diringkaskan mahupun digrafikkan. Paling merisaukan, ada yang mempersoalkan kepentingan membaca apabila alternatif lain seperti video sudah ada dan beranggapan ia sudah cukup untuk menawarkan ilmu.

Media sosial seperti Tiktok dan Twitter menjadi rutin harian dan medium mendapatkan maklumat dengan pantas. Namun begitu, medium ini membenarkan fragmented learning atau debris learning berlaku. Debris learning ialah keadaan apabila seseorang individu mempelajari sesuatu ilmu secara terpisah-pisah dan tidak melalui disiplin ilmu yang tepat. Lebih malang apabila seseorang yang menonton satu video yang ‘ilmiah’ di media sosial tersebut telah menganggap dirinya menguasai cakupan ilmu sesuatu bidang, walhal sebenarnya ia hanyalah secebis kecil daripada ilmu yang tidak menggambarkan keseluruhan body of knowledge. Individu yang tidak melalui proses pembacaan teliti dan disiplin ilmu akan memberi kesan kepada cara berfikir yang pincang dan bersikap reaktif terhadap sesuatu isu tanpa membahaskannya secara ilmiah. Maka benarlah kata Laszlo Krasznahorkai, “Devices are not dangerous for literature. People can be dangerous for literature. People for example, who do not read.”

Satu forum bertajuk ‘Perihal Buku dan Membaca di Era Digital’ telah diadakan yang mana panelisnya merupakan dua individu yang sudah lama berkecimpung dalam bidang penulisan, penterjemahan dan industri buku iaitu Puan Fazleena Hishamuddin, penulis, dan penggiat seni tanah air serta Tuan Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, Penterjemah dan Ketua Pengarang Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Antara isu yang menjadi topik perbincangan adalah berkenaan kerelevenan buku yang tebal dalam era ini, pemasaran buku untuk tujuan komersial, buku fizikal vs e-book dan beberapa topik lain. Forum ini bertujuan menyingkap perbahasan sekitar aktiviti membaca dan industri buku dalam dunia digital serba pantas, mengupas relevansi buku fizikal serta menelusuri dinamika hubungan antara e-book dengan buku fizikal.

Menurut saudara Mustaqeem, buku tebal masih relevan dalam era ini kerana ia banyak digunakan sebagai rujukan. Tambahan lagi, buku yang bergenre biografi juga tidak dapat tidak memerlukan penulisan yang komprehensif justeru memerlukan penulisan yang panjang. Sebagai contoh, IBDE sendiri banyak menerbitkan buku biografi seperti karya terjemahan Martin Lings berkenaan biografi Nabi Muhammad dan biografi Abu Bakr As-Siddiq terjemahan karya Muhammad Hussein Haikal. Buku-buku ini masih mendapat tempat dalam kalangan pembaca.

Selain daripada itu, berkenaan pemasaran untuk tujuan komersil, Fazleena Hishamuddin berpendapat bahawa kewujudan media sosial seperti Twitter dan Tiktok dapat membantu memperkenalkan karya-karya terbaru kepada para pembaca. Menurut beliau, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang lalu, penerbit yang paling laku jualannya didapati kerap memuatnaik snippet dan reviu daripada pembaca untuk mempromosi karya-karya penerbitan mereka. Melalui video ringkas di Tiktok mahupun ciapan di Twitter, penggemar buku dapat menilai sama ada buku tersebut berbaloi untuk dibeli dan dijadikan koleksi tanpa perlu turun ke kedai buku dan memantau isi kandungannya. Tambahan lagi, penulis sendiri boleh mempromosi karya yang mereka dengan memuatnaik video di sebalik tabir proses penulisan, dan juga fakta menarik sepanjang proses menulis. Namun begitu, pendapat ini bercanggahan dengan Tuan Mustaqeem yang mana beliau beranggapan bahawa penulis yang sebenar tidak akan melibatkan diri dalam proses tersebut. Penulis tidak perlu terlibat dalam urusan mempromosi yang kebiasaannya akan dilakukan oleh pihak penerbit. 

Perbezaan pendapat tersebut sebenarnya adalah berpunca daripada latar belakang individu yang berbeza. Fazleena yang merupakan seorang penggiat seni tanah air, penulis puisi dan cerpen sering mendapat inspirasi melalui renungan kemasyarakatan dan keterlibatan beliau dengan industri seni. Karya-karya beliau mungkin tidak dikira seserius, dan seberat karya biografi yang melibatkan banyak fakta. Ianya berbeza dengan saudara Mustaqeem yang merupakan penterjemah buku biografi Nabi Muhammad yang sarat dengan fakta dan maklumat. Beliau juga merupakan Ketua Pengarang IBDE yang terkenal dengan karya-karya berat seperti biografi tokoh-tokoh dunia, buku-buku falsafah, agama dan politik yang memerlukan penyelidikan dan daya tumpuan yang tinggi. Justeru, berkemungkinan perspektif beliau bahawa penulis perlu mempromosi karya sendiri itu tidak relevan dan menganggap waktu yang diluangkan lebih elok digunakan untuk mengusahakan karya yang seterusnya.

Pembaca secara amnya boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pembaca aktif dan pasif; pembaca pasif berkecenderungan menggunakan buku secara santai untuk memenuhi masa lapang melalui pembacaan buku fiksyen, novel, majalah, mahupun newsgroup (kumpulan berita). Pembaca aktif pula banyak membuat analisis yang kritis terhadap karya yang dibaca. 

Perbahasan sama ada buku fizikal terancam dengan kewujudan e-book wujud sejak 2003 apabila peranti e-buku dicipta. Golongan professional ataupun pembaca aktif merupakan sasaran awal e-book memandangkan mereka paling banyak membaca dan membuat rujukan. Penggunaan e-book agak popular dalam kalangan pembaca aktif kerana mereka memerlukan buku yang banyak untuk mencari bahan yang relevan. Kadangkala, buku ini tidak dibaca secara keseluruhan tetapi digunakan untuk tujuan rujukan. Antara kelebihan e-book adalah saiznya yang kompak, yang dapat memuatkan beratus buku dalam sebuah peranti berbanding buku fizikal yang memerlukan ruang yang besar. Selain itu, e-book juga menawarkan kemudahan hyperlink dan pencarian kata kunci serta pembaca boleh memasukkan catatan sepanjang pembacaan. Namun begitu, e-book juga ada kelemahannya seperti mengakibatkan mata menjadi lesu disebabkan pancaran skrin dan ianya memerlukan kuasa bateri ataupun elektrik.

Dalam masa yang sama, kertas masih tetap ada nilainya dan masih menjadi pilihan ramai pembaca atas faktor sentimental, elemen menyelak helaian kertas yang tidak dapat dirasai sekiranya menggunakan e-book dan pelbagai faktor lain. Pesta buku yang diadakan saban tahun merupakan antara bukti buku fizikal masih lagi relevan dalam kalangan pembaca. Buku-buku langka juga masih ada peminatnya yang tersendiri dimana pengumpul koleksi karya penerbitan terawal mendapat kepuasan peribadi sekiranya dapat memiliki karya tersebut. Sebagaimana buku fizikal tidak patut dianggap sebagai sudah mati, e-book juga tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman bahkan pelengkap kepada industri buku. Kedua-duanya saling mewarnai hidup pembaca kerana pada akhirnya, tujuan agung di sebalik buku fizikal dan e-book adalah untuk memastikan ilmu itu disebarkan melalui penulisan. Maka bertepatanlah dengan kata-kata J.K Rowling, penulis prolifik karya Harry Potter: “We should be delighted people still want to read, be it on a kindle or a nook or whatever the latest device is”.

Begitulah.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *