Penulis: Dr Sahul HM
1. Kenali penulis atau pembicaranya. Dalam zaman internet, zaman googlephile ini, segala maklumat boleh dicari dengan sedikit usaha tambahan. Mengapa perlu kenal penulisnya? Ini penting kerana setiap penulis mempunyai ideologinya, pegangan politiknya dan kecenderungannya. Dalam sejarah, ada satu falsafah yang disebut, “before you read history, read historian.” Kalau penulis itu dikenali sebagai aktivis parti A, maka tulisannya pasti cenderung kepada parti A. Demikian juga jika seseorang itu daripada aliran tertentu, pastinya dia cenderung untuk mengangkat aliran yang dipegangnya.
2. Semak sumber. Sebagai orang yang bijak, kita perlu menyemak sumber rujukan yang digunakan oleh penulis atau pembicara. Adakah sumber tersebut sahih? Relevankah sumber itu? Jika sebarang tuduhan atau dakwaan tidak berserta sebarang sumber rujukan, maka tulisan atau bicara itu terdedah kepada keraguan yang munasabah.
3. Semak silang. Jika ada kemampuan, dapatkan sumber penulisan lain atau pandangan lain yang bisa digunakan untuk mengimbangi pandangan yang dibaca atau didengari tersebut. Timbang dan bandingkan. Sentiasa beringat bahawa, orang yang menulis atau berbicara itulah yang perlu membuktikan hal yang didakwanya, bukan sebaliknya. Beban pembuktian terletak kepada orang yang berbicara atau menulis tersebut, bukan kita yang membaca atau mendengarnya.
4. Kenal pasti perkara yang ‘too good to be true’. Jika sesuatu itu terlalu muluk, terlalu mulia, terlalu ajaib atau juga terlalu buruk dan terlalu jahat, maka ia perlu membangkitkan rasa sangsi dan prejudis kita. Jika bicara atau tulisan itu terlalu memuji sebelah pihak atau asyik menyelar sebelah pihak, maka ia perlu diwaspadai. Hal ini terpakai juga dalam tawaran perniagaan, promosi atau pembelian barangan misalnya. Berhati-hatilah dengan tawaran sedemikian. Kaji lebih lanjut, rujuk dengan orang yang berpengetahuan.
5. Waspada terhadap segala perkara yang berjenama agama. Ini bukan bermakna kita perlu sangsi dengan agama tetapi, berhati-hati dengan mereka yang hadir dengan antara muka (interface) agama. Ramai yang mudah terpedaya dengan pakaian dan hiasan agama. “Takkanlah tok lebai nak menipu”, katanya. Ya, tok lebailah yang banyak menipu dan lebih senang menipu kerana kita mudah terpesona dengan imej agama. Kalau tidak takkanlah ramai yang terpedaya dengan pakej umrah atau haji sehingga terkandas di lapangan terbang!
6. Pegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan tertinggi. Setiap Muslim perlu diberikan kefahaman bahawa dalam apa jua perbincangan, perbahasan mahupun pertelingkahan, ia hendaklah ditimbang melalui neraca al-Quran dan timbangan al-Sunnah. Setiap perkara yang menyanggahi nas syarak dan maqasidnya, menafikan tuntutan tauhid, menyeleweng daripada manhaj salafussoleh dan pegangan ulama muktabar, maka ia tertolak meskipun pada zahirnya ia kelihatan seakan-akan sebahagian daripada ajaran Islam. Kita tidak berpengetahuan tentang kaedah berhubungan dengan Tuhan, kecuali apa-apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Jadi jangan memandai-mandai!
7. Sematkan dalam diri: semua manusia asalnya baik. Semua manusia dilahirkan dengan fitrahnya menghargai hubungan antara manusia, hinggalah munculnya cara fikir yang berbeza mengikut cara mereka dibesarkan. Seseorang itu relatif baik kecuali apabila kita menyentuh dan memperlekehkan agamanya, kaumnya dan pemimpinnya. Dalam konteks Malaysia, inilah negara dan rupa manusia yang ada di dalamnya. Kita semua hidup saling memerlukan. Dari makanan sampailah kepada pemerintahan, semuanya berfungsi secara mutual dan simbiotik. Warga Malaysia, hidupnya seumpama satu rantaian yang besar, putus mana-mana satu mata rantainya, maka berderailah keseluruhan yang lain.