Search
Close this search box.

7 Tips Mengelak Ditipu Politikus

Penulis: Luqman Tarmizi

Tanpa menafikan masih ramai ahli politik yang amanah dan jujur, terlalu ramai di luar sana politikus yang terkenal dengan sikap menipu tanpa rasa malu. Malangnya, rakyat dan pengundi sering membiarkan mereka terlepas daripada hukuman akibat daripada penipuan yang mereka lakukan. Mungkin mereka beranggapan menipu itu bukan dosa besar dalam politik. Mungkin juga kerana pemimpin yang disokong itu lebih kurang menipu berbanding lawannya.

Tidak kurang juga yang merelakan diri untuk ditipu. Kata Niccolò Machiavelli: “One who deceives will always find those who allow themselves to be deceived.” Seorang penipu akan sentiasa mendapati mangsa yang rela ditipu.

Dalam satu kajian yang dilakukan, mantan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump didapati telah menipu atau membuat dakwaan mengelirukan sebanyak 30,000 kali sepanjang 4 tahun menjadi Presiden, dengan purata sebanyak 20 penipuan sehari. Betapa pekatnya sifat penipu begini pun, puluhan juta yang mengundi, dan ramai juga masih setia dengannya hingga sekarang.

Namun makalah ini tidak hendak berbincang tentang mengapa ramai orang merelakan diri mereka ditipu ahli politik. Artikel ini cuma ingin berkongsi tentang cara bagaimana mengelakkan diri daripada ditipu politikus, atau sekurang-kurangnya menyedarkan diri bahawa kita sebenarnya telah ditipu.

1. Sematkan dalam diri: Motif utama politikus dalam ranah siasah ialah kuasa

Betapa alim wataknya, betapa merendah diri perwatakannya, betapa sederhana asal-usulnya, betapa berapi-api ucapannya, jika dia itu bergelar ahli politik, kita mesti letakkan bahawa motifnya ialah undi dan kuasa, hinggalah dibuktikan sebaliknya, hinggalah ternyata niatnya tulus ikhlas tanpa bermatlamat mengaut kepentingan peribadi.

Bagi merebut kuasa, menipu boleh jadi jalan mudah kepada sebahagian daripada mereka untuk memperoleh undi daripada kita. Jadi jangan biarkan penampilan mereka mempengaruhi pembuatan keputusan kita.

2. Belajar bertanya soalan kritis

Ilmu itu lazimnya bermula dengan soalan yang baik. Bertanya soalan bukan tugas wartawan sahaja, tapi tanggungjawab setiap rakyat yang patriotik.

Tatkala mereka ingin mengenakan pelaksanaan darurat dahulu, adakah kita telah bertanya: Benarkah ini cara paling efisien untuk mengekang penularan wabak korona? Atau darurat ini helah untuk mengelak parlimen daripada bersidang?

Jika mereka ingin laksanakan GST dengan alasan untuk menambah pendapatan negara, tanyakan mereka: Apakah sudah tiada cara lain untuk menambah kantung negara? Adakah sudah dikaji pelaksanaannya supaya tidak membebankan rakyat?

Jika ada pihak berkempen untuk menurunkan harga barang, tanyakan kembali: Apa perancangan mereka untuk berbuat demikian? Bagaimana jika krisis harga barang itu berpunca daripada faktor luaran dan seluruh dunia terkesan dengannya?

Susah ahli politik nak menipu kalau mereka tahu kita akan sentiasa mengasak mereka dengan soalan-soalan begini.

3. Berhati-hati dengan kenyataan di luar konteks

Boleh jadi suatu fakta itu benar, tapi sengaja dilontarkan tanpa konteks yang tepat. Dalam hal ini ia bertukar kepada half-truth (separa kebenaran), yang kadang-kala lebih berbahaya berbanding penipuan itu sendiri.

Di media sosial, kita sering baca perlian netizen bahawa sepanjang 22 bulan PH mentadbir, mereka gagal tunaikan janji menurunkan harga minyak ke RM1.50 seliter. Carian pantas di Google akan memberi jawapan bahawa ia merupakan manifesto lama, bukannya manifesto untuk PRU13. Begitu juga perbandingan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bernilai RM1000 dengan kredit RM30 untuk akaun e-wallet, yang menatijahkan tohmahan bahawa PH tidak beri apa-apa bantuan tunai kepada rakyat melainkan RM30 itu sahaja.

Konteks amat penting dalam membezakan antara propaganda murahan dengan fakta kebenaran.

4. Tapis maklumat dan pelbagaikan sumber berita.

Bagi penduduk di pedalaman yang masih bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana, kekurangan maklumat ialah punca mereka ditipu. Tapi bagi kebanyakan rakyat, terutamanya di bandar dan pinggir bandar, akses maklumat bukan lagi satu masalah, berkat pengenal media sosial dan kemajuan teknologi. Tapi muncul pula masalah baru: kita disuap dengan timbunan maklumat yang bercampur antara mutiara dan sampah-sarap.

Kata E.O Wilson: “We are drowning in information, while starving for wisdom.” Maklumat terlampau banyak, hingga susah nak tentukan mana yang betul, mana yang salah.

Jadi apa nak buat? Rajinkan diri untuk pastikan kesahihan suatu maklumat. Banyakkan membaca, jangan telan bulat-bulat berita yang dibaca.

Pilih beberapa laman sesawang yang dipercayai dan diyakini bebas untuk dijadikan sumber berita. Pelbagaikan sumber untuk memudahkan pengesahan maklumat dan perbandingan naratif.

5. Jangan mudah terpedaya dengan slogan dan catchphrase

Sesetengah slogan atau catchphrase memang mudah menarik perhatian dan melekat lama dalam memori. Dalam dunia hiburan, catchphrase ini memainkan peranan penting dalam menentukan populariti sesebuah lagu. Terkadang lagu itu tidaklah sedap mana, tapi kerana catchphrase yang menarik, ia melekat dalam minda.

Dalam politik juga begitu. Ada slogan yang kedengaran hebat dan sering diulang, tapi ia sekadar slogan kosong yang tiada apa-apa makna. Ada juga slogan yang dijaja kesana-kesini, tapi maknanya diselewengkan 180 darjah.

Pada PRU kelak, akan ada pihak yang berkempen atas slogan ‘kestabilan’. Tapi jangan tertipu, kerana makna ‘stabil’ bagi mereka bukan ‘stabil’ yang kita fahami. Stabil bagi kita ialah kos hidup yang rendah, wujudnya peluang pekerjaan dan dasar kerajaan yang jelas. Tapi stabil bagi mereka ialah majoriti kerajaan yang maha besar, pembangkang yang lemah dan rakyat yang pasif, sekaligus membuka ruang untuk mereka merompak hasil mahsul negara tanpa pengawasan.

Ada juga politikus yang sangat suka mengulang ayat “jangan politikkan isu ini!” Ayat yang secara zahirnya kedengaran begitu patriotis dan neutral sekali. Tapi bukankah itu sendiri merupakan satu kenyataan yang bersifat politik? Bukankah melarang orang daripada membangkang sesuatu polisi yang dibuat oleh ahli politik itu merupakan satu perbuatan mempolitikkan isu?

6. Belajar ilmu logik untuk mengesan falasi dalam berhujah.

Secara mudahnya, falasi merujuk kepada kesalahan dari sudut ilmu logik dalam penghujahan. Ia mungkin berasal daripada perkataan Latin fallere yang bermaksud menipu, memesongkan atau membuat muslihat.

Ada tokoh politik yang ketika berceramah berapi-api membidas pihak lawan. Ligat mengatur ayat dan menyusun hujah. Tapi hati-hati, kerana boleh jadi hujahnya itu semata-mata putar belit dan pemesongan.

Latih akal kita untuk membezakan antara hujah yang ampuh dengan falasi yang rapuh. Jika kita betul-betul berwaspada, kita akan berjaya mengesan satu persatu falasi yang dibuat oleh politikus.

Serangan peribadi (ad hominem), mengalihkan perhatian daripada isu sebenar (red-herring fallacy), cubaan meraih simpati (appeal to pity) merupakan sebahagian kecil daripada contoh falasi yang sering dibuat politikus.

7. Akui kelemahan sebagai manusia. Kita ini memang mudah tertipu.

Apabila sedar, jangan malu untuk mengaku bahawa kita telah tertipu. Jika tidak kita akan terus tenggelam dan lemah dalam lohong hitam pembohongan. Kita akan terus menelan apa saja kata dusta ahli politik.

Ditipu atau tertipu kerana kealpaan itu boleh dimaafkan. Tapi merelakan diri untuk terus menerus ditipu, enggan mengaku bahawa dia telah ditipu dan tetap mengangkat penipu sebagai pemimpin, itu satu kebodohan dan kefasikan. Jangan jadi seperti pengikut Firaun:

فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ

Maksudnya: Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka patuh dan tunduk kepadanya; sesungguhnya mereka itu ialah golongan yang fasik.

Surah al-Zukhruf (54)

Rujukan dan Bacaan Lanjut

https://fee.org/articles/7-tips-for-finding-truth-in-a-world-of-clickbait-and-propaganda/

https://theconversation.com/we-know-politicians-lie-but-do-we-care-176578

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *