Search
Close this search box.

7 Falasi Logik Golongan Penolak Kebenaran Menurut al-Quran

Penulis: Luqman Tarmizi

Secara mudahnya, falasi merujuk kepada kesalahan dalam penghujahan. Ia mungkin berasal daripada perkataan Latin fallere yang bermaksud menipu, memesongkan atau membuat muslihat.

Falasi terbahagi kepada dua: Falasi formal yang merujuk kepada falasi dari sudut bentuk dan susunan hujah, manakala falasi tidak formal merujuk kepada isi kandungan hujah itu sendiri.

Al-Quran sebagai kitab hidayah dan sumber ilmu bagi seluruh manusia telah merakamkan pelbagai bentuk falasi yang telah dilakukan oleh pelbagai puak dan masyarakat yang degil ketika berdepan dengan dakwah Islam yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul.

Berikut merupakan sebahagian daripada falasi yang dirakamkan oleh al-Quran:

1. Argumentum Ad Hominem

Atau dalam bahasa mudahnya, serangan peribadi yang langsung tidak berkait dengan pandangan atau hujah yang dibawa pihak lawan. Nabi Musa A.S merupakan salah seorang mangsa kepada falasi ini. Firaun dengan angkuhnya berucap di hadapan kaumnya dengan berkata:

أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِّنْ هَٰذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ

Maksudnya: Bukankah aku lebih baik daripada orang ini (Musa) yang dibuang terhina dan tidak pula mampu bercakap dengan jelas?

Surah al-Zukhruf (52)

Nabi Musa diperlekehkan, hanya kerana Baginda berbangsa Yahudi dan kurang fasih berhujah dalam bahasa Qibti. Peringatan Tuhan yang dibawa Nabi Musa dibakulsampahkan begitu sahaja oleh Firaun.

2. Argumentum Ad Baculum

Secara literalnya, baculum bermaksud batang kayu. Maka, falasi ini bermaksud berhujah dengan batang kayu, iaitu mengancam pihak lawan dengan kekerasan. Inilah perangai diktator dan masyarakat jahil zaman berzaman; setelah kering hujah, tiada yang tinggal melainkan kuasa dan kekerasan. Quran merakamkan perangai hodoh suatu kaum ini tatkala mereka berdepan dengan dakwah ke arah kebaikan:

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ ۖ لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Penduduk bandar itu berkata kepada para pendakwah tersebut: Kami telah dirundung malang kerana kamu. Jika kamu tidak tidak berhenti menyeru kami, kami pasti akan merejam kamu dan kamu akan merasai seksaan pedih oleh kami.

Surah Yasin (18)

Bahkan Nabi Ibrahim tidak hanya diancam, tapi benar-benar dicampak ke dalam unggun api yang maha besar oleh kaumnya, setelah lidah mereka kelu mendengarkan hujahan kuat Baginda (Rujuk Surah al-Anbiya’, ayat 68)

3. Argumentum Ad Misericordiam (Appeal to Pity or Guilt)

Antara nama lainnya ialah argumentum ad misericordiam, sob story atau Galileo argument. Ini merupakan cubaan meraih simpati atau menimbulkan rasa bersalah kepada pihak lawan. Firaun pernah mencuba taktik ini terhadap Nabi Musa:

فَأْتِيَا فِرْعَوْنَ فَقُولَا إِنَّا رَسُولُ رَبِّ الْعَالَمِينَ ‎﴿١٦﴾‏ أَنْ أَرْسِلْ مَعَنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ ‎﴿١٧﴾‏ قَالَ أَلَمْ نُرَبِّكَ فِينَا وَلِيدًا وَلَبِثْتَ فِينَا مِنْ عُمُرِكَ سِنِينَ ‎﴿١٨﴾

Maksudnya: “Maka pergilah kamu kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: sesungguhnya kami ialah utusan Tuhan sekalian alam, yang menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israel dan mengikut kami”. (17) Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baharu lahir, serta engkau telah tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu? (18)

Surah al-Syu’ara’ (16-18)

4. Argumentum Ad Crumenam (Appeal to wealth)

Menyimpulkan bahawa kebenaran sesuatu hujah adalah berdasarkan kepada status kekayaan pemilik hujah tersebut. Seruan Rasulullah SAW ditolak dan kenabian Baginda diragui, antara lain adalah kerana Baginda bukannya golongan bangsawan kaya:

وَقَالُوا لَوْلَا نُزِّلَ هَٰذَا الْقُرْآنُ عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Kalaulah Al-Quran ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka sepatutnya Al-Quran ini diturunkan kepada seorang pembesar yang kaya dan berpengaruh dari salah sebuah dua bandar yang terkenal itu.

Surah al-Zukhruf (31)

5. Argumentum ad Antiquitatem (Appeal to tradition)

Tanggapan bahawa oleh kerana suatu perkara itu merupakan tradisi yang telah lama diamalkan sejak zaman-berzaman, pastilah ia benar. Hujah ini digunakan berulang-kali oleh umat manusia yang bertaqlid buta kepada tradisi sejak zaman-berzaman. Antara dialog yang dirakamkan oleh al-Quran adalah seperti:

قَالَ هَلْ يَسْمَعُونَكُمْ إِذْ تَدْعُونَ ‎

أَوْ يَنفَعُونَكُمْ أَوْ يَضُرُّونَ ‏

قَالُوا بَلْ وَجَدْنَا آبَاءَنَا كَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Maksudnya: Nabi Ibrahim bertanya: “Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya? (72) “Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?” (73) Mereka menjawab: “(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian”.

Surah al-Syu’ara’ (74)

6. Moving the Goalposts (Raising the Bar)

Setelah dibawa hujahan terhadap isu pertama, pelaku falasi ini akan meminta supaya didatangkan pula hujah kedua, dengan tidak mengendahkan pun hujah pertama yang dibawa tadi. Ini merupakan hujah yang digunakan golongan Musyrikin Mekah terhadap Rasulullah SAW. Setelah mereka sendiri sedar kehebatan bahasa al-Quran, keindahan susunannya dan mesej yang dibawa, mereka minta pula supaya Quran turun sekaligus, bukannya secara bertahap.

فَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ مِنْ عِندِنَا قَالُوا لَوْلَا أُوتِيَ مِثْلَ مَا أُوتِيَ مُوسَىٰ ۚ

Maksudnya: Setelah datang kepada mereka kebenaran (Al-Quran) dari sisi Kami, mereka berkata pula: “Sepatutnya Muhammad diberi kitab yang diturunkan secara sekaligus sebagaimana Kitab Taurat yang diturunkan kepada Musa.

Surah al-Qasas (48)

7. Red-herring Fallacy

Falasi ini bermaksud mengalihkan perbincangan daripada isu sebenar kepada isu yang tidak relevan dengan topik yang dibincangkan. Tatkala Nabi Soleh berpesan kepada kaum Baginda, pesannya tidak dilayan, tapi falasi pula yang diajukan:

وَلَا تُطِيعُوا أَمْرَ الْمُسْرِفِينَ

الَّذِينَ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ

قَالُوا إِنَّمَا أَنتَ مِنَ الْمُسَحَّرِينَ

مَا أَنتَ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا فَأْتِ بِآيَةٍ إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ‏‏

Maksudnya: Janganlah juga kamu taati perintah golongan yang melampaui batas, iaitu mereka yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan. Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau ini hanyalah salah seorang daripada golongan yang terkena sihir! “Engkau pula hanyalah seorangmnusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda mukjizat jika betul engkau daripada kalangan orang yang benar”.

Surah al-Syu’ara’ (153)

Begitu juga tatkala Rasulullah SAW menyebarkan dakwah, Baginda dihujani dengan balasan-balasan yang langsung tidak berkaitan dengan mesej dakwah Baginda, contohnya dalam firman Allah SWT:

وَقَالُوا مَالِ هَذَا الرَّسُولِ يَأْكُلُ الطَّعَامَ وَيَمْشِي فِي الْأَسْوَاقِ…

Maksudnya: Mereka pula berkata: “Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?

Surah al-Furqan (7)

Apakah kaitannya makan minum dan berjalan di pasar dengan tugas kerasulan? Sungguh ajaib sekali gaya pemikiran seperti ini.

Kesimpulan

Sudah tentu, senarai ini tidak mewakili kesemua falasi yang dirakamkan dalam al-Quran. Namun kita telah memperoleh gambaran umum bahawa falasi-falasi ini merupakan pernyataan oleh golongan yang menjadi sasaran dakwah, tatkala mereka diseru oleh para Nabi dan Rasul untuk berfikir, berhujah secara rasional dan beriman dengan mesej yang dibawa. Namun oleh kerana kelemahan akal dan kedegilan sikap, mereka ini tidak mampu membalas dengan hujah yang kukuh, lantas terpaksa bergantung kepada pelbagai falasi untuk mempertahankan diri.

Rujukan dan Bacaan Lanjut

Some Logical Fallacies Dealt With In The Qur’ān oleh Mustansir Mir. Rujuk pautan: https://www.islamic-awareness.org/quran/contrad/mirlogical

Islamic Critical Evaluation and Perspective on Fallacy of Argumentum ad Hominem oleh Mohammad Manzoor Malik. Rujuk pautan: https://files.eric.ed.gov/fulltext/ED594323.pdf

vb.tafsir.net/forum/القسم-العام/ملتقى-الكتب-والبحوث-والمخطوطات/497365-المغالطات-في-ردود-منكري-الرسالات-في-القرآن-الكريم

https://iluminasi.com/bm/6-teknik-berhujah-di-media-sosial-yang-tidak-patut-kita-amalkan.html

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *