Penulis: Dr Sahul HM
53 tahun Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 berlalu. Apa yang berubah? Banyak.
Kalau tidak kerana 13 Mei, tidaklah diuar-uarkan tentang ketirisan dan kelemahan yang memencilkan orang Melayu daripada arus perdana urusniaga dan interaksi ekonomi.
Kalau tidak kerana 13 Mei, tiadalah Dasar Ekonomi Baru. Satu dasar afirmatif untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera yang terkandas di lembah kemiskinan selama lebih seratus tahun, sejak kemasukan British, sampailah merdeka dan memegang sendiri kuasa politik.
Kalau tidak kerana 13 Mei, tidaklah terbentuk Rukunegara yang menjadi ideologi nasional yang mengikat seluruh warga Malaysia, dari pelbagai latar belakang menjadi satu bangsa yang mempunyai aspirasi dan pemikiran yang sepunya.
Kalau tidak kerana 13 Mei, tidaklah lahir Barisan Nasional yang memerintah negara ini sehingga 2018, hasil penjenamaan semula daripada Parti Perikatan.
Kalau tidak kerana 13 Mei, tidaklah lahir segelintir korporat Melayu yang kaya-raya berhelikopter.
Kalau tidak kerana 13 Mei, tidaklah dihantar anak-anak Melayu Bumiputera belajar ke luar negara secara besar-besaran.
Tidaklah juga terbentuknya kelas Melayu menengah dan kelas Melayu atasan.
Sejak 13 Mei 1969, apa yang tidak berubah? Pun banyak.
Orang Melayu masih tertinggal di belakang sekali dari segi penguasaan ekonominya dan pendapatan per kapitanya.
Ruku Negara hanya tercatat di belakang buku sekolah. Ramai yang tak hafal. Lebih ramai lagi yang tak menghayati. Lebih ramai daripada itu yang tak peduli.
Hubungan kaum tidaklah bertambah baik. Malah prejudis perkauman dan agama masih menebal.
Bahasa Melayu masih ditakuk lama. Kita masih bergaduh dan merayu-rayu supaya Bahasa Melayu, yang diiktiraf sebagai Bahasa Kebangsaan, digunakan secara meluas dalam semua sektor dan menjadi bahasa perantara yang lancar antara warga Malaysia.
Sejarah nasional masih belum difahami. Yang berubah hanya subjek Sejarah jadi subjek wajib lulus di peringkat SPM. Tapi nilai daripada sejarahnya tidak pernah diangkat, tidak dipeduli dan semakin dipertikai.
Selepas lebih 50 tahun, 13 Mei masih menjadi igauan ngeri yang kita semua tidak mahu ulangi. Kita ingin mencuci kaki sebelum tidur supaya mimpinya tidak muncul tentang pergaduhan dan kematian yang berpunca daripada persengketaan sesama kita yang hidup sebelah menyebelah, berjiran dan berkawan.
Usahakan agar tarikh ini tidak membikin kita meracau lagi selama tahun-tahun mendatang. Pengkisahan 13 Mei sebaiknya tertumpu kepada kesan dan langkah penambahbaikan. Tidak seharusnya ia mengungkit kembali angka-angka kematian berupa statistik. Ada sesetengah perkara lebih baik diam tersembunyi. Yang kita perlu selongkar bukan ‘salah siapa’ secara spesifik tetapi bagaimana untuk tidak mengulanginya lagi. Puncanya sudah diketahui secara umum. Ia tidak lain dan tidak bukan tercetus daripada pengagihan ekonomi yang tidak seimbang.
Meletusnya 13 Mei hanyalah natijah terakhir daripada ketidaksamarataan ekonomi negara ini. Pecahnya pertentangan antara kelas masyarakat. Ah, Marx dalam hal ini, jarang silap! Kelas majoriti yang terkebelakang melawan kelas minoriti yang terkehadapan. Kelas pemilik bandar lawan kelas pekerja bandar. Bukan dalam semua kes, tetapi secara umum.
13 Mei harus menjadi titik rujukan bagi generasi baharu bagi mengenang betapa sakit dan peritnya sebuah persengketaan. Ia bukan momok yang mengerikan malam. Ia merupakan lembaran iktibar sebuah negara yang bertatih. Hakikatnya, tiada siapapun yang mengisytiharkan kemenangan. Tiada yang menang. Semua kalah. Hidup diselubungi ketakutan, dalam semua hati manusia, tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit.
Daripada kita menekap muka dan meratapi 13 Mei saban tahun, ada baiknya kerajaan mengisytiharkannya sebagai Hari Perpaduan. Buatlah apa sahaja bagi merapatkan hubungan kaum dan agama. Kalau perlu propaganda, propagandakan. Ya, penyatuan kaum, patriotisme dan nasionalisme memang perlu kepada propaganda dan indoktrinasi. Tidak salah propaganda bagi tujuan proses pembinaan negara bangsa. Pada zaman dekolonisasi, negara baharu kebanyakannya melaksanakan program propaganda pembinaan negara bangsa. Indonesia, Vietnam, China dan Thailand juga melaksanakan gerakan propaganda pembinaan bangsa. Kita saja yang segan-segan.
Sejarah 13 Mei ini gunanya bukan untuk meneruskan sengketa. Sejarahnya ini bukan racun memati pucuk. Ia merupakan ubat bagi mati pucuk.




