Search
Close this search box.

Donald Trump Datang Lagi: Apa Impak Terhadap Malaysia?

Penulis: Ooi Kok Hin

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024 menyaksikan perubahan besar apabila Donald Trump kembali ke White House dengan kemenangan yang besar untuk Parti Republikan. Parti Republikan kini menguasai ketiga-tiga cabang kerajaan: eksekutif (presiden), legislatif (Senat dan kemungkinan juga Dewan Perwakilan), dan kehakiman (Mahkamah Agung).

Lebih mengejutkan, Trump menjadi calon Republikan pertama dalam tiga dekad yang berjaya memenangi undi popular, dan memenangi semua negeri ‘swing’ seperti Michigan, Pennsylvania, dan Wisconsin. Ini merupakan satu tamparan hebat buat Parti Demokrat yang harus menghadapi realiti kekecewaan pengundi tradisional mereka.

Bukan Trump Berjaya, tapi Parti Demokrat Gagal

Kemenangan Trump dalam pilihan raya 2024 bukan kerana dia berjaya menambah sokongan dan mengembangkan base pengundinya, tetapi kerana Parti Demokrat gagal mengekalkan tahap sokongan mereka.

Setakat hari ini (pengiraan undi belum muktamad), Trump menerima sekitar 74 juta undi pada 2024, bilangan yang sama seperti pada 2020. Tetapi parti Demokrat mengalami penurunan drastik dalam undi mereka daripada 81 juta pada 2020 kepada hanya 70 juta pada 2024. Penurunan 11 juta undi ini menunjukkan bahawa ramai pengundi Demokrat memilih untuk tidak mengundi atau beralih kepada pilihan lain, mencerminkan kekecewaan terhadap kepimpinan dan dasar parti.

Ditambah pula dengan keputusan parti Demokrat untuk menukar calon presiden di saat akhir apabila mereka menggantikan Presiden Joe Biden dengan Naib Presiden Kamala Harris selepas prestasi debat yang lemah semakin mengukuhkan keraguan pengundi terhadap usia Biden dan kemampuan kognitifnya. Biden dipaksa memberi laluan kepada Kamala Harris pada Julai 2024, namun ia sudah terlambat.

Selain itu, sokongan kuat daripada komuniti Kristian evangelis dan kebangkitan nasionalisme Kristian telah memperkukuh kedudukan Trump, sementara inflasi dan ketidaktentuan ekonomi juga menurunkan tahap sokongan kepada parti Demokrat yang kini menjadi kerajaan. Rendahnya jumlah pengundi Demokrat menunjukkan ketidakpuasan yang mendalam dalam kalangan pengundi parti tersebut. Gabungan faktor ini memberi laluan kepada Trump dan gerakan MAGA-nya yang menyapu kemenangan di semua negeri penting. Orang putih cakap, clean sweep.

Kekalahan Demokrat mencerminkan perlunya kepimpinan baharu dalam parti tersebut dan menilai semula strategi mereka, terutamanya dalam menangani isu-isu dalam imaginasi awam seperti Palestin dan keadilan ekonomi. Perubahan ini boleh menjadi peluang bagi Demokrat untuk mencari pemimpin yang lebih mampu menyatukan parti dan meraih semula sokongan mereka, serta lebih peka terhadap kebimbangan komuniti minoriti.

Isu Palestin: Harris dihukum, tapi Trump bukan penyelamat

Isu Gaza dan Palestin memainkan peranan penting dalam mengalihkan sokongan komuniti Arab Amerika, terutamanya di Michigan yang mempunyai populasi warga Arab yang besar. Komuniti ini amat kecewa dengan pendirian Demokrat yang menyebelahi Israel. Kerajaan AS yang diketuai Biden dan Menteri Luar Anthony Blinken tidak henti memberi sokongan tidak berbelah bahagi dalam bentuk kenyataan sokongan dan bekalan senjata kepada Israel walaupun seluruh dunia sedang menonton sebuah genosid sedang berlaku di Gaza.

Ramai pengundi Arab Amerika di Michigan membuat satu undi protes terhadap parti Demokrat. Malah di sesetengah kawasan, Kamala Harris menduduki tempat ke-3 di belakang Trump dan Jill Stein, seorang calon bebas pro-Palestin.

Trump bertindak licik dan cuba memikat pengundi Arab Amerika dengan janji untuk mewujudkan kedamaian di Timur Tengah. Namun, seluruh dunia khususnya rakyat Malaysia seharusnya tidak terperdaya.

Sebagai presiden, Trump-lah yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke sana! Presiden-presiden AS yang berhaluan kanan (right-wing) dan terpaling pro-Israel seperti Richard Nixon dan Ronald Reagan pun tidak bertindak sedemikian.

Pemimpin Israel juga lebih gemar dan suka hati dengan kemenangan Trump kerana hubungan rapatnya dengan Benjamin Netanyahu. Bayangkan, dalam masa enam hari selepas pilihan raya Presiden AS dijalankan, Netanyahu telah berhubung dengan Trump sebanyak 3 kali.

Pemilihan anggota kabinet dan pentadbiran agensi utama Trump juga jelas didominasi oleh politikus pro-Israel tegar seperti Marco Rubio (Secretary of State), Pete Hegseth (Defense Secretary) dan John Ratcliffe (pengarah Central Intelligence Agency atau CIA).

Implikasi untuk Hubungan Malaysia-AS dan Konflik Global

Kemenangan Trump, bersama dengan kuasa penuh Republikan di Kongres dan Mahkamah Agung, mempunyai implikasi besar terhadap hubungan antarabangsa. Dasar luar Trump yang berorientasikan ‘America First’ berkemungkinan akan memfokuskan kepada kerjasama ekonomi yang lebih ketat dengan sekutu yang lebih sehaluan dengan nilai-nilai AS, sambil mengabaikan isu hak asasi manusia di negara-negara lain.

Dalam konteks Asia Tenggara, Malaysia mungkin perlu menyesuaikan pendekatan diplomatiknya, mengimbangi hubungan antara AS dan China dengan berhati-hati.

Pentadbiran Trump yang lebih mementingkan kepentingan domestik berbanding isu antarabangsa juga menjadi kebimbangan kepada rakan sekutu mereka di Taiwan. Sekiranya AS di bawah pentadbiran Trump menjadi kurang tegas dalam mempertahankan Taiwan, atau membiarkan sahaja China membuat tuntutan terhadap Laut China Selatan, ia akan mewujudkan kesan serantau yang amat disruptif.

Dasar luar Trump yang lebih memihak kepada Israel juga berpotensi mengeruhkan ketegangan di Timur Tengah. Keputusan ini boleh menjejaskan kestabilan serantau sekiranya AS menyokong Israel untuk meluaskan keganasan dan serangan bukan sahaja di Gaza dan Tebing Barat, malah di Lebanon, Syria, dan Iran. Negara-negara lain seperti Malaysia yang menentang penguasaan Israel terhadap Palestin, mungkin perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan hubungan dengan AS.

Akhir kata, saya berpendapat politik AS memasuki fasa baru yang berpotensi menggugat doktrin separation of power yang begitu sinonim dengan sistem politik AS. Penumpuan kuasa di tangan sebuah parti, khususnya di tangan Trump yang sudah tua dan sukar dijangka, mencipta satu risiko besar yang mampu mengubah landskap geopolitik global.

Kita tidak hanya berdepan dengan empat tahun lagi di bawah pentadbiran Trump. Naib presidennya, JD Vance, amat muda, sementara anak-anak dan menantu Trump (Donald Trump Jr, Eric Trump, dan Jared Kushner) turut terlibat dalam inner circle Rumah Putih. Kita sedang menyaksikan lahirnya sebuah dinasti politik yang berpotensi mengancam demokrasi di AS dan menggugat ketenteraman sejagat.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *