Penulis: Imran Rasid
Iran adalah negara yang mempunyai “soft spot” dalam jiwa saya, dan hari ini ianya sekali bergolak dengan pelbagai krisis ekonomi dan politik.
Sewaktu tulisan ini dikarang, protes besar-besaran di Iran sudah mula memasuki minggu ketiga. Internet disekat, sistem komunikasi menjadi terhad, dan dilaporkan jumlah korban dalam kalangan demonstran dan kerajaan turut meningkat.
Demonstrasi besar-besaran melebihi 100 daerah/negeri ini yang bermula pada 28 Disember itu asalnya berputar sekitar isu ekonomi. Pun demikian, secara perlahan-lahan ianya mula menjadi suatu desakan politik dan gesaan perubahan rejim.
Tidak sedikit teriakan-teriakan yang menggesa sistem pentadbiran berpaksikan kelas agamawan (Ayatollah) ini segera dimansuhkan selepas ianya mula terbina selepas Revolusi 1979.
Saya tidak mahu mengulas panjang sejarah sistem pemerintahan Ayatollah ini (anda boleh rujuk hantaran terbaru Ayman Rashdan Wong di FB beliau). Saya juga (termasuk kita semua) mengingatkan diri sendiri lebih berhati-hati dalam mengikuti berita-berita yang muncul tentang perkembangan di Iran sekarang.
Baik daripada media arus perdana (yang rata-ratanya dikuasai konglomerat Barat) mahupun media tajaan atau milikan pemerintah Iran sendiri. Kedua-duanya harus dibaca “with a pinch of salt”.
Misalnya, laporan separa rasmi daripada agensi Tasnim (laporan Aljazeera), menyebutkan 109 pegawai keselamatan terkorban. Jumlah demonstran yang menjadi korban tidak diketahui (walaupun media arus perdana ada yang menyebut sekitar 500 orang).
Hakikatnya, maklumat dari Iran kini ditapis dan disekat dengan dahsyat, dan media-media dari pelbagai pihak masing-masing cuba mencipta naratif sendiri.
Hal ini termasuklah Elon Musk sendiri yang baru-baru ini menukar bendera Iran di platform X kepada versi sebelum revolusi 1979. Bila Elon Musk campur tangan ini lagilah saya semakin curiga dengan apa-apa berita tentang Iran.
Kecurigaan saya ini makin bertambah apabila banyak dakwaan bahawa wujud unsur-unsur campur tangan daripada pihak asing, terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan Israel; dua negara samseng di pentas antarabangsa.
Kedua-dua negara ini tidak pernah menyembunyikan impian mereka untuk melihat Iran bertukar rejim pentadbiran kepada elit politik yang mesra dengan agenda imperialisme mereka.
Misalnya, pada 2 Januari Trump tidak berselindung menyebutkan bahawa AS bersedia untuk bertindak dan menghukum Iran sekiranya demonstran terus ditekan.
Beberapa hari lepas, Israel juga secara terang-terangan menggesa (melalui media sosial Mossad, agensi perisikan Israel) rakyat Iran untuk turun berdemonstrasi: “Keluar dan turunlah ke jalanan. Masanya sudah tiba. Kami bersama kamu. Bukan sahaja dari jauh dan secara lisan. Kami turut bersama di lapangan”.
Ekonomi Yang Semakin Kacau-Bilau
Pun demikian, tidak benar sekiranya kita hanya meletakkan punca demonstrasi ini semata-mata pada campur tangan asing. Hakikatnya, keadaan ekonomi di Iran sangat menekan, dan rakyat biasa terbeban dengan kadar yang sangat merisaukan.
Sewaktu demonstrasi berlangsung, nilai mata wang jatuh merudum (1.42 juta rial = 1 USD). Ketua Bank Negara Iran, Mohammad Reza Farzin, dilaporkan meletak jawatan. Sewaktu beliau mula dilantik pada tahun 2022, nilai mata wang rial adalah sekitar 430,000 Rial = 1USD.
Keadaan menjadi semakin teruk apabila situasi inflasi di Iran tidak memulih. Kadar inflasi Iran pada tahun 2025 adalah pada sekitar 41.6% (IMF), berbanding 32.5% pada tahun 2024.
Hal ini sekaligus menyebabkan kadar import menjadi semakin mahal, dan menjejaskan sumber pendapatan kelas pedagang di Iran. Iran sendiri banyak bergantung pada barangan import terutamanya daripada China, UAE dan Turki.
Antara barangan import terbesar Iran adalah barang makanan, termasuk bijirin (1.27 Bilion USD), beras (737 juta USD), dan kacang soya (1.24 bilion USD).
Kadar import barangan asasi yang mahal menyebabkan barang-barang lain di Iran juga terkena impaknya, sekaligus membebankan lagi kadar inflasi sedia ada. Bahkan, keadaan kemarau dan ketidakcukupan air di Iran (sejak beberapa tahun lepas) memburukkan lagi keadaan semasa.
Kekacauan ekonomi sebenarnya dipengaruhi faktor domestik dan luar. Maksudnya, kerajaan Iran hari ini memang banyak masalah sebenarnya, termasuk dengan isu korupsi dan tadbir urus yang tidak cekap.
Keadaan infrastruktur di Iran juga antara aspek yang sangat bermasalah. Global Innovation Index meletakkan keadaan “Infrastruktur” Iran di tangga ke-98, dan “Business Sophistication” di tangga ke 107 dunia.
Teknologi dan teknik industri pertanian di Iran juga tidak berkembang dengan baik, dan menjadi lebih teruk apabila masalah kemarau berleluasa. Food Aid Organisation menyatakan isu keterjaminan makanan (food security) adalah isu besar buat Iran.
Pun demikian, masalah ekonomi Iran tidak boleh sepenuhnya disalahkan pada masalah tadbir urus rejim pemerintahan semata-mata.
Hakikatnya, keadaan Rial semakin merosot sudah lama, terutamanya disebabkan sekatan ekonomi oleh negara-negara Barat. Walaupun Iran ada bekalan minyak mentah, destinasi eksport Iran terhad disebabkan sekatan yang dikenakan.
Kemerosotan harga minyak juga memberi impak pada ekonomi Iran; harga minyak mentah jatuh sebanyak 18% pada tahun 2025 kepada 60 USD satu tong, jauh lebih rendah daripada harga 165 USD yang Iran perlukan untuk mengelak daripada kerugian.
Sekatan ekonomi dilonggarkan sewaktu berlaku rundingan dengan Obama berkaitan dengan perjanjian nuklear. Pun begitu, Trump tarik diri dari perjanjian ini pada 2018, dan mengenakan semula sekatan asal.
Solidariti Buat Rakyat Iran, Hati-Hati Dengan Campur Tangan Imperialis
Suasana politik dan ekonomi tentunya kompleks, terutamanya bila ada campur tangan daripada negara luar.
Sungguhpun begitu, solidariti saya tetap bersama rakyat Iran yang tersempit dengan pelbagai himpitan ekonomi dan politik, baik daripada rejim pentadbiran Iran sendiri atau akibat daripada sekatan ekonomi kuasa Barat.
Harapan saya adalah teriakan dan keresahan rakyat bawahan Iran ini didengari oleh pentadbir. Presiden Iran, Masoud Pezeshkian ada menyebutkan bahawa kerajaan beliau sedia membuat perubahan mendasar, dan hal ini harus terus didesak oleh rakyat dan gerakan sivil.
Sementalahan itu, rakyat Iran harus hati-hati dengan campur tangan kuasa imperialis AS dan sekutunya, Israel. Mereka tidak segan silu membuat kekacauan untuk menjalankan provokasi di lapangan politik Iran, dan kalau dibiarkan tidak mustahil mereka akan “hijack” agenda reformasi yang diperjuangkan gerakan massa di sana.
Iran harus kekal menjadi suara kritis terhadap rejim imperialis AS di peringkat antarabangsa, dan hal ini hanya boleh berlaku sekiranya suara rakyat Iran (bukan orang luar) diangkat seiring dengan suara-suara Dunia Selatan yang lain.




