Penulis: Izmil Amri
Ada suatu kata-kata Gramsci yang popular akhir-akhir ini berbunyi ‘The old is dying and the new cannot be born’.
Yang tua-tua sedang mati, manakala yang baharu tidak boleh dilahirkan. Lebih kurang begitulah. Terjemahan ini tidak tepat dan jauh di luar konteks petikan itu. Namun sepertimana hadis-hadis yang dhaif, ia boleh sahaja kita bawa beramal tetapi tidak boleh dibawa berhujah.
Antonio Gramsci, ahli falsafah Marxist asal Itali, dalam nota-nota dari penjara yang ditulis sekitar 1930; menulis tentang ‘yang tua’ dengan ‘yang baharu’ dalam konteks sesebuah fasa peralihan; bagaimana sebuah orde lama sedang nazak, tetapi pemikiran baharu yang lebih radikal masih belum boleh bertatih.[1]
Ini mengingatkan kita kepada ‘Paris Commune’ yang mentadbir kota Paris setakat dua bulan sahaja selepas perang Perancis-Prusia, 1871.
Paris Commune hadir sebagai kesan tidak terduga selepas askar wataniah Perancis yang terdiri daripada kaum buruh menawan kota Paris dan menubuhkan jawatankuasa pusat tersendiri untuk menjalankan pentabidran, tanpa kemampuan untuk menangani jentera kerajaan sedia ada.
Meski hadir dengan idea-idea progresif yang begitu canggih dan melampaui zaman, perkumpulan ini tidak mempunyai kekuatan untuk merangkul institusi tinggalan lama yang merangkumi pasukan tentera, polis, aparat birokrat, agamawan dan badan kehakiman demi memenuhi tujuannya.
Mengulas hal itu, Marx menyifatkannya sebagai satu-satunya sistem pentadbiran yang masuk akal dalam keadaan kaum borjuis sudah tewas, tetapi kelas pekerja masih belum menemukan kepandaian untuk mentadbir negara.[2]
Hal yang tidak kurang sama juga kita temukan dalam pentadbiran kerajaan Ikhwan pimpinan Dr Mohamed Morsi pasca revolusi Mesir pada 25 Januari 2011. Kerajaan Morsi hanya bertahan selama 368 hari; dari 30 Jun 2012 sehingga 3 Julai 2013.
Revolusi Mesir dikatakan menuntut hanya tiga perkara: ‘aish (roti), hurriyah (kebebasan) dan ‘adalah ijtima’iyah (keadilan sosial). Kabinet Morsi sebaliknya menawarkan agama sebagai jawapan kepada tiga tuntutan terbabit.
“Diminta kerja, diberinya Quran; ya, pastinya marah,” ujar satu komen ringkas di media sosial.[3]
Lalu kita lanjut menemukan keselarian antara Paris Commune, kabinet Morsi dan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan.
Sebagai sebahagian daripada anggota kerajaan terbabit, saya tidak boleh menafikan bahawa terdapat beberapa pendekatan kerajaan yang tidak menepati kehendak dan kesukaan rakyat. Seperti yang pernah dibincangkan secara panjang lebar, ada banyak hal yang cuba diketengahkan kepada rakyat namun tidaklah hal-hal itu boleh digaul bersama nasi.
Pun begitu ia bukanlah faktor utama kenapa kerajaan Pakatan Harapan di‘sailang’ dan dikhianati sehingga terbarai sama sekali.
Namun hakikatnya, seperti juga dalam situasi Paris Commune dan kerajaan Ikhwan Mesir; ayat Gramsci dan ulasan Marx di atas tadi sangat bertepatan. ‘Reset Agung’ yang kita nanti-nantikan tidak sepenuhnya berlaku. Disangka panas hingga petang, rupanya angin ribut hujan melintang di tengah hari.
‘Reset Agung’ ini akhirnya kita temukan dalam situasi yang sama sekali tidak diduga; apabila wabak Covid-19 melanda negara dan seluruh institusi ekonomi, politik dan sosial habis diuji. Hari ini kita mendepani setiap aspek kehidupan dalam sebuah ‘norma baharu’. Politik negara tidak stabil sehinggakan blok pembangkang perlu ber-MOU dengan kerajaan, ekonomi huru hara sehinggakan rakyat terpaksa mengeluarkan simpanan hari tua namun dipasarkan sebagai bantuan kerajaan, fabrik sosial pula semakin parah dengan syak wasangka sesama kaum.
Teruk betul sangkutnya ‘reset’ yang satu ini. Ketimbang ‘reset agung’ ia menjadi sebuah ‘reset gantung’. Seperti penghujung siri Pok Ya Cong Codei Memburu Siti. Semacam ada cerita yang tidak tuntas.
Ke belakang atau ke hadapan
Ketika cuba menterjemah kata ‘great reset’ bagi buku tulisan Saudara Liew Chin Tong; mantan timbalan menteri pertahanan merangkap Adun Perling yang baharu, saya jenuh bergulat dengan kalimat ‘reset’ itu. Bagaimanakah caranya orang Melayu menanggapi kata ‘reset’?
Ternyata sebenarnya orang Melayu tidak ada kata yang jelas untuk mengungkapi maksud ‘reset’ justeru Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri menterjemah ‘reset’ sebagai ‘mengeset semula’. Saya langsung tepuk dahi.
Antara upaya DBP untuk memahamkan orang Melayu tentang kata ‘reset’ adalah dengan menggunakan frasa ‘membetulkan semula’. Dalam kedua-dua keadaan, kita menemukan kata ‘semula’. Maka ketika mencadangkan tajuk untuk terjemahan bahasa Melayu buku ‘The Great Reset’; saya mengajukan supaya tajuk buku tulisan Fathi Aris Omar digunapakai – ‘Patah Balek’. Pastinya dengan beberapa perubahan.
‘Patah Balik’ bagi saya adalah satu-satunya cara untuk kita memahami bagaimana sesuatu keadaan boleh dikembalikan kepada asalnya, sebelum sesuatu keadaan itu menjadi serabut dan caca marba.
Tetapi soalnya berpatah balik itu bukankah tindakan yang terkebelakang? Haa.. sudah. Maka tak boleh patah balik, justeru harus bergerak maju ke hadapan tetapi dengan perubahan total.
Perubahan total, dalam sudut pandang politik Malaysia adalah suatu kemustahilan. Ini kerana masyarakat menganggap politik ialah sistem memilih pemimpin, dan pemimpin haruslah tua, berpengalaman, banyak makan garam dan mempunyai darjat yang tinggi dalam masyarakat. Kalau boleh, sang pemimpin itu mesti punya kesaktian. Boleh mengawal birokrasi turunnya hujan, misalnya. Atau paling tidak, boleh memerintahkan banjir surut segera.
Pemahaman masyarakat Malaysia – Melayu terutamanya, terhadap konsep politik pun tidak betul. Seperti seorang nelayan, begitu juga pemahaman masyarakat terhadap politik: ke laut perginya.
Profesor Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff, dalam satu perkongsiannya di media sosial ada bercerita tentang perbualannya dengan veteran DAP, Lim Kit Siang pada tahun 1981 tentang definisi ‘politik’.
Sepertimana sekalian saintis politik yang lain, definisi paling cepat sampai ke akal ialah tafsiran Harold Lasswell bahawa politik itu ialah persoalan siapa mendapat apa, bila dan bagaimana? Dan itulah yang dijawab Prof Agus.
Namun kata beliau, Kit Siang tidak bersetuju. Menurut Kit Siang, politik ialah komitmen.[4] Saya harus bersetuju. Politik bukan sekadar persoalan tamak haloba manusia terhadap kuasa, kedudukan dan kekayaan; bahkan pergulatan manusia untuk mempamerkan integriti diri dalam membela nasib kelas tertindas, golongan rentan dan frinjan (fringe).
Politik Kit Siang juga langsung berlawanan dengan tafsiran Laswell. Ketika mengumumkan persaraannya daripada dicalonkan dalam sebarang pemilihan pada 20 Mac lalu, Kit Siang tidak mendapat apa-apa selain legasi perjuangan yang bebas daripada sebarang indikator korupsi. Kit Siang tidak mengambil sebarang jawatan pasca kemenangan Pakatan Harapan pada 2018.
Persaraannya meninggalkan vakum yang meski hampir mustahil diisi, namun merupakan ruang bernafas untuk sekalian gerombolan pemimpin muda terutamanya dalam partinya, DAP. Demikian Kit Siang menjalankan ‘reset’nya sendiri untuk DAP lantas membuka jalan supaya mata rantai perjuangan parti tersebut terus bersambung sehingga matlamat perjuangannya dicapai.
Di sudut yang satu lagi, kita melihat bagaimana Parti Keadilan Rakyat kini juga sedang bergulat dengan persoalan mata rantai perjuangan. Dan ini sebenarnya mungkin lebih penting lagi.
Di tengah pergulatan tersebut, kita menemukan Rafizi Ramli sebagai watak utama projek reset PKR. Meski tidak digemari ramai orang yang terlibat langsung dalam struktur politik kepartian, Rafizi ialah watak hero yang menjadi idola orang ramai di luar sana. Tidak cukup dengan keberaniannya melawan Umno dalam hampir setiap isu, Rafizi malah kini dilihat begitu berani sekali untuk melawan presiden partinya, Anwar Ibrahim. Walaupun sebenarnya tidaklah berani mana kerana beliau hanya bertanding jawatan timbalan presiden dan tidak mencabar kedudukan Anwar yang seperti biasa, menang tanpa bertanding.
Kita tidak pasti sama ada Rafizi menyedari kepentingan untuk ‘mengeset semula’ PKR, dalam keadaan parti itu dan keseluruhan blok pembangkang kelihatan tidak begitu bersedia untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15, dijangka berlangsung selepas Ogos.
Kalau diikutkan bacaan Nurul Izzah, blok pembangkang terutamanya Pakatan Harapan harus bersiap untuk kalah dalam dua PRU lagi sebelum boleh memenangi semula mandat rakyat untuk membentuk kerajaan. Mungkin bagi Izzah, tiada maknanya nak reset-reset segala sekiranya barisan kesebelasan utama Pakatan Harapan, dan selanjutnya ‘khemah besar’ yang dibual-bualkan masih lagi mengekalkan barisan kepimpinan turun-temurun sejak abad lampau. Mungkin lah ni, mungkin.
Maka kita yang di luar ini hanya kekal bertanya jika orang politik yang mahu menjaja harapan kepada rakyat ini mahu buat reset agung, atau memicu satu lagi reset gantung. Lalu seluruh negara boleh ikut mereput bersama-sama.
[1] Gilbert Achcar, “Morbid symptoms”. International Socialist Review https://isreview.org/issue/108/morbid-symptoms/index.html
[2] Karl Marx, “The Civil War in France” 1871 https://www.marxists.org/archive/marx/works/1871/civil-war-france/ch05.htm
[3] “Inikah yang orang Melayu mahu” https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/225536
[4] Mohammad Agus Yusoff, “Mengenang Lim Kit Siang: Sedikit Catatan” https://www.facebook.com/mohammadagus.yusoff/posts/10227946966282553




