Search
Close this search box.

Perihal Bersahabat Dengan Syaitan Bernama Donald Trump

Penulis: Luqman Tarmizi

Mukadimah

Kedatangan Donald Trump ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN kali ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Ada yang melihatnya sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, manakala yang lain pula menilai ia sebagai bentuk ketundukan terhadap seorang figura yang sinonim dengan dasar zalim terhadap dunia Islam.

Namun, dalam dunia diplomasi, lawatan sedemikian tidak semestinya membawa maksud restu terhadap dasar atau watak seseorang pemimpin. Sebaliknya, ia merupakan ruang strategik untuk menyampaikan mesej dan menegakkan prinsip melalui saluran yang paling berkesan, iaitu diplomasi.

Imuniti Diplomatik Menurut Perspektif Islam

Sebelum membahas lebih dalam, kita telusuri serba sedikit tentang tradisi aspek hubungan antarabangsa menurut perspektif Islam, yang menyentuh soal prinsip hubungan dengan pihak luar, hatta dengan musuh sekalipun.

Imam Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani, tokoh penting dalam mazhab Hanafi merangkap anak murid kanan Imam Abu Hanifah, dan pelopor bidang siyar (undang-undang antarabangsa Islam), menjelaskan dalam kitab beliau al-Siyar al-Saghir:

Jika seorang kafir harbi datang ke wilayah Islam dan mengaku sebagai utusan dengan membawa surat dari rajanya, maka dia diberikan jaminan keamanan setelah disahkan kebenaran surat itu. Dia di bawah jaminan keamanan sehingga dia selesai menyampaikan mesejnya dan kembali ke wilayahnya.

Prinsip ini menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf imuniti diplomatik dan menghormati peranan utusan negara luar, walaupun daripada pihak musuh. Rasulullah SAW sendiri menerima utusan dari pelbagai kabilah dan kerajaan bukan Islam, termasuk dari Rom dan Parsi, tanpa menafikan hak mereka untuk didengari dalam suasana aman.

Oleh itu, kedatangan seseorang pemimpin, meskipun dari negara yang mempunyai rekod kezaliman terhadap umat Islam tidak boleh ditafsir sebagai pengiktirafan terhadap kezaliman tersebut, tetapi sebagai satu norma diplomatik yang berpaksikan kepentingan negara.

Hubungan antarabangsa, sama ada dalam tradisi Islam mahupun moden, dibina atas asas saling hormat dan kepentingan bersama. Begitu juga dengan Malaysia, sebuah negara kecil saiznya, kecil juga bilangan rakyat dan kek ekonominya, tetapi memainkan peranan penting dalam percaturan diplomasi serantau.

Malaysia Meniti Jalan Diplomasi

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bukan sahaja bertindak atas nama negara sendiri, tetapi mewakili seluruh blok serantau. Menjemput Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bukan keputusan unilateral Malaysia, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab diplomatik terhadap rakan serantau.
Menolak kehadirannya secara terbuka akan menjejaskan imej Malaysia sebagai tuan rumah dan rakan rundingan yang berprinsip. Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia harus kekal strategik; berpegang pada prinsip kebenaran dan keadilan, sambil menggunakan diplomasi yang bijaksana.

Bahkan lawatan Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia, dan hubungan antara kita dan mereka bukannya baharu.

Tun Mahathir, yang terkenal lantang terhadap blok Barat secara amnya dan Amerika khususnya, telah berkunjung ke White House bertemu George W. Bush, Presiden AS.

Bila pertemuan ini berlaku? 15 Mei 2002. Setahun sebelum itu, apa yang George Bush buat? Serang Afghanistan. Ratusan ribu maut. Apa pula kata Bush dalam pertemuan itu? “I have been looking forward to this visit to thank Prime Minister for his support in War Against Terror.” War Against Terror inilah yang menjadi mantera keramat Bush demi menghalalkan serangannya ke atas Afghanistan dan Iraq yang telah menghancurkan kedua-dua negara umat Islam itu hingga sekarang.

Barack Obama pula telah melawat Malaysia pada 2014. Najib Razak pun sempat bermain golf dengan Presiden pertama Amerika berkulit hitam itu.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Edgard D Kagan juga telah melawat Kelantan, negeri Serambi Mekah pada November 2024 selama dua hari.

Maksudnya nak beritahu, hubungan diplomatik ini bukan benda baru, dan bukan benda pelik. Hubungan antarabangsa juga usah dilihat melalui kaca mata sentimen sempit tanpa mempertimbangkan lapisan-lapisan tebal mesti diperhalusi satu persatu.

Jika kehadiran Trump mesti ditolak kerana polisinya dalam isu Palestin, bagaimana pula dengan Xi Jinping atau Li Qiang dari China yang menindas komuniti Uyghur di Xinjiang? Bagaimana pula dengan Modi yang bersikap Islamofobik di India? Atau negara-negara Arab seperti UAE dan Bahrain yang lunak dengan Israel?

Adakah kita mahu menyekat kedatangan mereka ke sini? Atau memutuskan hubungan diplomatik? Atau memanggil pulang duta kita di sana? Atau bagaimana?

Diplomasi demi maslahat

Hakikatnya, kehadiran Trump, walaupun tidak disenangi oleh ramai, sebenarnya membuka ruang untuk Malaysia dan ASEAN menyampaikan suara dunia Islam secara langsung.

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli dari USIM berpandangan, kehadiran Trump adalah peluang untuk menyeimbangkan kepentingan kemanusiaan dan strategik rantau ini. Platform ASEAN boleh dijadikan ruang mendesak Washington lebih serius menangani isu Gaza dan kezaliman Israel.

Dalam erti kata lain, diplomasi bukan sekadar berlembut; ia adalah hikmah dalam bertindak. Kaedah menyebut:

لِكُلِّ مَقَامٍ مَقَال وَلِكُلِّ ميدان رِجال

“Setiap tempat ada kata yang sesuai, dan setiap medan ada orangnya.”

Dari sudut rakyat, adalah tanggungjawab kita menyuarakan bantahan terhadap kezaliman Amerika dan Israel. Tetapi di medan diplomasi, pimpinan negara mesti berperanan menjaga kepentingan nasional dan serantau.

Secara realistik, hubungan Malaysia-AS tidak boleh diambil ringan, apatah lagi didesak agar ia dikaji semula, atau diputuskan secara terburu-buru melalui pertimbangan emosi.

Untuk rekod, AS kekal sebagal antara rakan dagang utama Malaysia sejak beberapa dekad lalu. Bagi tempoh Januari hingga September 2025, eksport Malaysia ke AS meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM 166.38 bilion, dipacu oleh penghantaran lebih tinggi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan diproses. Sementara itu, import dari AS pula meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun kepada RM104.50 bilion.

Bersahabat dengan syaitan

Ada yang membantah kehadiran Trump ke Malaysia, dan melabel undangan kepada Presiden negara Uncle Sam itu sebagai satu bentuk “persahabatan dengan syaitan” berdalilkan firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 113:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim, kelak kamu disentuh api neraka.”

Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam tafsir beliau menjelaskan, larangan ini merujuk kepada kecenderungan hati untuk redha dengan perbuatan orang zalim atau membenarkan kekufuran mereka.

Imam al-Khazin pula meriwayatkan beberapa pandangan, antaranya daripada Ibn Abbas, Abu al-‘Aliyah dan al-Suddi, maksud {الركون} dalam ayat itu bermaksud condong untuk menyokong, sayang, terpaut hati, redha dengan perbuatan dan berlemah lembut dalam menghadapi kezaliman.

Maka adakah pihak yang menuduh ini ingin menganggap undangan ini menepati ciri-ciri yang disebut oleh para ulama ini? Seolah-olah kerajaan Malaysia telah cenderung menyebelahi Amerika, sedangkan kita sejak sekian lama berpegang pada polisi neutral berprinsip dalam hubungan luar? Seolah-olah kita redha dengan polisi zalim Trump yang komplisit dalam jenayah genosid terhadap rakyat Palestin, walhal kita antara negara paling lantang dan terkehadapan dalam memperjuangkan isu Palestin?

Maka menjemput Trump bukanlah tanda kita menyetujui dasar zalimnya, tetapi peluang untuk menegur secara diplomasi, menyampaikan mesej kemanusiaan dan keadilan, menyediakan platform rundingan, serta menunjukkan bahawa Malaysia dan ASEAN sentiasa terbuka untuk hubungan erat dengan mana-mana pihak, namun tidak akan sesekali tunduk pada keangkuhan kuasa besar.

Khalas!

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *