Penulis: Imran Rasid
Sedikit penjelasan awal: Tulisan ini tidak akan acah-acah menjanjikan satu analisis yang neutral mahupun “objektif”.
Sebaliknya, tulisan ini terbit dari akal budi saya, diserta rasa jelek dan menyampah tertinggi terhadap kebobrokan dan kezaliman rejim imperialis Amerika Syarikat (AS).
Hakikatnya, tiadalah yang mampu menafikan bahawa rejim AS ini adalah satu-satunya rejim di dunia hari ini yang berperilaku seperti bangsa penyangak (rogue nation), bersama sekutunya Israel, yang tanpa segan silu meliar dalam pentas antarabangsa.
Baru sahaja masuk hari ketiga tahun 2026 (3 Januari), dunia dikejutkan dengan serangan udara AS yang membedil beberapa kawasan di Venezuela. Selang beberapa jam kemudian, Presiden AS Donald Trump (Pemimpin Bangsa Penyangak) mengumumkan bahawa Presiden Venezuela, Maduro dan isterinya (Cilia Flores) sudah ditahan dan dibawa (baca: diculik) ke luar negaranya.
Ramai penganalisa memang menjangkakan bahawa pertembungan antara Venezuela dan AS ini akan meletuskan peperangan (full-blown war), terutamanya apabila Trump melancarkan serangan darat beberapa hari lepas. Kebobrokan ini bermula sejak Maduro dilantik sebagai Presiden Venezuela buat kali ketiganya pada Januari 2025.
Rejim AS mengenakan tariff tariff 25% terhadap Venezuela (April), menuduh Venezuela menyokong organisasi Tren de Aragua yang diisytihar AS sebagai “organisasi pengganas asing”, diikuti dengan menyerang kapal-kapal Venezuela di Laut Caribbean (bercanggah dengan undang-undang antarabangsa) atas alasan perang “melawan dadah” (September).
Satu dunia maklum bahawa tekanan ala samseng yang dikenakan terhadap Venezuela ini tidak ada kena mengena pasal dadah (Trump sendiri akui benda ini). Sebaliknya, ianya didorong dua faktor utama: ekonomi dan geopolitik.
Venezuela memiliki simpanan minyak terbesar dunia, dan pembekal eksport minyak mentah ke-18 terbesar (terutamanya ke China). Nilai eksport minyak dari Venezuela tidaklah banyak mana, dan syarikat GLC Venezuela, Petróleos de Venezuela, juga tiada kapasiti yang meluas untuk memproses minyak mentah.
Pun demikian, sejak Chavez menasionalisasikan sumber minyak Venezuela pada tahun 2001, AS berkali-kali cuba mengguling kerajaan Chavez dan gerakan Chavismo. Pada tahun 2017, Trump mengenakan sekatan terhadap Venezuela, termasuk akses terhadap pasaran kewangan AS dan larangan membeli hutang Venezuela.
AS juga menekan Venezuela melalui sekatan ekonomi, campur tangan perundangan, pendanaan pembangkang dan macam-macam lagi. (Boleh baca buku Justin Podur, Extraordinary Threat: The U.S. Empire, the Media, and Twenty Years of Coup Attempts in Venezuela, untuk analisa penuh mengenai serangan bertubi-tubi AS terhadap Venezuela).
Dokumen “National Security Strategy” AS yang diluncurkan November 2025 lepas juga menunjukkan arah tuju dasar luar AS terbaru untuk mengukuhkan pengaruhnya di Hemisfera Barat. Menurutnya, “AS akan menekankan dan melaksanakan semula Doktrin Monroe” bagi memulihkan semula kekuasaan Amerika di Hemisfera Barat”.
Doktrin Monroe ini diperkenalkan oleh Presiden AS James Monroe pada tahun 1823, yang menanggap sebarang campur tangan Eropah terhadap hemisfera Barat adalah suatu ancaman keselamatan terhadap AS. Maksud mudahnya: wilayah Barat ini harus dibawah kawalan AS, melalui pemimpin yang mendukung kepentingan AS. Tiada yang berkecuali.
Venezuela pula adalah rakan akrab Rusia dan China, seteru geopolitik AS, yang turut menerima banyak bantuan kewangan dan teknologi daripada kedua-dua negara gergasi tersebut.
Rejim Imperial AS sebagai Pencabul Kedaulatan Negara Lain
Selaku negara penyangak, AS dan sekutunya Israel, sememangnya mengendahkan sahaja soal kedaulatan negara-negara lain yang dijamin melalui undang-undang antarabangsa.
Serangan yang bermula sejak September 2025 ini dikecam oleh ramai pengamal undang-undang antarabangsa. Bekas pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Luis Moreno Ocampo, menyebut serangan bertubi-tubi sebagai “crimes against humanity”. Pakar-pakar perundangan PBB juga menyifatkan serangan AS ini sebagai bercanggah dengan Piagam PBB.
Tetapi apalah negara penyangak yang satu ini kisah. Perjanjian Konvensyen Geneva 1949, dan pelbagai lain perjanjian hak asasi manusia lain dipijak-pijak seperti sampah buangan sahaja. Piagam PBB itu hanyalah suatu jenaka yang adakalanya dipetik AS bila perlu sahaja.
Perang Tarif yang diluncurkan Trump melalui “Tarif timbal-balas” pada April lepas juga sebenarnya tidak sah di sisi undang-undang AS sendiri, dan kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi AS. Malah, ianya juga berlawanan dengan undang-undang World Trade Organisation (WTO), yang dahulunya dijulang-julang oleh AS sendiri.
Lihat sahaja bagaimana AS menanggapi isu Palestin. Adakah ada pertimbangan undang-undang antarabangsa, ataupun secebis rasa hormat kepada kedaulatan negara lain? Jawapannya tiada. Sebab ianya adalah negara penyangak.
Di benua Amerika Latin, campur tangan AS ala samseng jalanan ini tidaklah sesuatu yang asing sebenarnya. Serangan terhadap Venezuela ini bukan perkara baru. Tahun 1973, dokumen sulit AS mengesahkan penglibatan CIA dalam menggulingkan pemimpin Chile, Salvador Allende, digantikan dengan pemimpin diktator Pinochet.
Pada tahun 1983, Operasi “Urgent Fury” dilancar oleh AS bagi menyerang Grenada dengan alasan untuk menyelamatkan beberapa rakyat AS di sana. Serangan tersebut akhirnya menatijahkan perubahan rejim kepada pentadbiran pro-AS dan terbunuhnya Maurice Rupert Bishop, pemimpin Grenada ketika itu.
Rejim AS juga pernah menyerang Panama (1989) melalui Operasi “Just Cause”, serangan tentera terbesar AS selepas Vietnam, bertujuan untuk menangkap pemimpin negara tersebut. Jeneral Manuel Noriega adalah aset CIA yang kemudiannya berpaling tadah diculik oleh AS dan dibawa ke amerika, dan dijatuhkan hukuman di sana.
Tiada satu pun daripada rentetan peristiwa ini yang tidak melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa. Tetapi itulah resam negara penyangak, yang berlagak sebagai pelopor tatanan dunia liberal yang sepatutnya menjunjung hak kedaulatan negara.
Apa Jadi Pada Venezuela Selepas Ini?
Entah. Saya tidak mahu acah-acah tahu apa yang bakal berlaku. Dan sepertimana yang saya sebutkan pada awal esei, ini bukanlah suatu analisis akademik.
Pun demikian, ada beberapa perkembangan yang memerlukan perhatian lanjut. Pertamanya, Delcy Rodriguez, timbalan presiden Venezuela beberapa pimpinan utama kerajaan masih menyuarakan penentangan dan mengesahkan Maduro sebagai Presiden yang sah. Dalam sidang media terkini, Trump mengatakan bahawa Delcy sudah dilantik menjadi Presiden dan akan “willing to do what we think is necessary to make Venezuela great again.”
Siapa yang benar? Tak dapat dipastikan. Apa yang jelas adalah Trump tanpa segan silu mengaku ini adalah operasi perubahan rejim (bukan melawan dadah), dan AS sendiri akan mengambil alih pentadbiran Venezuela. (Bahasa kampungnya adalah ini suatu penjajahan, haram di sisi undang-undang antarabangsa).
Malahan, Trump tidak berlapik langsung menyebut syarikat minyak AS akan melabur berbillion-billion terhadap sektor minyak Venezuela.
Keduanya, ramai akan menanti-nantikan respons balas daripada Cina dan Rusia. Delegasi Cina baru sahaja bertemu Presiden Maduro beberapa jam sebelum serangan tersebut berlangsung.
Setakat artikel ini ditulis negara China dan Rusia sudah pun mengeluarkan kenyataan rasmi; kedua-duanya mengecam serangan AS terhadap Venezuela. Beberapa negara lain termasuk Indonesia, Korea Selatan, Chile, Sepanyol, dan beberapa lain turut mengeluarkan kenyataan rasmi.
Ketiga, Kaja Kallas (EU High Representative for Foreign Affairs and Security Policy), menjelaskan melalui hantaran Tweet bahawa beliau sudah bercakap Marco Rubio dan langsung tidak mengecam AS. Aneh, sebab kalau hal yang sama berlaku di Ukraine, dah lama EU akan menyalak tak tentu hala tentang hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
Hakikatnya, dunia sekarang sudah beralih kepada fasa baru. Serangan AS ini adalah manifestasi baru bagi sikap suatu kuasa yang sedang hilang pengaruhnya.
AS menggelabah seperti ini kerana AS sedar dunia semakin berkembang di luar orbit pengaruhnya. Semakin ditinggal, semakin panik dan menjadi-jadi sikap liar AS ini. Semakin kuat kerja-kerja membuli mereka.
Sebab itu, sekarang ini semakin penting buat negara-negara dunia selatan untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat bagi melawan gejala membuli ini. “One-to-one” memanglah tidak mampu, tetapi sebagai satu blok dunia selatan ada kekuatannya.
Perlawanan menentang buli tidak boleh dibuat secara berseorangan, tetapi secara kolektif. Ini tanggungjawab kita bersama; jangan diharap kepada Rusia atau China semata-mata.




