Search
Close this search box.

Olimpik 2024 Dan Diplomasi Lunak “Global South”

Penulis: Imran Rasid

Paris Olympics 2024 baru sahaja selesai lebih sebulan yang lalu. Buat beberapa minggu, seluruh dunia mengikuti perkembangan atlet negara masing-masing dengan tekun dan penuh harapan.

Pun demikian, acara di peringkat antarabangsa seperti ini sebenarnya bukan sahaja soal persaingan dalam kalangan atlet. Sepertimana Olimpik sebelumnya juga, pentas antarabangsa ini turut menjadi platform perseteruan geopolitik dan kuasa lunak, atau tempat mengangkat identiti negara di persada dunia.

Pergelutan geopolitik dan transisi tatanan dunia juga mempunyai manifestasinya di gelanggang-gelanggang kesukanan. Dalam hal ini, Olimpik 2024 tidak terkecuali.

Dan satu pemerhatian menarik yang kita temui adalah negara-negara membangun dari kubu “Global South” tidak lagi malu-malu untuk menonjolkan kuasa dan pengaruh mereka di peringkat dunia.

Perseteruan bagi memburu pingat emas sangat sengit antara negara China dan USA. Persaingan yang kuat ini bermula sejak Olimpik 2008 di Beijing lagi. Sebelumnya, kedudukan USA sebagai pelopor pingat sukan terbanyak dalam sukan Olimpik tidak digugat.

Keunggulan USA di ranah sukan ini juga adalah manifestasi kekuatan mereka dalam sudut ekonomi, mahupun kebolehan mereka dalam menerajui sektor teknologi dan kepimpinan politik sedunia.

Sungguhpun demikian, baru-baru ini negara China mula muncul sebagai pencabar terdekat dominasi US dalam bilangan pingat yang dimenangi. Secara tidak langsung, ianya mencerminkan kebangkitan negara China dalam tangga kedudukan kuasa dalam politik antarabangsa.

Di Olimpik 2024 Paris, negara China memperoleh pencapaian keseluruhan yang terbaik dalam rekod mereka. China berkongsi jumlah pingat emas yang sama dengan USA, walaupun USA berjaya merangkul kedudukan teratas dalam senarai keseluruhan dengan jumlah 126 pingat, berbanding China dengan jumlah 91 pingat.

Bahkan perseteruan antara kedua-dua negara di Olimpik 2024 juga diiringi dengan pelbagai kontroversi. Banyak berita melaporkan bahawasanya setiap pihak menuduh pihak yang lain menipu melalui ujian dadah sejak sebelum Olimpik 2024 bermula lagi.

Misalnya, pihak USA menuduh 23 atlet renang negara China penyalahgunaan bahan terlarang, dan turut menuduh organisasi World Anti-Doping Agency tidak memainkan peranan yang secukupnya. Sebahagian penggubal undang-undang di USA juga memperkenalkan rang undang-undang yang mahu menyekat dana dari Amerika disalurkan ke World Anti-Doping Agency bagi memberi tekanan terhadap organisasi tersebut.

Di pihak China pula, mereka menuduh atlet-atlet negara USA menggunakan organisasi-organisasi ini bagi menyekat kemaraan atlet mereka. Mereka juga menolak tuduhan “doping” ini sebagai palsu dan propaganda politik.

Meskipun demikian, di sebalik perkelahian antara dua negara besar ini, Olimpik Paris juga menonjolkan persembahan dan percapaian yang baik buat negara-negara membangun daripada “Global South”.

Negara-negara daripada benua Afrika berjaya meningkatkan prestasi mereka berbanding di Olimpik 2020 di Tokyo dengan jumlah 39 pingat – 13 emas, 12 Perak, dan 14 gangsa – terbahagi di antara 12 negara. Kenya antara yang tertinggi dengan jumlah 11 pingat keseluruhannya.

Uzbekistan juga menonjolkan prestasi yang memberangsangkan dengan 13 pingat di Olimpik 2024 Paris, iaitu 8 emas, 2 perak, dan 3 gangsa. Mereka juga tersenarai di tangga ke-13 daripada 206 negara yang lain.

Bahkan, apa yang lebih memeranjatkan adalah kemenangan Uzbekistan ini ditanggap secara menyeluruh oleh hampir semua masyarakat Asia Tenggah. Menurut Bermet Tursunkulova, mantan Timbalan Menteri Pendidikan dan Sains Republik Kyrgyz, solidariti dan kesatuan di peringkat serantau ini tidak pernah dilihat berlaku sebelum ini.

Dan tidak juga boleh kita lupakan bagaimana delegasi daripada Palestin diraikan sebagai simbol perlawanan terhadap genosid yang berlaku di Gaza. Apabila delegasi Palestin tiba di Paris, mereka disambut dengan meriah dan menerima pelbagai sorakan dan hadiah.

Ramai juga atlet dan penyokong sukan Perancis, termasuk dalam kalangan ahli politik, yang kemudiannya menggesa negara-negara Eropah mengiktiraf negara Palestin. Sebahagian lain pula dengan jelas menyatakan bantahan mereka terhadap kehadiran Israel dalam Olimpik 2024 kali ini.

Hal ini kerana negara Russia dan Belarus disekat daripada bertanding atas sebab penglibatan mereka dalam perperangan di Ukraine. Malangnya, pihak penganjur Olimpik 2024 tidak pula menerapkan standard yang sama pada rejim Zionis di Israel. Hal ini setidaknya menelanjangkan aspek hipokrasi sukan-sukan di peringkat ini sebagai suatu agenda yang turut dipengaruhi kuasa dan kepentingan negara Barat.

Banyak juga momen-momen solidariti daripada negara-negara “Global South” yang kemudiannya menular di dunia internet. Kemenangan kontroversi oleh Imane Khelif, peninju wanita dari Algeria, mula menghilang dan digantikan dengan gambar yang tular menunjukkan Imane Khelif dan pemenang pingat sukan tinju (kategori 66kg) yang lain; iaitu peninju China, Yang Liu (pingat emas) dan peninju Thailand, Janjaem Suwannapheng dan peninju China, Chen Nien Chin, berkongsi pingat gangsa.

Tidak ada perseteruan atau rasa cemburu, mahupun compaint yang tidak munasabah sepertimana yang muncul daripada sebahagian atlet-atlet Eropah. Keempat-empat atlet ini naik ke podium bersama dengan aman, sambil menonjolkan semangat solidariti dan sokongan antara satu sama lain. Beza sungguh dengan reaksi daripada atlet-atlet Eropah.

Suatu momen ikonik lain di Olimpik Paris yang mencuri hati jutawan netizen sedunia ialah gaya santai Yusuf Dikeç, atlet penembak tepat Turkiye yang memenangi pingat gangsa dengan gaya yang cukup bersahaja. Satu tangannya dimasuk ke dalam poket, dan tanpa dibantu sebarang alatan canggih seperti lawannya yang lain, beliau diangkat sebagai simbol ikonik bagi sesi Olimpik kali ini.

Tentunya, sambutan yang memberangsangkan dan prestasi yang meningkat daripada negara-negara “Global South” tidaklah bermaksud ianya suatu petanda mereka lebih baik daripada negara-negara lain.

Dunia hari ini sedang perlahan-lahan bergerak ke arah tatanan “multipolarity”, dan lebih banyak negara mula bergiat lebih aktif untuk mengetengahkan suara dan agenda mereka tanpa rasa takut-takut dengan negara “abang besar” yang lain. Situasi di Olimpik 2024 Paris baru-baru ini turut menggambarkan keyakinan negara-negara “Global South”, dan sambutan dunia tehadap mereka jelas memberi isyarat bahawa suara “Global South” tidak sekali boleh dipinggirkan lagi.

*Imran Rasid ialah “Research Correspondent” untuk International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, dan kini menetap di Istanbul. Imran sedang menduduki program sarjana dalam Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa di Ibn Haldun Universitesi.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *