Search
Close this search box.

Melawat Kuil: Jangan Gopoh Persoal Akidah Orang

Penulis: Furqan Abdullah

Isu berkenaan lawatan ke rumah ibadat bukan Islam perlu dinilai menerusi perspektif Fiqh Mizan, iaitu melihat neraca yang bersesuaian dan wajar. Ini penting bagi mewujudkan keseimbangan dalam pandangan dan pemahaman tentang dalil Quran, Sunnah serta mengelakkan sebarang bentuk ketempangan dan kepincangan.

Apabila kita amati dengan objektif tanpa prejudis, titik perbalahan (mahal niza’) yang timbul rentetan isu ini berkisar pada tiga perkara utama:

Pertama – hukum orang Muslim masuk atau menziarahi rumah ibadat bukan Islam.
Kedua – ulasan salah seorang peserta yang telah menimbulkan polemik dan dilihat atau difahami (atau didakwa) menjurus kepada fahaman pluralisme.
Ketiga – penyebaran aktiviti khusus atau kursus tertutup menerusi media sama ada media sosial, media bercetak dan seumpamanya.

Hukum seorang muslim masuk ke kuil, gereja dan rumah ibadat golongan kafir secara umumnya merupakan perkara yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama. Secara umumnya ia terbahagi kepada:

  • (i) Harus secara mutlak, ini merupakan pandangan majoriti dalam kalangan mazhab Maliki dan Hanbali berdasarkan perbuatan para sahabat seperti Abu Musa al-Asy’ari yang pernah solat di dalam gereja, keizinan Saidina Umar untuk umat Islam berdasarkan perjanjian yang dimeterai pada zaman beliau dan beberapa lagi bukti sejarah yang menyokongnya.
  • (ii) Harus bersyarat (dengan maksud makruh), ia khusus untuk rumah ibadat yang tiada patung atau berhala, ini merupakan pandangan ulama mazhab Syafie.
  • (iii) Makruh (dengan maksud haram) kerana ia merupakan tempat perkumpulan syaitan, ini merupakan pandangan mazhab Hanafi.

Meskipun terdapat perselisihan pandangan ulama dalam hal ini, namun perlu juga ditegaskan perkara paling utama adalah keadaan yang diharamkan tanpa khilaf untuk Muslim masuk ke rumah ibadat bukan Islam iaitu:

  • Hari lawatan tersebut sama dan menepati hari perayaan atau upacara khusus agama lain.
  • Muslim yang melawat disuruh menyertai upacara ibadat agama lain atau tidak boleh mengelakkannya apabila diarahkan.
  • Jika berkemungkinan menimbulkan fitnah terhadap agama Islam, contohnya menyebabkan Muslim yang melawat berasa ragu terhadap kebenaran Islam, atau lawatan tersebut membuka ruang kepada penghinaan terhadap sembahan agama lain yang dilarang oleh Quran.
  • Lawatan diadakan tanpa keizinan tuan rumah ibadat tersebut, kerana ia termasuk dalam perbuatan menceroboh.

Sebahagian ulama turut mengharamkan seseorang yang berkedudukan atau berjawatan masuk ke rumah ibadat agama lain jika sekiranya dikhuatiri membuka prasangka atau menimbulkan fitnah seolah-olah pemimpin tersebut mengiktiraf atau meredai agama tersebut. Ini berdasarkan keengganan Saidina Umar memenuhi jemputan pembesar Nasrani pada zaman beliau untuk melawat gereja mereka. Meskipun demikian, pengharaman ini tidaklah bersifat mutlak, akan tetapi dilihat pada mizan siyasah dan pertimbangan maslahat-mudarat.

Isu berkaitan ulasan salah seorang peserta tersebut menerusi keratan video yang tular pula tidaklah secara jelas menjurus kepada pluralisme agama atau mempromosikannya, kerana dapat difahami daripada kata-kata beliau (termasuklah penjelasan yang telah dibuat setelah timbul polemik) bukan mengiktiraf atau mendakwa semua agama adalah sama. Ini kerana, mengatakan terdapat persamaan dalam sebahagian ajaran agama tidak semestinya membawa maksud semua agama adalah sama.

Mengapa tidak bersangka baik dan berhati-hati?

Untuk berlaku adil, kita perlu meletakkan sangka baik yang tinggi kepada sesama Muslim, selagi ada ruang untuk ditakwil, kita perlulah melakukannya dan mengelakkan daripada menghukum atau berlebihan memperkatakan sesuatu yang tidak dimaksudkan.

Akan tetapi, wajar juga diingatkan di sini, peserta terbabit atau sesiapa sahaja perlu lebih berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak disalah erti atau disalah tafsir kerana mungkin ada kegelinciran, tersasul (sabq al-lisan) atau mungkin tersilap memilih perkataan maka kita anggap ia sebahagian daripada kekhilafan kecil yang wajar dimaafkan dan hanya cukup dengan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Berkaitan isu media pula, selari dengan objektif dan tujuan asal lawatan yang khusus kepada peserta yang menyertai kursus atau program terbabit, seeloknya ia dikekalkan tertutup tanpa perlu dihebahkan. Adapun ulasan salah seorang peserta yang menyatakan acara sedemikian perlu didedahkan kepada orang ramai adalah kurang sesuai, kerana ia perlu dihadkan khusus kepada mereka yang berkecimpung dan mempunyai asas ilmu yang kukuh berkenaan ajaran Islam terlebih dahulu, barulah boleh didedahkan dengan perbandingan agama. Justeru, acara khusus sebegini tidak perlu dibuat hebahan atau dibuat kawalan dan saringan yang ketat sebelum dihebahkan.

Justeru, pandangan yang mengharuskan melawat rumah ibadat bukan Islam bagi tujuan khusus untuk berdakwah, berdialog atau apa sahaja alasan yang kukuh dengan syarat-syarat ketat wajar diketengahkan. Keharusan ini pula terhad kepada kelompok tertentu (umpamanya mereka yang bergiat dalam lapangan dakwah bukan Muslim atau pengkaji bidang perbandingan agama) dan tidak wajar dibuka kepada awam bagi menutup ruang-ruang yang boleh mendatangkan fitnah dan mafsadah (berdasarkan kaedah sad zari’ah), umpamanya khuatir dimanipulasi oleh kelompok jahil atau yang memiliki motif dan agenda tertentu.

Hebahan pula tidak perlu dilakukan secara terbuka atau tanpa kawalan bagi mengelakkan risiko negatif seperti seolah-olah mempromosikan rumah ibadat untuk dilawat sewenang-wenangnya tanpa tujuan. Seeloknya, pihak berautoriti seperti institusi fatwa dijadikan rujukan ataupun dirangka garis panduan khusus bagi mengelakkan timbul sebarang polemik dan pertelingkahan yang merugikan umat.

Oleh yang demikian, jangan terlebih lajak dari laju untuk menghukum akidah mereka yang berkecimpung dalam acara sebegini, kerana isu ini lebih sesuai ditimbang menerusi mizan dakwah, khususnya wasilah dan pendekatan dakwah, bukan dibakulkan semuanya secara semberono pada mizan akidah sehingga menyebabkan ancaman kepada akidah. Pendekatan ini juga perlu bagi mengekalkan keharmonian, mengelakkan perpecahan dan menyuburkan ruang dialog, komunikasi serta dakwah secara berhikmah.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *