Penulis: Fathi Aris Omar
Dahulu, sebelum merdeka, orang Melayu curiga dan tidak selesa dengan orang Islam yang berlainan latar etnik. Mereka menyebutnya “darah keturunan Arab” (DKA).
Ada juga DKK atau “darah keturunan Klng”. Dahulu perkataan ini biasa-biasa sahaja, digunakan ratusan tahun sebelum dianggap sensitif sejak 20 atau 25 tahun mutakhir.
Kini orang Melayu tidak selesa dengan tuan kedai Aceh, peniaga Myanmar (Rohingya) dan juga buruh/peniaga Bangladesh. Mereka ini dianggap orang asing yang merampas hak dan peluang orang Melayu sebagai warga tempatan.
Di sinilah bermula “masalah” sikap dan cara fikir orang Melayu dalam melihat kuasa politik, daya saing, bantuan kerajaan dan peluang ekonomi.
Mereka menyangka sesuatu peluang itu harus datang bergolek dengan dipayungi kuasa kerajaan. Jika kerajaan tidak melindungi orang Melayu daripada etnik asing ini atau tidak menghulurkan bantuan, maka kerajaan ini tidak berguna apa-apa!
Sikap mereka ini boleh menjelaskan lagi kecurigaan dan kemarahan mereka terhadap etnik Cina yang menguasai ekonomi atau India yang berpendapatan tinggi.
Orang Melayu lupa penguasaan Cina, Aceh, Myanmar, Bangladesh atau India bukan dengan bantuan kerajaan. Etnik ini berusaha sendiri sejak bertapak di sini dan terpaksa melalui sepak terajang hidup sebagai orang luar.
Orang Melayu lupa kenaikan etnik ini, pada hakikatnya, menelanjangi kelemahan mereka sendiri juga yang tidak berdaya saing atau gagal memanfaatkan peluang sebagai anak tempatan.
Sikap cemburu dan dengki orang Melayu pada status ekonomi etnik lain tidak akan dapat diperbaiki melalui kuasa politik atau sekatan kerajaan terhadap etnik lain.
Peniaga Cina misalnya ada sistem, budaya kerja dan jaringan ekonomi yang dibina daripada bawah juga walau, mungkin, dibantu semangat niaga dari tanah besar China.
Di mana-mana mereka bertapak, mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi, budaya dan politik setempat.
Budaya kerja mereka ini mungkin boleh diteliti bersama sikap peniaga Yahudi, Pattani dan Kelantan yang berjaya naik berkembang dengan penat lelah diri mereka sendiri. Cuba juga belajar daripada golongan peniaga India di Afrika misalnya.
Jadi keluh kesah Melayu akan nasib dan masa depan mereka di sini bukanlah kerana tiada bantuan kerajaan sahaja tetapi juga tiada daya saing dan semangat melawan dalam perekonomian.
Hal inilah yang mereka, yakni cerdik pandai Melayu, perlu tekankan kepada bangsa sendiri. Yakni tiada daya saing dan berangan dihulur bantuan akhirnya akan memusnahkan orang Melayu.
Baca juga daya saing etnik Cina yang diulas secara ringkas dalam pautan artikel Harvard Business Review (1993).
Tengok orang Aceh, orang Kemboja, orang Rohingya, orang Bangladesh, orang Pattani dan orang Kelantan yang boleh bergiat dan berkembang ekonomi mereka. Kenapa Melayu tidak boleh?
Sebab itu, beberapa hari lepas, saya menulis Melayu mundur kerana banyak bercakap, banyak merungut dan banyak membebel. Melayu jenis cakap banyak ini memang boleh menjahanamkan bangsa dan diri sendiri.
Kalau datang makhluk dari Marikh sekalipun, jika Melayu tidak berdaya saing dan terus menadah tangan mengharapkan kerajaan semata-mata, pastilah orang Marikh ini lebih maju dan berjaya!
Apa sebabnya? Dengan kelas peniaga Cina mereka rasa tidak terlawan, dengan pendatang Aceh mereka tidak selesa, dengan mangsa penindasan Rohingya pun mereka rasa tewas, apa lagi yang kita boleh sandarkan pada orang Melayu?




