Search
Close this search box.

“Yang Berkhidmat” Tuan Hamid Gurkha

Penulis: Munsyi Wildani

“Saya harap saudara-saudari jangan panggil saya Yang Berhormat. Panggil sahaja yang berkhidmat. Kalau saudara panggil saya yang berhormat takut nanti saya tidak boleh berkhidmat. Jadi cacing naik ke mata.” – Aku Yang Berhormat, 1982.

Ini ialah petikan kata-kata Pak Hamid (lakonan oleh Allahyarham Hamid Gurkha) dalam filem ‘Aku Yang Berhormat’ semasa beliau baru dipilih sebagai wakil rakyat.

Dialog ini diucapkan dalam salah satu adegan filem itu, Pak Hamid serta sahabatnya, Jaafar (diperanankan oleh Allahyarham R. Jaafar), ketika mereka melawat ke kampung tersebut.

Keadaannya berbeza semasa penduduk kampung tersebut diwakili oleh YB Jamali (diperanankan oleh Allahyarham Jamali Shadat).

Rayuan serta permintaan penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan subsidi baja tidak diendahkan berkali-kali. Bahkan mereka disuruh pula untuk menggunakan najis lembu sebagai baja. 

Pak Hamid digambarkan turut merasai kesusahan rakan-rakan sekampungnya itu. Dia juga turut kecewa kerana YB Jamali juga adalah seorang yang pernah mengalami keadaan yang sama seperti mereka.

Lantas Pak Hamid nekad untuk melawan YB Jamali ketika pilihan raya. Ternyata beliau tidak keseorangan.

Kerana melihat YB Jamali memperbodoh-bodohkan mereka setiap kali khidmatnya diperlukan, penduduk kampung telah memberi sokongan yang tidak berbelah-bagi kepada Pak Hamid.

Beginilah tugas sebagai rakyat yang bermaruah; apabila pemimpin memperbodohkan mereka, mereka bingkas bangun dan bangkit. Al-Quran telah menempelak kaum Qibti yang merelakan diri mereka diperbodohkan oleh Firaun melalui ayat 54 Surah al-Zukhruf.

Walhasil, meskipun Pak Hamid terpaksa menghadapi penyandang jawatan tersebut menggunakan pelbagai cara (termasuk memanggil wartawan daripada Golok dan Masa Hadapan), sokongan padu daripada penduduk kampung telah menempatkan beliau sebagai wakil rakyat menggantikan Jamali (panggilan sesudah tidak menjadi YB).

Setelah dipilih, beliau sedaya upaya bertugas sebagai ‘Yang Berkhidmat’ dengan cuba menyelesaikan masalah-masalah tertunggak yang dihadapi penduduk kampungnya.

Pejabatnya sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran penduduk yang diwakili. Subsidi baja yang kian lama tertangguh terus diselesaikan sepantas kilat.

Bahkan mereka berdua telah berusaha menyelesaikan banyak lagi masalah yang dibiarkan tertunggak sepeninggalan Jamali yang kini hidup kembali sebagai orang kampung serta petani biasa.

Visi Pak Hamid tidak terhenti di situ. Apabila mendapat peluang untuk penduduk kampungnya meningkatkan taraf ekonomi menerusi tabungan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang popular ketika era 1980-an, dia mengajak pegawai ASB untuk turun memberi penerangan kepada penduduk kampung.

Ini ialah sisi penting peranan seorang pemimpin yang selalu diabaikan. Pemimpin haruslah –  seperti mana yang diungkap Allahyarham Ustaz Siddiq Fadzil menerusi buku ‘Kepemimpinan Melayu Era Perubahan’ – perlu memberikan panduan, pengarahan dan bimbingan kepada rakyat.

Pemimpin juga harus menetapkan hala tuju masyarakat yang dipimpinnya.

Walaupun latar belakang Pak Hamid dipamerkan tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi di samping sosok pembawaannya yang sangat sederhana, tapi ia tidak menghalang Pak Hamid daripada dihormati penduduk kampung tersebut.

Beliau bukan meraih kepercayaan sebagai tokoh politik semata-mata, tetapi watak Pak Hamid ditonjolkan dapat memimpin kesedaran dalam kalangan penduduk kampungnya untuk bangkit menyuarakan hak serta membuat perubahan untuk memperbaiki hidup mereka.

Keikhlasan serta ketulusan watak yang diperanankan itu terserlah, walaupun watak yang dibawakan itu hanya terhad dalam filem tersebut.

Ini adalah salah satu legasi Allahyarham Hamid Gurkha yang akan sentiasa diabadikan, terutamanya setiap kali kita berbincang mengenai peranan sebenar seorang wakil rakyat.

Wakil Rakyat yang ditampilkan dalam “Aku Yang Berhormat” hakikatnya ialah orang biasa. Gelaran YB pada Jamali hilang sesudah beliau tidak dipilih lagi.

Dari satu sisi lain pula; watak Pak Hamid ditampilkan sebagai menanggapi gelaran YB itu sebagai tanggungjawab.

Sebab itu dia mengingatkan bahawa dia harus dihormati sebagai Yang Berkhidmat. Dalam filem itu hidup Pak Hamid hanya berubah pada rutin hariannya sebagai wakil rakyat.

Ini ialah kitaran yang barangkali cuba diingatkan Allahyarham Ustaz Siddiq Fadzil menerusi leluconnya yang ditularkan beberapa tahun dahulu. 

“Di Indonesia, ada satu gurauan. Kalau boleh, wakil Camat mahu jadi Camat (pemimpin daerah), wakil Bupati mahu jadi Bupati (pemimpin kabupaten), wakil Gabenor mahu jadi Gabenor (pemimpin wilayah), wakil Presiden mahu jadi Presiden (Ketua Negara). Cuma wakil rakyat sahaja yang tidak mahu menjadi rakyat.”

Untuk itu seseorang wakil tidak seharusnya sombong. Dia hakikatnya ialah wakil yang dipilih (menerusi pilihan raya) untuk berkhidmat kepada rakyatnya.

Seorang “Yang Berhormat” seharusnya tiada masalah untuk memahami masalah yang dihadapi rakyat yang diwakilinya, kerana hakikatnya dia juga adalah daripada kalangan orang biasa juga!

Justeru tiada alasan untuk dia tidak turun ke padang atau bersungguh-sungguh menyelesaikan aduan yang diajukan orang biasa. 

Seorang “Yang Berhormat” juga tidak seharusnya memperbodohkan rakyatnya dengan alasan remeh. Dalam dunia serba terbuka, aib mereka menanti masa untuk dicela kerana mempersendakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat!

Seorang YB ada dua sisi yang perlu dipilih. Sisi pertama: Selesa dikenang semata-mata kerana gelaran “Yang Berhormat” yang mana ia akan luput sesudah pemergiannya ataupun dilucutkan oleh rakyat.

Sisi kedua: Bersusah payah menjadi “Yang Berkhidmat” walaupun tidak popular pada mulanya, nama baiknya akan terus mengakar kerana khidmat baktinya kepada rakyat yang diwakilinya.

Kita doakan semoga roh Allahyarham Hamid Gurkha, mereka yang kita tampilkan nama serta sumbangannya dalam tulisan ini, mereka yang sentiasa berkhidmat untuk rakyat memerlukan, dirahmati kerana telah sedaya upaya menyedarkan dan mendidik kita dengan sebaik-baik teladan.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *