Penulis: Dr Sahul HM
Banyak bangsa dalam dalam dunia ini yang mempunyai heronya yang tersendiri. Orang Inggeris memiliki King Arthur dan Robin Hood. Orang India ada Pandawa Berlima. Orang China dengan watak Ta Yu dan Arab klasik dengan Aladdinnya. Watak-watak ini wujud sejak ratusan malah ribuan tahun yang lalu untuk menjadi sumber inspirasi atau hiburan berdasarkan zaman dan keadaan masing-masing. Bersungguh orang Inggeris mengangkat watak Robin Hood dan King Arthur sehingga dibikin filem dan dipasarkan ke seluruh dunia, tetapi ia tetap dikekalkan pada tahap mitologinya. Tidak pula di sana mereka berwacana untuk mengabsahkan status Robin dan Arthur sebagai watak sejarah yang pernah benar-benar wujud.
Di belahan dunia sebelah timur, di Nusantara juga tidak terlepas daripada fenomena sedemikian. Orang Melayu berbangga dengan Hang Tuah lima bersaudara dan Mahsuri. Manakala orang Jawa pula antaranya mempunyai Nyi Roro Kidul dan Ratu Adil. Antara semua ini, Hang Tuah lima bersaudaralah yang paling popular dan mendapat liputan meluas di Nusantara. Daripada sastera sejarah, Hang Tuah diangkat sebagai sebahagian daripada sejarah, walaupun masih terdapat debat dan polemik yang tidak berkesudahan tentangnya.
Persoalannya -di luar daripada perbahasan sejarah-, adakah hanya Hang Tuah dan Hang Jebat mahu dan mampu dijadikan hero oleh orang Melayu? Ada beberapa kelemahan ketara dalam mengiktiraf dua tokoh tersebut sebagai hero orang Melayu.
Pertama, watak tersebut masih menjadi pertikaian dalam kalangan sejarawan, sama ada mereka benar-benar wujud ataupun sekadar sastera sejarah yang ditulis sebagai sebahagian daripada propaganda pembinaan kesetiaan feudalisme. Ia belum putus sebagai kebenaran sejarah yang muktamad. Karya Prof. Ahmat Adam berjudul “Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia” ada membincangkan perihal ini dengan panjang lebar.

Kedua, watak-watak tersebut tidak melambangkan ciri dan nilai Islam yang sebenar. Terdapat banyak perbuatan dan tindak-tanduk mereka terkeluar daripada akhlak sebagai Muslim. Melarikan tunangan orang, mabuk, bermukah, membunuh dan keadilan selektif ialah kesalahan yang terang-terangan dikhabarkan. Ini bukan dakwaan, tetapi dinyatakan secara jelas dalam Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin.
Ketiga, jika Hang Tuah dipilih, maka itu merupakan simbol penundukan mutlak terhadap kuasa. Tuah ialah simbol hamba feudal. Tuah tiada nilai setiakawan, tetapi Tuah tebal dengan kepatuhannya kepada penguasa meskipun penguasanya bobrok. Manakala Jebat, meskipun memberontak membela sahabat, tetapi tetap juga melakukan banyak kerosakan terhadap harta dan kepentingan awam. Jebat ialah simbol hamba nafsu. Jebat tidaklah menjadi suci kerana membantah Tuah.
Keempat, kisah Tuah dan Jebat diselubungi banyak kisah tahyul dan khurafat yang bertentangan dengan agama dan adat sebagai manusia. Ia tidak logik pada akal manusia, tetapi dipaksa untuk diterima atas nama kesetiaan. Adapun ceritera hidup manusia biasa begini tidaklah termasuk sebagai sebahagian daripada perkara ghaib yang wajib diimani.
Justeru, apakah penyelesaian menetapkan hero orang Melayu? Ada. Ramai. Banyak watak hero yang tidak diangkat selayaknya. Tidakkah sekian banyak watak pejuang kebebasan dan kemerdekaan orang Melayu dapat dijulang? Apakah orang Melayu hanya nampak Tuah dan Jebat – yang belum tentu betul, sedangkan berpuluh pejuang bangsa dan agama di Tanah ini diabaikan begitu sahaja?
Di mana mahu disembunyikan keberanian para pejuang seperti Dato Sagor dan Maharajalela, Rosli Dhobi, Tok Janggut, Rentap (dengan motto Agi Idup Agi Ngelaban), misalnya. Oh mereka ialah pembesar yang punya motif ekonomi. Habis jika tiada motif, untuk apa mahu ditentang si penjajah? Pemerkosaan ekonomi juga merupakan alasan absah bagi menentang penjajah. Selama ini kita dipesongkan sesetengahnya bahawa perjuangan mereka ini bermotifkan ekonomi semata-mata tanpa mendedahkan bahawa itu juga merupakan pencerobohan oleh penjajah terhadap sistem sosioekonomi masyarakat asal.
Bagaimana pula dengan Burhanuddin Helmi yang terpenjara dan Abu Bakar Baqir yang diharamkan gerakannya? Tidakkah mereka juga hero? Semua watak yang disebut ini benar-benar wujud, melawan penjajah, mempertaruhkan pangkat dan nyawa demi tanah ini. Tiada unsur tahyul dan khurafat melingkari kisah mereka, sekurang-kurangnya tidaklah bagi mengkuduskan mereka. Mereka tidak dipuja kerana ketaatan yang membuta tuli atau kerana bangkit mengamuk membunuh orang awam. Tetapi mereka menjadi simbol perjuangan pembebasan daripada penjajahan dan perhambaan.
Sudah tiba masanya sarjana Melayu duduk dan berbincang bagi meluruskan keperwiraan bangsa. Kembalilah kepada realiti. Realiti yang lebih menjanjikan. Pertentangan nilai antara hero dengan Islam adalah serius kerana, selepas Arab dan Turki, hanya (Alam) Melayu sahajalah satu-satunya bangsa yang diasosiasikan dengan Islam. Maka pengiktirafan itu harus dipelihara dan terpelihara.




