Search
Close this search box.

Surah al-Rum: Satu Tinjauan Sejarah

Penulis: Dr Sahul HM

Alif Laam Miim. (1)

Rom sudah dikalahkan. (2)

Di negeri yang berdekatan. dan sesudah kalah mereka akan menang kembali. (3)

Dalam beberapa tahun. Allahlah yang memegang teraju segala urusan, sebelum dan sesudah, dan pada hari itu (kemenangan Rom) orang yang beriman bergembira. (4)

Ini ayat permulaan Surah ar-Rum. Sebagai seorang pelajar dan pengkaji sejarah, bagi penulis, ayat ini cukup mengharukan, mengagum dan mengujakan untuk menanggapinya dari sudut sejarah. Rom pada waktu turunnya ayat ini, iaitu kira-kira tahun 615 Masihi menurut al-Maududi, merupakan kerajaan yang sangat berkuasa. Rom dilanggar oleh Parsi (Iran) yang beragama Majusi, iaitu penyembah api. Ia juga menandakan perseteruan antara Majusi dengan Kristian, kerana Empayar Rom, atau lebih tepat Byzantine, merupakan tunjang agama Kristian pada waktu itu. 

Di Timur, tahun 615 Masihi bermaksud kira-kira lima tahun selepas peristiwa Nubuwwah Nabi Muhammad SAW. Syria dan Palestin merupakan wilayah taklukan Rom yang berjaya dirampas oleh tentera Parsi di bawah pimpinan Khusrau (dikenali juga sebagai Chosroes). Manakala dua tempat ini merupakan wilayah yang berjiran dengan Makkah (Jazirah Arab) yang baru menerima Islam waktu itu.

Ada dua isu besar dalam ayat tersebut. Pertama, betapa agungnya sabda Nabi SAW dalam menelah bahawa Rom akan kembali menewaskan Parsi dalam tempoh yang singkat. Telahan itu pada awalnya diketawakan oleh para Musyrikin Makkah yang bergembira kerana tumpasnya Rome yang membawa agama Samawi. Walaupun kita faham telahan tersebut ialah wahyu daripada Allah, bagi Musyrikin Makkah ia tidak lebih sekadar nujum seorang penyihir bernama Muhammad. Mana mungkin Rom mampu menumpaskan Parsi yang barbarik dan kuat tersebut, dalam tempoh terdekat pula? Hinggakan Edward Gibbon dalam karya agung beliau The Decline and Fall of the Roman Empire menyatakan bahawa Hercules hampir-hampir membubarkan empayar Rom akibat kekalahan tersebut. 

Ia umpama Amerika Syarikat yang membelasah Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Setelah musnahnya Jepun, ada strategis meramalkan Amerika Syarikat bakal ditumpaskan kembali oleh Jepun dalam tempoh terdekat. Katakanlah, Jepun menyerah kalah pada 1945 tetapi menjelang 1950-an ia akan kembali menyerang US dan menewaskannya. Pastinya strategis tersebut akan diketawakan kerana kemusnahan dan kekalahan Jepun terlalu besar untuk bangkit kembali dalam tempoh singkat. Begitulah kedudukan Nabi SAW pada tahun 615 Masihi itu. Baginda diejek dan ditertawakan. Namun, keagungan wahyu Baginda nyata tidak meleset.

Isu kedua, mengapakah umat Islam pula bergembira dengan kemenangan Heraclius/Rom sedangkan Rom merupakan penegak agama Kristian, yang jelas ditentang oleh Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW? Ada beberapa penjelasan yang penulis temui dalam mentafsirkan ayat keempat surah al-Rum tersebut. Yang pertama, dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, Sayyid Qutb menjelaskan bahawa ia merupakan pernyataan syukur terhadap kemenangan ahli kitab yang lebih hampir kepada Islam berbanding penyembah api, iaitu Majusi Parsi. Disimpulkan bahawa Rome/Byzantine/Kristian itu lebih menyokong aqidah yang menyembah Allah dan membantu umat Islam Makkah berhadapan dengan ejekan dan hinaan orang Musyrikin Makkah berbanding Majusi yang ternyata aqidahnya berbeza sama sekali.

Yang kedua, dalam tafsir Tafhim al-Quran oleh Syeikh Abul a’la al-Maududi, beliau menjelaskan bahawa ‘kegembiraan’ yang dinyatakan dalam Quran tersebut merujuk kepada peristiwa Fathu Makkah yang berlaku dalam dunia Islam pada masa yang sama dengan kemenangan mutlak Heraclius terhadap Khusrau pada 628 Masihi. Ia adalah 13 tahun selepas kejatuhan kuasa Rom pada 615 Masihi. Maka kegembiraan yang diyatakan itu bukanlah kerana umat Islam bergembira dengan kemenangan Rom, sebaliknya berhubung dengan pembukaan kota Makkah.

Tafsir Ibn Kathir pula menyimpulkan bahawa kegembiraan umat Islam adalah kerana benarnya mukjizat Nabi tentang kemenangan Rom lantas mendiamkan ejekan dan tuduhan Musyrikin Makkah selama ini. Walau bagaimanapun, Ibn Kathir membincangkan dengan lebih mendalam peristiwa kemenangan Rom dengan kaitannya terhadap dunia Islam.

Demikianlah serba sedikit beberapa pandangan masyhur berkaitan ayat pemula surah ar-Rum tersebut. Ia membawa semangat zamannya, zeitgeist. Quran merekodkan peristiwa perang dan diplomasi antarabangsa dengan begitu indah dan terbuka untuk dibahaskan dan dipelajari oleh pelajar dan peminat sejarah walaupun setelah 1400 tahun berlalu. Ruang untuk membicara dan mengkajinya dalam konteks semasa masih terbuka sehingga ke hari ini.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *