Penulis: Dr Sahul HM
“Wahai orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia (yang terdakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memesongkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka ketahuilah Allah Maha Mengetahui terhadap segala yang kamu kerjakan”. (Al-Nisa’: 135)
“Wahai orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan”. (Al-Maidah: 8)
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran” (Al-Nahl: 90)
Tiga terjemahan ayat al-Quran di atas berkait dengan keadilan. Adil secara ringkas bermaksud meletakkan hak di tempat yang sewajarnya. Ia tidak bermaksud sama rata. Sama rata tidak dapat menterjemahkan maksud ‘adil’ dengan jitu. Adil bermakna mengatakan ‘tidak’ kepada yang batil walaupun ia dilakukan oleh kerabat kita, dan mengatakan ‘ya’ kepada yang ‘benar walaupun ia dilakukan oleh mereka yang bermusuh dengan kita.
Ia lebih mudah diungkapkan daripada dilaksanakan. Bukan mudah untuk mulut, tangan dan hati ingin menidakkan perlakuan kerabat sendiri dan bukan mudah juga untuk mengakui kebenaran yang dilakukan oleh musuh. Tetapi itulah kehendak ulung agama. ‘Adil’ ialah prinsip yang ulung dalam Islam bagi mengembalikan manusia ke jalan yang benar, Siratul Mustaqim. ‘Adil’ inilah yang mendobrak sekalian tembok asabiyah yang diamalkan di sepanjang zaman Jahiliyah sehingga turunnya wahyu yang pertama pada 610 Masihi yang menandakan Nubuwwah di Gua Hira’.
‘Adil’ meruntuhkan institusi asabiyah yang menyelubungi masyarakat Arab sehingga keseluruhan sistem hidup mereka dipandu oleh ketaksuban terhadap puak dan kerabat sendiri. Pergaduhan dan persengketaan antara kabilah mampu berlanjutan sehingga beberapa generasi akibat tiadanya sikap dan nilai ‘adil’ yang diamalkan. Mereka mempertahankan puak dan kerabat sendiri meskipun ketika mereka sedar ia merupakan kesilapan sendiri. Berat mulutnya untuk mengakui kesilapan dan kesalahan diri sendiri. Asabiyah ialah lambang kezaliman.
Dalam konteks politik kita di Malaysia ini, itulah yang kerap berlaku hatta oleh kumpulan yang mendakwa membawa politik berteraskan agama. Mereka berbangga dengan gelar dan label ‘Islam’ pada pertubuhannya tetapi mereka jugalah yang paling keras mempertahankan kebobrokan pemimpin dan ahli pertubuhan sendiri walaupun jelas ia melanggar prinsip kebenaran. Jika tidakpun kebenaran (kerana kebenaran boleh ditafsirkan secara berbeza), ketika kerabat mereka melanggar undang-undang dan peraturan yang mereka hidup di dalamnya.
Atas nama agama, secara tidak langsung mereka mempamerkan ciri asabiyah yang sudah lama diruntuhkan oleh Nabi SAW sejak 1400 tahun yang lalu. Berat mulut mereka untuk menegur kesalahan dan kesilapan sesama sendiri, sedang pada masa yang sama mereka lantang mengecam kesalahan dan kesilapan orang lain dengan keras dan kasar tanpa sedikitpun terlintas untuk memberikan keistimewaan benefit of doubt.
Apabila pemimpin yang mereka sukai, digali selagi mahu segala dalil naqli dan aqli yang ada untuk mewajarkan tindak-tanduknya. Jika pemimpin itu datangnya daripada sebelah yang lain, ditutup pula segala pintu ijtihad –walaupun terdapat ruang dan peluang- demi mendustakan segala tindakannya. Jauhnya mereka daripada prinsip ‘adil’ yang diseru oleh agama sedang pada masa yang sama mulut mereka meratib bahawa merekalah ‘avatar’ daripada “Jamaatul Muslimin” yang terakam dalam Hadith.
Mereka tidak melaksanakan apa yang mereka katakan. Malah mereka melaksanakan apa yang tidak sepatutnya dilaksanakan. Mereka ini umpama penyair yang khayal dengan karyanya, mengungkapkan segala sesuatu yang dipenuhi angan-angan yang disogokkan oleh kalimat pemimpinnya, tetapi tidak pula melakukan apa yang dianganinya. Mereka seumpama terjemahan perihal yang terkandung dalam al-Quran, surah al-Syua’ra: 225-227, yang berakhir dengan amaran Allah, “Dan orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana mereka akan dikembalikan!”
Demikianlah penyakit yang sedang dideritai oleh umat Islam yang dilanda penyakit asabiyyah. Sepertimana virus Covid-19 yang melemahkan imunisasi badan, virus asabiyah yang menidakkan prinsip ‘adil’ ini pula sedang melemahkan ikatan hati manusia Muslim, hanya kerana perbezaan ijtihad dalam mendepani urusan seharian masyarakat, bukannya dalam hal-hal fundamental agama yang sudah disepakati hukumnya.




