Search
Close this search box.

Politikus, Kebajikan Palsu & Pencuaian Peranan Sebenar

Penulis: Furqan Abdullah

Kerja-kerja kebajikan sememangnya merupakan suatu yang amat dituntut oleh agama. Namun demikian, berlaku salah faham dalam kalangan segelintir masyarakat apabila mengehadkan kebajikan hanya pada aspek-aspek yang berkaitan kerohanian. Umpamanya baru-baru ini ada tokoh politik yang mempersoalkan kenapa beliau didakwa dengan pelbagai dakwaan pecah amanah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sedangkan beliau telah melakukan kerja-kerja kebajikan seperti pembinaan masjid, rumah anak-anak yatim dan bersedekah untuk sekolah tahfiz.

Idea ‘kebajikan palsu’ atau fase generosity, sebuah konsep yang mula diketengahkan oleh Paulo Freire lewat karyanya berjudul Pedagogy of the Oppressed, yang antara lain kritikan terhadap fenomena yang melihat manusia sebagai objek yang lemah dan tidak berupaya bangkit melawan penindasan serta ketidakadilan. Fenomena ini menjadi semakin membarah dan sedikit sebanyak menjadi faktor pengukuhan kedudukan dan kuasa pemerintah yang zalim lagi menindas. Justeru, dengan menaburkan pelbagai bentuk kebajikan palsu, para penguasa berasa amat selesa dan tenang kerana mereka beranggapan masyarakat terbanyak tidak mampu bangkit menagih kebajikan yang sebenar, antara yang utama adalah menuntut keadilan dan kesaksamaan, tekad menentang segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta tadbir urus yang baik.

Kita tidaklah menuduh secara semberono bahawa kesemua kerja kebajikan yang telah dilakukan tersebut adalah tidak diterima atau palsu, akan tetapi boleh dikatakan ia bersifat kebajikan separuh masak. Dengan bahasa mudah, kadangkala segelintir pihak menyangka mereka telah melakukan kerja kebajikan, namun rupa-rupanya tertipu dengan diri sendiri atau tanpa disedari kebajikan yang disangka telah disempurnakan tersebut hakikatnya bukan kebajikan yang tulen.

Oleh itu, beberapa contoh yang dikemukakan akan menerangkan inti bicara ini. Segelintir penguasa berjawatan rasmi berlumba-lumba melakukan kerja-kerja kebajikan sosial (tanpa mempertikai niat dan usaha murni masing-masing) yang sebenarnya tidak pun memerlukan mereka dan juga bukan bidang tugas utama mereka pun. Contohnya, kadangkala kedudukan sebagai ahli parlimen dibebankan dan dilonggokkan dengan tugas-tugas kebajikan (menurut neraca masyarakat terbanyak) seperti pemberian bantuan makanan asasi, membaiki infrastruktur dan seumpamanya. Hal ini tidak sepatutnya demikian, kerana kerja-kerja sebegini hakikatnya adalah bidang tugas pelbagai agensi yang sedia wujud seperti pihak berkuasa tempatan, jabatan kebajikan masyarakat dan juga pertubuhan sivil serta masyarakat madani.

Ahli parlimen yang dilonggokkan dan dibebankan dengan kerja-kerja kebajikan untuk menjaga kawasan masing-masing sedikit sebanyak telah membawa implikasi negatif, bahkan menyebabkan segelintir wakil rakyat melakukan tugas mereka secara sambil lewa. Malahan, ada juga yang dilihat seringkali ponteng sidang parlimen atau lebih mengutamakan kuliah duha berbanding membahaskan dasar kerajaan dalam sesi parlimen. Jika diteliti, tugas-tugas hakiki ahli parlimen menurut model Westminster antaranya adalah berperanan untuk menentukan pihak mana yang mempunyai kepercayaan untuk membentuk kerajaan.

Selain itu, mereka juga bertanggungjawab untuk menggubal undang-undang, justeru ia melibatkan kepentingan semua rakyat Malaysia yang akan menerima kesan daripada undang-undang yang akan diluluskan kelak. Di samping itu, ahli parlimen mempunyai peranan dalam menyemak setiap dasar, belanjawan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan supaya setiap perancangan dibuat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara, atau dengan kata lain mereka berperanan dalam proses semak dan imbang dasar-dasar kerajaan, bukan menjadi seperti pasu bunga dalam dewan parlimen.

Sebagai contoh, isu berkaitan pakej rangsangan ekonomi yang memakan belanja tambahan, pembentukan kabinet kerajaan yang maha besar, pelantikan individu yang tidak berkelayakan dalam sesebuah agensi atau syarikat berkaitan kerajaan dan juga prosedur operasi standard (SOP) yang bercelaru serta mengelirukan. Perkara sebegini yang sepatutnya diperjuangkan oleh ahli-ahli parlimen yang dibiayai oleh cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat.

Selain itu, pada suatu ketika dahulu diperkenalkan inisiatif pemberian bakul makanan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Padahal sepatutnya peruntukan itu digunakan untuk program yang lebih bermanfaat dan berimpak bagi merawat permasalahan yang lebih mendasar dan penting di peringkat negara. Lebih-lebih lagi kita turut melihat laporan daripada pelbagai pihak berkenaan kebanjiran food bank, sumbangan makanan dan sebagainya yang tidak memerlukan langsung peruntukan tambahan daripada kerajaan.

Sebaliknya, yang dituntut untuk mereka laksanakan ialah kebajikan tulen, antaranya pewujudan polisi yang baik dan berkesan, penguatkuasaan undang-undang yang adil dan saksama, strategi dan pelan pemulihan yang realistik dan seumpamanya. Namun demikian, apa yang kita lihat ialah penguasa lebih berlumba-lumba untuk memperlihatkan dan mempertontonkan kebajikan lakonan yang kemudian ditayang di media sosial dan mendapat liputan yang meluas.

Suatu ketika dahulu, seorang ahli parlimen berjawatan timbalan menteri dilihat berdiri di sebelah pokok getah dalam keadaan hujan sambil menceritakan betapa sukarnya hidup penoreh getah di kawasan beliau setiap kali musim tengkujuh. Dengan memegang mangkuk susu getah yang digenangi air hujan, beliau melahirkan rasa simpati beliau kepada penoreh yang tiada pendapatan disebabkan pokok getah yang basah tidak boleh ditoreh. Menerusi lakonan tersebut, beliau merayu supaya orang ramai yang menonton video tersebut untuk menghulurkan sumbangan pada penoreh getah bagi meringankan beban mereka.

Ini semestinya perbuatan yang sungguh tidak bertanggungjawab (tanpa mempertikaikan niat beliau), kerana beliau yang berada di tampuk kuasa dan pemerintahan sepatutnya merancang dan memikirkan solusi yang ampuh untuk menyelesaikan masalah golongan penoreh ini. Tambahan pula, sudah banyak teknologi torehan getah dan juga penyelidikan terkini yang dijalankan untuk membantu memudahkan kerja penoreh dengan kos yang murah dan efisien. Negara jiran kita Thailand pun sudah jauh meninggalkan kita dalam inovasi teknologi torehan getah. Hal ini menggambarkan betapa sakitnya segelintir masyarakat termasuklah pimpinan negara yang tidak mampu memikirkan solusi, sebaliknya suka bermain dengan sentimen, retorik dan simpati orang ramai bagi meraih mileage politik mereka.

Namun, ini tidaklah bermaksud mereka langsung tidak boleh melakukan kerja pemberian bantuan dan sumbangan, namun lebih kepada soal prioriti dan tanggungjawab utama yang mereka galas di peringkat penggubalan dasar, polisi dan tugas yang mampu membanteras punca masalah yang melanda rakyat terbanyak. Kadangkala, dalam sesetengah keadaan mereka akan melakukan program kebajikan menyantuni rakyat menjelang pilihan raya, ataupun ketika merasakan kedudukan mereka terancam dan terdapat bibit-bibit yang bakal menjadi faktor yang menggugat kekuasaan mereka. Justeru, tulisan ini dilontarkan buat rakyat yang celik mata dan minda agar sentiasa berterusan menuntut kebajikan yang tulen daripada penguasa dan pemimpin, bukan berterusan dikaburi dengan kebajikan palsu lagi menipu.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *