Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Macam mana saya hendak bercakap mengenai hal ehwal pendidikan dalam kuliah Maghrib?
Isu agamakah Pendidikan ini?
Apa al-Quran cakap mengenai Pendidikan?
Apa Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam sabdakan mengenainya?
Pertanyaan-pertanyaan ini saya suarakan dengan jujur kepada jemaah yang hadir ke kuliah Maghrib sekitar tahun 2015 lalu. Saya berterus terang bahawa saya sedang mencari rentak, cuba menyesuaikan pendekatan, dan terbuka kepada kritikan atau cadangan.
Saya pasti, agama Islam bukan hanya mengenai apa yang diajar dan dipelajari. Jika urusan agama selesai hanya dengan belajar apa yang perlu dipelajari, sudah tentu banyak masalah umat telah menemui penyelesaian. Tidak tahu, beritahu, selesai. Sebaliknya, kita semua akur, di zaman kita lebih banyak tahu tentang agama, inilah juga zaman pelbagai masalah berkaitan agama timbul. Di zaman masyarakat kita beragama secara tradisional, syariat dan adat masih bercampur silang, pengetahuan agama pun terbatas kepada hal-hal ibadah khusus, ia juga zaman yang dikenang sebagai zaman orang kita lebih berbudi bahasa, bersopan santun dan merendah diri.
Hubungkait antara semua itu mungkin wujud, mungkin sangkaan semata-mata.
Namun, sebagai graduan Syariah, sebagai seorang ustaz, sebagai seorang yang serba sedikit sudah melangsaikan persoalan ilmu agama, saya yakin ada sesuatu yang hilang.
Missing link.
Ia bermula dengan dilema saya semasa anak sulung memulakan persekolahan.
Sama seperti kebanyakan ibu bapa generasi kami ketika itu, saya daftarkan anak di sebuah sekolah kebangsaan berhampiran kawasan perumahan kami. Entah mengapa semasa menghantar borang pendaftaran di pejabat, saya tergerak hati ingin bertanya kepada guru besar yang ada ketika itu.
“Anak cikgu sekolah di sini darjah berapa?” saya bertanya.
“Hishh… saya tidak mahu sekolahkan anak saya di sekolah ini. Macam-macam masalah!” kata beliau.
Saya ternganga.
Guru besar sendiri tidak percaya dengan sekolah yang beliau pimpin untuk anaknya sendiri? Ini tidak masuk akal. Jika beliau sebagai guru berpengalaman luas tidak percaya kepada sekolah di bawah kepimpinannya, saya ingin memasukkan anak ke sekolah itu apa pula asasnya?
Selepas guru besar berkenaan memberitahu nama sekolah yang anak-anaknya pergi, saya berfikir secara mudah mengikut jejak langkah beliau. Itulah permulaan perjalanan saya menyertai laluan pendidikan ‘alternatif’, di sebuah sekolah agama, sekolah swasta.
Selepas setengah tahun memulakan persekolahan, saya kurang senang dengan kandungan pembelajaran yang anak kami pelajari. Saya rasa ia terlalu tinggi. Saya yakin bukan anak saya tidak berkemampuan untuk belajar, tetapi saya tidak fikir apa yang beliau pelajari sesuai dengan tahap umurnya.
Subjek matematik penuh dengan ayat panjang lebar, permukaan rata, bongkah, bucu, membingungkan saya untuk menjelaskannya kepada si anak.
Subjek bahasa Melayu begitu kompleks tatabahasanya, komponen ayat, simpulan bahasa dan peribahasa yang begitu abstrak. Ahh, otak anak kami ini sudah siapkah untuk menggarap semua ini?
Otak pun sama macam tangan, kaki, mata, telinga dan seluruh tubuh badan si anak. Jika kaki baru mampu berdiri, tidak kenalah saya memaksa anak berlari, apatah lagi berlari dalam pertandingan yang jika kalah saya salahkan beliau berlari tidak cukup laju. Sedangkan kakinya belum bersedia untuk itu.
Demikian jugalah otak anak saya. Masakan umur baru sekitar 80 bulan, sudah siap lengkap wayar-wayar di dalamnya untuk belajar benda-benda yang tinggi. Dan, bermanfaatkah mempelajarinya sekarang?
Tetapi saya tiada ilmu untuk mengkritik akan hal ini.
Tiada ilmu?
Ketika anak saya bingung dengan subjek agama yang dipelajarinya, semasa buku rujukan mengajak beliau dan kawan-kawannya mengenal Allah melalui Sifat 20, saya fikir saya sudah pun belajar hal itu semasa menjadi pelajar sarjana muda Syariah di Jordan dahulu. Masakan saya tidak ada ilmu mengenainya.
Saya cuba terangkan.
Teringat kata-kata Einstein, “jika kamu tidak dapat menerangkan sesuatu kepada kanak-kanak berumur 6 tahun sehingga budak itu faham, ini bermaksud kamu belum memahami hal berkenaan!”
Aduh.
Saya tanya si anak, “cuba cerita apa yang kamu fikir tentang Allah?”
Katanya, “ Allah baik. Allah bagi abi, Allah bagi ummi. Sebab itu kita kena ikut perintah Allah. Masa makan baca Bismillah. Lepas makan cakap Alhamdulillah.”
Mudah sahaja.
Akidah anak kami jelas, luhur dan murni mengenai Tuhan yang Mencipta dia, ibu dan ayahnya. Anak kami elok Islamnya.
Tetapi kenapa subjek agama mahu merumitkan kefahaman itu?
Mengapa anak kami perlu tahu Allah itu Wujud dan lawan kepada wujud ialah ‘adam, sedangkan tidak terlintas langsung di fikirannya Allah itu tidak wujud dan tidak perlu dibuktikan kebenaran wujudnya Dia serta kepalsuan tiadanya Dia?
Hafal sahajalah!
Mungkin itu solusinya.
Tetapi anak kami sama perangainya macam si ayah. Kenapa hendak hafal kalau tidak berfaedah? Hafal pun, mungkin tidak lekat lama.
Apabila keputusan peperiksaan akhir tahun hadir, anak kami dapat markah kosong untuk subjek agama beliau! Jika 40 atau 50, saya akan fikir anak kami tidak kuat kefahamannya, lemah pembelajarannya, barangkali. Tetapi kalau kosong, ini bukan lemah. Ini masalah. Memberontak.
Anak kami mengesahkannya.
Dia tidak mahu jawab sebab katanya soalan yang ditanya itu bukan-bukan.
Tak mengapalah, duhai anak. Walaupun ayahmu pening kepala, tetapi dia faham. Apa yang penting semasa itu adalah pengalaman harian bersekolah dan belajar. Saya lebih percaya kepada apa yang mata saya lihat dan pantau, berbanding apa yang keputusan peperiksaan beritahu. Kami sekeluarga ada idea kami sendiri tentang pendidikan. Pegang sahaja yang itu. Jika ibu bapa percayakan sesuatu, berasaskan ilmu, pedulikan apa yang orang lain kata.
Di kampung, lain pula yang terjadi.
“Kamu periksa nombor berapa?” opah bermanis mulut bertanya.
“Saya dapat nombor 24” anak kami menjawab. Penuh yakin.
“Amboi, besarnya nombor. Dalam kelas kamu ada berapa orang?” opah yang juga cikgu sekolah selama berpuluh tahun, menyoal.
“Dalam kelas saya ada 25 orang, opah” kata anak kami. Jujur.
Opah menggelengkan kepala.
Apa pula halnya dengan anak Hasrizal ini. Sampai duduk nombor paling corot di belakang.
Anak kami pun kehairanan dengan reaksi opah.
Saya beritahu kepada beliau agar jangan susah hati. Tidak mengapa. Opah dahulu mengajar di sekolah kerajaan. Zaman dahulu. Lain caranya.
“Tapi cikgu pun ada cakap. Cikgu kata belajarlah rajin-rajin. Kalau markah tidak elok, nanti tahun hadapan masuk kelas Omar. Bukan lagi kelas Abu Bakar. Kelas Abu Bakar untuk murid pandai. Kelas Omar untuk yang kurang pandai” anak kami bercerita.
Semasa itu saya mula sedar, sejauh mana sekali pun saya dan isteri tetapkan idea kami tentang pendidikan, kami sebenarnya menongkah arus. Walaupun anak sudah pun bersekolah di sekolah swasta, kami jatuh di dalam set kumpulan kecil yang lebih mikro. Lebih menongkah arus yang sudah pun ditongkah berbanding masyarakat di luar sana.
Cumanya, saya tiada ilmu untuk mengkritik dengan lebih baik, agar dapat ditunjukkan silapnya di mana. Hati cenderung kepada wujudnya kepincangan dalam bahan pembelajaran anak. Tetapi tanpa ilmu, tanpa perkataan untuk mengungkapkan apa yang difikir dan dirasa, kerisauan saya tidak dapat membawa fikiran saya pergi lebih jauh.
Mengenangkan akan masa-masa itu, saya ingin mewacanakan tentang pendidikan di pentas yang saya ada akses. Hal pendidikan boleh dibahaskan di meja rundingan, di pejabat, tetapi masyarakat lebih tercorak oleh apa yang mereka dengar di program-program keagamaan di masjid dan surau. Justeru saya teruskan azam, isu-isu pendidikan mesti diproses dan diolah untuk sampai ke pengetahuan masyarakat dalam nuansa agama.
Di hari-hari itu, saya ajak jemaah di surau meneliti beberapa hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam ketika Baginda mengajar para sahabat solat. Lihat hadith dalam Sahih al-Bukhari tentang pengalaman Malik bin al-Huwairith r.a. dan sekumpulan anak muda belajar bersama Baginda:
Malik bin al-Huwairith berkata: kami telah hadir untuk belajar bersama Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallamllāh ‘alayhi wa sallam dan kami merupakan anak-anak muda yang hampir sebaya. Kami tinggal bersama Baginda selama 20 malam. Baginda kemudiannya mengesan yang kami rindukan keluarga kami lantas bertanya mengenainya. Kami pun bercerita kepadanya, dan Baginda adalah seorang yang amat disenangi lagi menyayangi. Lalu Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallamllāh ‘alayhi wa sallam bersabda: pulanglah kalian kepada keluarga masing-masing, ajar dan ajak mereka, solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat. Apabila tiba waktu solat, salah seorang daripada kamu laungkanlah azan, dan kemudian yang paling tua, imamkan solat berkenaan.”
Kali pertama saya membaca hadith ini, 20 tahun yang lalu, mata saya tertumpu hanya kepada bahagian akhir kisah berkenaan. Hadith ini dirujuk sebagai sumber fiqh untuk menjelaskan siapa yang lebih utama mengimamkan solat.
Namun, apabila kita kembali kepada hadith ini, menyuluh kandungannya dengan suluhan pedagogi, kita akan dapati:
- Malik bin al-Huwairith mengungkapkan gurunya (Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam) sebagai seorang yang penyayang, dan mudah berurusan dengannya.
- Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam sebagai seorang pendidik, peka dengan perubahan fokus murid-muridnya.
- Baginda tidak mengabaikan apa yang dikesan, sebaliknya memberhentikan aktiviti mengajar dan belajar untuk bertanya khabar.
- Baginda mengajak murid-muridnya menceritakan kepada Baginda apa yang mengganggu fikiran mereka.
- Malik bin al-Huwairith dan kawan-kawannya percayakan guru mereka untuk dikongsi hal-hal yang bersifat peribadi.
- Selepas mendengar luahan perasaan murid-murid yang rindukan keluarga, Baginda tidak memperlekeh luahan itu, atau meremehkan kekentalan jiwa mereka, jauh sekali mengejek atau merendah-rendahkan.
- Baginda mengambil kira keadaan emosi murid-murid lalu bertindak mengubah tetapan pembelajaran dengan memindahkan aktiviti belajar daripada berpaksikan beliau kepada belajar di rumah.
- Baginda bekalkan kepada mereka beberapa garis panduan.
- Baginda memberi kepercayaan kepada mereka untuk melaksanakan garis panduan itu tanpa menetapkan sendiri siapa yang perlu laungkan azan dan imamkan solat.
- Bahasa yang digunakan di dalam interaksi antara Baginda dengan murid-murid itu kaya dengan kasih sayang.
Ya, ilmu ‘moden’ yang disebut sebagai ilmu pedagogi itu menyuluh hadith Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam sehingga mata kita celik melihat betapa teladan-teladan berkaitan BAGAIMANA BELAJAR DAN MENGAJAR jauh lebih banyak berbanding bahan pembelajaran (‘silibus’). Inilah permulaan ajakan saya kepada jemaah di surau dan masjid untuk berfikir bahawa Islam bukan agama yang penghayatannya berhasil hanya bergantung kepada APA yang dipelajari. Sebaliknya, kita mesti mengambil kira BAGAIMANA ia dipelajari dan diajar.
Malah, samakah pengalaman Malik bin al-Huwairith dan anak-anak muda itu belajar agama dengan ‘ustaz’ mereka, berbanding pengalaman kita dan anak kita belajar agama?
Jika berbeza, pasti sukar untuk kita mendapat hasil yang sama. Kaifiyat solat mungkin sama. Tetapi impaknya kepada akhlak, jati diri, dan kecintaan agama… ini soal HOW, bukan lagi WHAT.
Sebab itulah pendidikan isu penting.
Bukan hanya soal anak-anak sekolah di mana, belajar apa, tuisyen di mana, ambil peperiksaan yang bagaimana, baju dan kasut warna apa, guna buku atau tablet. Pendidikan bukan sekadar di situ.
Pendidikan adalah apa yang Allah Azza wa Jalla lakukan ke atas Adam alayhi al-salam semasa mengisytiharkan beliau sebagai khalifah. Jika malaikat bertanya tentang risiko Adam melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, Allah jelaskan bahawa Dia Maha Tahu apa yang malaikat tidak tahu, bahawa Adam adalah makhluk istimewa dalam pembelajaran, memproses maklumat dan mengembangkan kefahaman. Sesuatu yang kemudiannya kita kenal hari ini sebagai pendidikan. Sesuatu yang malaikat tidak perlu. Tetapi ia kuat menentukan sama ada potensi Adam dan keturunannya dapat menjadi khalifah memakmurkan bumi Allah, atau menjadi perosak serta penumpah darah.
Tetapi, dengan belajar mengenai pendidikan, melalui suluhan agama dan sains, apakah kita boleh mengubah sistem pendidikan?
Saya hanya ada dua jawapan.
Pertama, pendidikan yang baik akan hanya diinginkan oleh ibu bapa yang keibubapannya baik. Baiki ibu bapa, mereka akan mendesak pendidikan yang ada diperbaiki.
Kedua, jika sistem tidak dapat diubah, ibu bapa yang memahami pendidikan akan dapat memainkan peranan besar mereka menjadi guru utama anak-anak. Melindungi fitrah anak, membentuk mereka, menyokong pembelajaran mereka, sama ada semasa sistem pendidikan sihat dan memberangsangkan, atau semasa sistem itu sakit dan membimbangkan kita semua.
Selain ilmu kesihatan untuk kesihatan anak-anak, ilmu kewangan untuk menguruskan kewangan keluarga, ilmu pendidikan mesti masuk dalam senarai ilmu yang ibu bapa belajar mengenainya sepanjang hayat, kerana pendidikan wujud sebelum wujudnya institusi bernama sekolah.
Insan yang akan berdiri di hadapan Allah menjawab persoalan pendidikan anak-anak, berkemungkinan lebih berat ditanya kepada ibu bapa, berbanding individu-individu lain yang kita kaitkan dengan persekolahan mereka.
Tidak lahir seorang bayi melainkan dia lahir di dalam keadaan fitrah. Ibu bapanya ialah pihak yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.
Mari lengkapkan bekalan menjadi ibu bapa yang dapat mendidik dengan pendidikan yang baik untuk anak-anak berbekalkan ilmu pendidikan.
Ilmu pendidikan yang membina jambatan sinergi, antara sekolah, dengan baiti jannati.
Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland




