Search
Close this search box.

Demokrasi dan Psike Orang Melayu

Penulis: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin

Demokrasi adalah suatu sifat yang lahir dalam diri manusia secara semulajadi. Dari segi pengertian bahasa, hakikatnya manusia memang cenderung untuk menerima suara majoriti dalam pembuatan keputusan. (Majoriti belum tentu benar? Ya!).

Sejak di bangku sekolah kita diajar memilih dengan menggunakan suara majoriti. Pelantikan ketua kelas misalnya. Setelah guru menyenaraipendek beberapa calon, murid-murid akan mengangkat tangan untuk memilih calon yang paling mereka yakini atau sukai bagi menjawat jawatan ketua kelas. Itulah demokrasi dalam bentuk mikro yang mula-mula kita terdedah kepadanya.

Makna Asas Demokrasi 

Namun, adakah seringkas itu ertinya demokrasi? Nah, ketika mengangkat tangan dalam kelas dulu kita tidakpun menyebutnya sebagai proses demokrasi. Kita memilih seorang calon yang kita sukai kerana kita mengenalinya, kerana kita arif akan perangainya, atau mungkin dialah yang paling popular. Itu sahaja.

Proses memilih ketua kelas itu bukannya terjemahan langsung daripada istilah demos kratia yang dilahirkan oleh Pericles kira-kira 400 tahun sebelum Masihi di kota Athens, Greek. Demos kratos secara mudah bermaksud suara rakyat.

Dalam demokrasi, pentadbirannya menyebelahi suara yang lebih besar. Ia merupakan suara majoriti dalam suatu kelompok masyarakat yang hidup bersama dan bersetuju untuk memilih satu set pemimpin untuk memimpin mereka.  Jika perkataan ‘pemimpin’ itu menimbulkan polemik yang meresahkan, maka kita gantikannya sahaja dengan pentadbir.

Pentadbir yang dipilih oleh rakyat untuk mentadbir negara yang dihuni oleh rakyat. Melalui demokrasi, kuasa diturunkan oleh rakyat terbanyak kepada beberapa orang terpilih dalam kalangan rakyat itu sendiri.

Proses ini sendiri sudah memberi suatu gambaran tentang pentadbir yang bakal dipilih tersebut. Mereka dipilih daripada rakyat, bukannya diimport daripada mana-mana. Mereka bukan sekumpulan manusia yang jatuh dari langit untuk mengepalai urusan manusia.

Secara umumnya, jika keseluruhan masyarakat itu baik maka baiklah pentadbir yang dipilih itu kelak, kerana pentadbir adalah subset daripada set yang besar, yang secara umumnya berkongsi ciri-ciri yang sama. Daripada demokrasi ini lahirlah sistem pilihanraya. Suatu sistem yang beroperasi untuk melaksanakan proses pemilihan pentadbir yang dimaksudkan.

Minda Politik Melayu: Antara Ke’raja’an dan Pentadbiran

Baik, kita beralih kepada premis seterusnya. Adakah sistem demokrasi yang dicetuskan oleh tamadun Greek ini merupakan ciri lazim orang Melayu? Dari perspektif sejarah, orang Melayu ditadbir oleh raja sejak sekian lama. Daripada jumpaan-jumpaan artifak batu bersurat yang memberikan gambaran terhadap corak sosiopolitik awal orang Melayu -batu bersurat Sultan Malikul Saleh pada penghujung abad ke-13 misalnya- raja merupakan pentadbir dan pemimpin tertinggi negara.

Tiada dua bagi seorang raja yang berkuasa dan memerintah wilayahnya. Raja tidak dipilih melalui suara rakyat. Raja tidak dipilih melalui proses pilihanraya. Raja dan kerajaan bersifat warisan. Secara umumnya, takhta ayahanda diwarisi oleh anakandanya. Rakyat tidak disediakan hak untuk memilih raja mahupun pembesar istana. Demikianlah kerajaan dalam pemahaman dan pemikiran orang Melayu sejak ribuan tahun.

Kerajaan bermaksud adanya raja yang memerintah mereka. Kerajaan bermaksud raja berkuasa, manakala rakyat akur kepada kuasa tersebut. Dalam psyche orang Melayu, raja adalah manusia yang berkuasa mutlak, mempunyai sifat istimewa dan berdaulat. Kuasa mutlak tersebut didelegasi pula kepada sekumpulan pembesar yang bertanggungjawab menyebarkan kebesaran, kekuasaan dan pengaruh raja.

Demikianlah proses politik dalam politik Melayu berlangsung secara turun temurun tanpa ada pemahaman terhadap proses demokrasi yang hanya didedahkan kepada mereka secara besar-besaran menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada pertengahan abad ke-20. Bayangkan berapa lama masa yang diambil oleh orang Melayu untuk mendengar istilah demokrasi yang menyediakan ruang dan hak kepada mereka bagi memilih pentadbir yang dicitakan?

Sebelum kita terus membicarakan perihal demokrasi dalam sejarah Malaysia, elok kiranya kita fahami dahulu satu istilah penting yang membentuk sikap dan minda orang Melayu. Itulah ‘kerajaan’. Seperti yang dinyatakan di atas, ‘kerajaan’ dalam minda orang Melayu bermakna suatu pemerintahan yang diterajui oleh raja. Tanpa raja, tiada kerajaan.

Walaubagaimanapun, ia tidaklah menjadi ciri eksklusif orang Melayu sahaja kerana banyak politi di tanah besar Asia Tenggara juga mempunyai raja yang mengetuai pemerintahannya. Namun, orang Melayu senang menyekutukan erti pemerintahan dengan raja.

Konsep ini jelas berlawanan dengan entiti pemerintahan atau pentadbiran negara yang diperkenalkan oleh penjajah British kemudiannya. British menggelar pentadbiran negara sebagai ‘government’, daripada kata dasar ‘govern’. Cambridge Dictionary mendefinisikan ‘government’ sebagai sistem yang digunakan untuk mengawalselia sesebuah negara atau masyarakat. Secara ringkasnya, ia menggambarkan ciri pentadbiran atau pemerintahan.

Perhatikan bahawa British tidak menggunakan istilah ‘kingship’ atau ‘kingdom’ bagi menjelaskan ciri pentadbiran negara, walaupun ia juga mempunyai dinasti raja yang panjang dan berpengaruh. Nama ‘United Kingdom’ ialah konsep geopolitik, bukannya konsep pemerintahan dan pentadbiran negara.

Memang wujud raja di England, tetapi pentadbiran negara tidak menggunakan istilah yang melambangkan –secara langsung, bahawa pentadbiran negara dilaksanakan oleh raja. Demokrasi memberikan kebebasan untuk memilih sekumpulan pentadbir yang bebas daripada diselubungi imej dan kekuasaan raja, bukan sahaja secara de jure [secara perundangan] malah secara de facto [pada hakikatnya].

Kata Akhir

Walau bagaimanapun, esei ini langsung tidak bertujuan untuk memperkecilkan keberadaan institusi beraja. Ia memberikan pencerahan dari perspektif sejarah dan peristilahan yang membentuk sikap dan minda orang Melayu yang berbeza dengan British yang menjajah tanah ini, sehingga diperkenalkan ciri pemerintahan demokrasi kepada orang Melayu yang belum biasa memilih pemimpin untuk mentadbir negara.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *