Penulis: Luqman Tarmizi
Dalam menyampaikan maklumat atau mengajarkan ilmu, manusia perlu berkomunikasi melalui perantaraan bahasa. Para ahli falsafah menegaskan bahawa bahasa merupakan satu medium yang penuh dengan kekaburan dan lazimnya perlu kepada kaedah-kaedah pentafsiran yang perlu dipelajari melalui disiplin yang ketat.
Kerana itulah dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu bahasa Arab merupakan salah satu ilmu alat terpenting yang perlu dikuasai sebelum seseorang itu terjun ke dalam lautan ilmu syarak. Tradisi pengajian klasik barat juga menekankan soal penguasaan tatabahasa (grammar) sebagai salah satu ilmu asas liberal arts yang mesti dikuasai.
Ketegasan Saidina Umar Dalam Soal Tatabahasa
Tatkala Syeikh Abdullah bin Bayyah menjelaskan tentang keprihatinan para salafussoleh terhadap penguasaan bahasa, beliau telah menukilkan dua kisah yang amat menarik.
Dalam komentar beliau terhadap kitab al-Mufassal, Ibn Ya’isy menyebut kisah Khalifah Umar bin al-Khattab RA yang telah menerima sepucuk surat daripada Abu Musa al-‘Asy’ari RA, yang ketika itu merupakan seorang qadi di Kufah. Surat itu dimulakan dengan frasa:
مِنْ أَبُو مُوسَى إلى أَمِيرِ المـؤْمِنين
Maksudnya: Daripada Abu Musa, kepada Amir al-Mu’minin.
Mereka yang sekurang-kurangnya ada pengetahuan asas berkenaan bahasa Arab akan terus dapat mengenalpasti kesalahan besar yang berlaku pada frasa di atas.
Oleh kerana wujudnya kalimah مِنْ yang bermaksud dari/daripada, maka perkataan selepasnya hendaklah dibarisbawahkan atau disebut majrur, justeru sepatutnya ditulis dengan مِنْ أَبِي مُوسَى, bukannya مِنْ أَبُو مُوسَى.
Ternyata Abu Musa mempunyai seorang jurutulis yang tidak begitu mahir dalam bahasa Arab. Jurutulis itulah yang bertanggungjawab di atas kesalahan tersebut. Ketika membaca surat tersebut, Saidina Umar menjadi murka, lalu menulis jawapan balas kepada Abu Musa, serta mengarahkan agar jurutulis itu dirotan dan dipecat daripada jawatannya.
Syeikh Abdullah bin Bayyah memberi komentar dengan berpandangan bahawa hukuman tersebut adalah amat berat lantaran Khalifah Umar sedar bahawa wujudnya hubungkait yang amat rapat antara syariah dan bahasa Arab. Kerosakan dan penyelewangan bakal berlaku jika penguasaan dari sudut pertuturan dan penulisan tidak dijaga.
Selain itu, kita juga mendapati Khalifah Abu Bakar al-Siddiq RA melahirkan kekesalan lantaran suatu kesalahan yang dilakukan oleh rakyat beliau dalam percakapan. Suatu hari, Abu Bakar telah berjalan melalui seorang lelaki bernama Abu Lifaqah yang di tangannya ada sehelai pakaian.
Maka Abu Bakar bertanya kepadanya: “Adakah engkau ingin menjual pakaian ini?” Lelaki itu menjawab:
لَا رَحِمُكَ اللهُ
Maksudnya: “Tidak, semoga Allah merahmati engkau.
“Abu Bakar pun menjawab: “Tutur kata engkau pasti akan lebih tepat, sekiranya engkau lebih berakhlak. Jangan berkata begitu, tapi katakanlah: لَا وَرَحِمُكَ اللهُ.”
Hal ini adalah kerana meninggalkan huruf و antara kalimah لَا dan doa itu menunjukkan seolah-olah ayat itu bermaksud “semoga Allah tidak merahmati engkau.” Tuntutan adab dan dan kefahaman terhadap bahasa juga memestikan seseorang untuk meletakkan huruf و di antara penafian (لَا) yang merupakan ayat penyata (jumlah khabariyyah) dengan doa yang merupakan ayat berbentuk insha’ie.
Semasa mengulas mengenai hal ini, Hamza Yusuf menyebut bahawa kata-kata Abu Bakar ini menunjukkan bahawa kerosakan bahasa hanya berlaku disebabkan kerosakan akhlak dan moral seseorang.
Daripada kedua-dua kisah ini, Syeikh Abdullah bin Bayyah juga mengeluarkan satu kesimpulan penting iaitu penekanan soal bahasa merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh para pemimpin umat Islam. (Bin Bayyah, Amali al-Dilalat)
Keprihatinan Terhadap Bahasa
Keprihatinan pemerintah terhadap persoalan bahasa ini juga tidak terhad hanya kepada tradisi Islam sahaja. Marcus Aurelius Antoninus -maharaja Rom yang terkenal itu- menyebut dalam karya beliau Meditations, bahawa beliau menyedari peri pentingnya pemilihan perkataan atau ayat yang tepat dan sesuai, meskipun beliau turut memperingatkan supaya menjauhi sikap mengherdik secara kasar dan mencari-cari kesilapan dalam pertuturan orang lain (fault-finding).
Selain itu, menjadi kebiasaan dan tradisi dalam kalangan elit pemerintah Rom lampau untuk menghantar anak-anak mereka mempelajari bahasa dan seni percakapan dengan para ahli falsafah Greek.
Berapa ramai dalam kalangan pemimpin kita pada hari ini yang benar-benar serius dalam menekankan soal penguasaan bahasa? Betapa ramai pimpinan negara yang amat lemah pertuturannya dalam bahasa Melayu. Sebahagian mereka begitu beria-ria sekali menekankan soal penguasaan bahasa Inggeris, sedangkan bahasa Melayu sebagai wadah utama komunikasi dan medium utama ilmu terabai dan terpinggir.
Kesimpulan
Dahulunya, masyarakat berhadapan dengan para pemimpin yang amat tegas terhadap penguasaan bahasa, lantaran kesedaran bahawa bahasa itu merupakan wadah penyampaian ilmu serta kaitannya dengan pembentukan akhlak.
Kini kita perlu berhadapan dengan situasi di mana seorang politikus yang ejaannya tunggang langgang dan tatabahasanya setaraf murid darjah dua yang telah dipertanggungjawabkan sebagai Menteri untuk menjaga hal ehwal komunikasi.
Apa yang kita boleh faham daripada keadaan ini? Adakah ia bermakna kita tidak lagi menghargai peranan bahasa dalam kehidupan dan fungsi bahasa sebagai medium wacana ilmu pengetahuan?




