Search
Close this search box.

Masyarakat & Media Sosial: Pesan Surah al-Hujurat

Hakikat hidup sebagai manusia semestinya tidak dapat lari daripada kehidupan bermasyarakat. Bermula daripada hubungan asas seperti keluarga, kemudian mengembang kepada kejiranan, ahli kariah, kampung, daerah, negeri, negara sehinggalah antarabangsa, tingkah-laku serta norma manusia itu pasti tidak dapat dipisahkan daripada hubungan sesama sendiri dan konsep hidup bermasyakat. Daripada sudut pandang Islam sendiri, konteks bermasyarakat ini juga tidak ketinggalan untuk dinyatakan di dalam wahyu.

Al-Quran seringkali menyebutkan mengenai hukum-hakam, panduan, kisah dan iktibar bagi memastikan sistem dan peranan masyarakat dapat berfungsi dengan baik dan aman daripada sebarang perkara yang tidak menyenangkan. Namun, dalam pelbagai pengajaran yang boleh didapati daripada al-Quran khususnya, terdapat satu surah yang dilihat memberikan panduan serta pesan mengenai etika kemasyarakatan dengan lebih berfokus. Beberapa etika serta akhlak yang penting bagi menjamin kestabilan dan kesihatan hidup bermasyarakat dinyatakan dengan jelas di dalam surah ini. Surah yang dimaksudkan di sini adalah Surah Al-Hujuraat.

Jika diamati keseluruhan surah ini, kita akan mendapati bahawa surah yang mempunyai 18 ayat ini terbahagi kepada tiga topik. Topik pertama mengenai akhlak kepada Rasulullah SAW, topik kedua berkisar mengenai akhlak dan etika kemasyarakatan dan topik yang ketiga pula mengenai konsep iman. Sehubungan dengan itu, tulisan ini hanya akan menfokuskan kepada topik kedua yang menyebut mengenai akhlak dan etika kemasyarakatan secara langsung, manakala dua topik lain hanya akan akan disentuh sekiranya berkaitan sahaja.

Etika Kemasyarakatan

Etika kemasyarakatan pertama yang disentuh di dalam surah ini adalah pada ayat keenam yang menyebut, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya..”

Dalam dunia serba maju hari ini, selain dapat menikmati kepantasan dan kemudahan untuk mengakses maklumat, maklumat juga dapat diakses dihujung jari melalui aplikasi media sosial. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menyemak terlebih dahulu maklumat yang diperoleh daripada sumber-sumber tersebut agar tidak menjadi punca kepada perpecahan masyarakat.

Seterusnya, etika kemasyarakatan kedua yang ditekankan dalam surah ini boleh didapati pada ayat 9 dan 10, yang bermaksud:

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya…”

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu…”

Etika kedua yang dinyatakan di sini menuntut kita untuk menjadi ejen pendamai di dalam masyarakat. Dalam suasana hidup bermasyarakat, kita tidak dapat lari daripada berlakunya perselisihan dalam kalangan anggota masyarakat. Oleh sebab itu, kita dituntut untuk kekal berfungsi sebagai air, bukannya minyak yang menyalakan lagi api yang sedang membakar. Contohnya apabila melihat pergaduhan di media sosial, antara langkah yang boleh diambil adalah tidak mengongsikan perkara tersebut supaya ia tidak tersebar kepada lebih ramai orang.

Selain itu, ayat 11 dan 12 dalam surah ini juga ada menyebut mengenai etika kemasyarakatan seperti berikut, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk…”

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain…”

Kedua-dua ayat ini menyenaraikan secara terus beberapa perkara buruk yang mesti dielakkan di dalam masyarakat. Dalam ayat ini jelas beberapa larangan seperti larangan merendah-rendahkan orang lain, larangan membuka aib orang lain, larangan memanggil seseorang dengan gelaran yang buruk, larangan untuk bersangka buruk kepada orang lain, larangan mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain serta larangan mengumpat. Kesemua larangan ini merupakan antara perkara yang biasa boleh kita temui dalam suasana masyarakat yang tidak sihat. Oleh sebab itu, berusahalah untuk menghindarkan diri kita daripada terjebak kepada perbuatan ini, sama ada dalam dunia realiti mahupun di media sosial.

Kesimpulan

Setelah menyatakan mengenai beberapa tanggungjawab yang mesti dipatuhi dan juga perbuatan yang mesti kita jauhi, surah ini mengajak kita untuk bermuhasabah dan mengenal hakikat bermasyarakat.

Allah SWT berfirman dalam ayat 13, maksudnya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)”

Ayat ini menyatakan bahawa hakikat manusia ini diciptakan dengan pelbagai latar dan identiti. Semua perbezaan ini bukanlah suatu perkara yang buruk dan mesti ditakuti, namun ianya adalah salah satu wadah untuk kita menjadi lebih baik dengan mengenali dan memahami antara satu sama lain. Hal ini ditekankan lagi pada penutup ayat dengan menyatakan bahawa perbezaan ini tidak memberikan sebarang makna di sisi Allah SWT melainkan hanya ketakwaan semata-mata yang membezakan darjat kita disisi Allah SWT.

Oleh sebab itu, marilah sama-sama kita kurangkan mencari perbezaan antara kita dan berusahalah untuk menfokuskan diri kita untuk mengejar takwa. Sekiranya setiap lapisan anggota masyarakat berusaha mengejar takwa dan sentiasa berusaha untuk berada dalam suasana amalan moral yang baik, hal-hal yang membawa buruk kepada masyarakat pasti akan dapat dikurangkan.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *