Penulis: Luqman Tarmizi
Seorang pemimpin dan ahli politik seringkali mewajahkan diri mereka sebagai seorang yang berkeyakinan diri, berwawasan jauh, berkarisma dan sudah tentu, cakna kepada kebajikan rakyat. Namun realiti di hadapan kita adalah sebaliknya. Polisi-polisi yang menyusahkan orang ramai, kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati, perbuatan-perbuatan yang menzahirkan kebodohan dan kelakuan kebudak-budakan seringkali dihadapkan kepada kita.
Lebih menghairankan, mereka ini ramai yang berpelajaran tinggi, mempunyai akses kepada maklumat yang cukup, berpengalaman dalam bidang yang diceburi serta lahir dan terdidik pula dalam keluarga yang terhormat. Maka apa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku? Ternyata, ada penjelasan saintifik yang disokong oleh pelbagai kajian di sebalik fenomena ini.
Lord David Owen, seorang ahli neurologi merangkap ahli Parlimen di United Kindom dalam kajian beliau pada tahun 2006 dan 2009 telah menggunakan istilah Sindrom Hubris bagi menerangkan keadaan ini. Perkataan hubris itu secara literalnya bermaksud rasa bangga (pride) dan keyakinan diri yang berlebihan.
Sindrom ini berkisar pada kecelaruan minda kesan daripada pemilikan kuasa yang telah dipegang selama bertahun-tahun dan kurangnya sekatan terhadapnya daripada menggunakan kuasa tersebut. Beliau menyenaraikan empat belas belas ciri-ciri klinikal yang dikesan pada penghidap sindrom ini, antara lain termasuklah:
• Sifat narsistik, atau ketaksuban kepada diri sendiri
• Menzahirkan kebencian terhadap orang lain secara terang-terangan
• Terpisah daripada realiti
• Sering bertindak secara melulu (impulsive or reckless behaviour)
Baca juga pandangan Dacher Keltner, seorang professor psikologi di University of California, Berkeley yang dalam analisis beliau menegaskan bahawa golongan penguasa itu cenderung untuk mempunyai karekteristik seperti seorang penghidap gangguan personaliti antisosial (antisocial personality disorder) akibat kerosakan pada bahagian-bahagian utama otak. Antara ciri yang boleh dilihat pada mereka ialah:
• Mementingkan diri sendiri (self-centred)
• Sifat sombong dan biadap yang luar biasa
• Kurang memberi perhatian kepada orang lain
• Kurang berminat untuk mengambil kira perspektif orang lain
• Tidak tahu malu
Harus diakui bahawa teori dan kajian berkenaan perkara ini masih lagi berada di peringkat awal dan hasil-hasil penelitian para pengkaji ini masih jauh sebelum boleh dianggap sebagai konklusif. Namun jika kita cuba memadankan ciri-ciri di atas kepada sekian ramai politikus di negara kita, nescaya kita akan dapati persamaan yang amat jelas.
Kemusnahan total akibat kuasa.
Membahaskan isu tentang kuasa juga tidak akan lengkap jika kita tidak menukilkan kata-kata Lord Acton: “Power corrupts, and absolute power corrupts absolutely.” Kuasa itu merosakkan, manakala kuasa mutlak itu akan merosakkan secara total.
Kuasa berupaya merosakkan minda, seperti yang telah dijelaskan di atas. Kuasa juga boleh merosakkan fizikal seseorang akibat tekanan yang dihadapi dalam kareer politik, seperti yang berlaku terhadap Anthony Eden – mantan ahli politik British – yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Kuasa juga boleh merosakkan spiritual seseorang, seperti yang dibahaskan oleh Imam Ibn al-Jauzi dalam karya beliau “Talbis Iblis” (Tipu Daya Iblis) pada bab tipu daya iblis terhadap para pemerintah dan penguasa. Mereka ini kata beliau, sering tertipu dengan ilusi yang direkayasa oleh syaitan, sehingga menganggap keberadaan mereka di puncak takhta dan kuasa itu merupakan bukti kecintaan Allah (ﷻ) kepada mereka. Ada juga kalangan mereka yang menganggap dosa merompak khazanah rakyat juga akan terhapus jika mereka memperbanyakkan amalan sedekah.
Maka, janganlah kita hairan mengapa seorang politikus itu boleh membuat lawak bodoh dalam sidang media setelah berlakunya tragedi serius yang menggemparkan negara. Jangan juga pelik mengapa sekian ramai agamawan tidak henti-henti mengeksploitasi nas-nas agama demi kepentingan parti politik yang didukungi mereka.
Jangan berasa aneh ketika menyaksikan politikus yang berkali-kali melanggar peraturan seolah tiada langsung rasa hormat pada undang-undang. Jangan tertanya-tanya mengapa mereka boleh menghentikan sidang Parlimen berbulan-bulan lamanya atas alasan membendung wabak, sedangkan mesyuarat di rumah penguasa dibolehkan. Kesemua ini merupakan sindrom rosaknya minda akibat terlalu lama berpaut pada kuasa.
Sebaliknya, kita perlu gusar akan kesihatan dan kesejahteraan minda mereka; jika benar mereka menghidap Sindrom Hubris dan akal mereka mula merosot, maka kita perlu memikirkan cara untuk menurunkan mereka dari singgahsana kuasa dan memilih orang yang benar-benar waras untuk memimpin kita semua.




