Penulis: Imran Mohd Rasid
Saya ada sesuatu kekhuatiran yang selalu mengganggu fikiran saya sewaktu mendengar kuliah-kuliah atau bengkel “kepimpinan” Islam yang dikendali sebahagian penceramah.
Apabila penceramah ini meratibkan nama-nama seperti “Salahuddin al-Ayyubi” dan “Muhammad Al-Fatih” ini, adakah watak-watak bersejarah ini digambarkan berdasarkan latar dan konteks pensejarahan mereka, atau mereka ini dikhayalkan sebagai hero ideal dari ceritera dongeng?
Saya bertanyakan hal ini kerana kebanyakannya memaparkan kisah hidup pemimpin Islam seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih dalam gambaran-gambaran romantis dan sakral.
Sejarah mereka dibaca secara runcit-runcitan, selektif, dan hanya mahu yang murni-murni sahaja. Konteks sejarah dan kekuasaan mereka dipinggirkan, dan sisi “gelap” bagi tindakan realpolitik mereka dipadam dari ingatan.
Tanpa memahami realiti politik pada waktu itu, saya khuatir kita gagal mengambil iktibar daripada sejarah mereka, terutamanya untuk memahami realiti politik hari ini yang tentunya tidak mudah tertangkap dengan penilaian hitam-putih moral sahaja.
Iktibar Dari Sejarah Politik Salahuddin Al-Ayyubi
Membaca sejarah Salahuddin Al-Ayyubi secara penuh akan membawa kita kepada wilayah politik yang rencam dan mencabar. Percaturan politik harus diatur dengan licik, opportunis, dan adakalanya saudara seangkatan Muslim sendiri yang menjadi mangsa.
Sejarah politik Salahuddin al-Ayyubi juga tidak berkecuali. Salahuddin al-Ayyubi hidup dalam keadaan geopolitik empayar yang penuh kekacauan.
Empayar kekhalifahan Islam sudah terpecah kepada dua blok besar: blok “Syiah” diwakili Kerajaan Fatimiyyah di Kaherah, dan blok “Sunni” diwakili kerajaan Abbasiyah di Baghdad.
Kerajaan-kerajaan Islam yang lebih kecil juga semakin menguat. Antaranya, Dinasti Zengid yang menguasai kawasan Syria dan Iraq, tempat kelahiran Salahuddin Al-Ayubi (lahir tahun 1137).
Dalam masa yang sama, Perang Salib masih berjalan, dan dinasti-dinasti Kristian juga berpecah-pecah sewaktu Empayar Byzantine sendiri sedang merosot.
Karier politik Salahuddin berkembang sewaktu beliau dihantar Salahuddin dihantar ke Mesir pada tahun 1164, bagi membantu kerajaan Fatimiyyah melawan serangan tentera salib. Setelah beberapa siri pergelutan politik, Salahuddin akhirnya dilantik menjadi Wazir.
Kita harus sedar bahawa Kerajaan Fatimiyah adalah kerajaan Syiah Ismailliyah, yang turut berkonflik dengan Kerajaan Sunni Abbasiyah. Tidak sedikit ulama yang mengeluarkan fatwa yang mencela Fatimiyyah sebagai bughah (pemberontak), termasuk Imam Al-Ghazali sendiri.
Imam al-Ghazali sendiri, sebagai penyokong kerajaan Abbasiyah, giat menulis tentang kepincangan fahaman Ismailiyyah dan keabsahan pemimpin Abbasiyah sebagai satu-satunya pemimpin umat Islam.
Nah, bayangkan sekiranya anda hidup pada zaman tersebut: bagaimana anda akan menanggap tindakan Salahuddin (seorang Sunni) menjadi wazir bagi sebuah kerajaan Syiah yang jelas menentang keabsahan kerajaan Abbasiyah dan disebut-sebut sebagai “pemecah” kesatuan ummah ketika itu?
Sekiranya anda adalah seorang agamawan tersebut, bagaimana pula reaksi anda? Saya yakin bukan sedikit yang akan menghamburkan pelbagai kata-kata cela pada Salahuddin
Sebab itu, dalam politik, tidak kesemuanya hitam putih. Salahuddin sebagai Wazir berjaya mengimbangi peranannya sebagai pemimpin kerajaan Syiah Fatimiyah, sambil menumpahkan kesetiaannya kepada Nuruddin, pemimpin Sunni Dinasti Zengid.
Hanya selepas beberapa tahun, selepas Khalifah Fatimiyah Al-Adid meninggal dunia pada 1171, Salahuddin mula mengatur langkah mengisytiharkan kejatuhan dinasti Fatimiyah dan mengangkat semula legitimasi Abbasiyah.
Inilah politik. Salahuddin mengambil masa untuk mengukuhkan kedudukannya terdahulu, dan mengusir kelompok elit yang boleh mencabar kekuasaan beliau di Mesir, sebelum merangkul kekuasaan.
Secara tidak langsung, Salahuddin sebenarnya mengingkari “sumpah kesetiaan” yang dahulunya diberikan kepada Dinasti Fatimiyah, lantas menikam mereka dari belakang. Adakah ini boleh kita fahami semata-mata melalui lensa moral? Sukar. Tetapi begitulah realiti politik.
Salahuddin dan persaingan dengan Nur ad-Din
Pemusatan kuasa Salahuddin Al Ayyubi di Mesir mencurigakan Nuruddin di Damsyik. Salahuddin sendiri tidak pernah mencabar “boss”nya itu secara terbuka, tetapi sering memberikan alasan untuk tidak turut serta dalam pelbagai ekspedisi ketenteraan yang dijalankan Dinasti Zengid.
Hanya selepas Nuruddin meninggal dunia pada tahun 1174, dan digantikan dengan anak beliau al-Salih Ismail yang berumur 11 tahun, barulah Salahuddin mula mengorak langkah.
Salahuddin pulang ke Syria (kini bukan lagi sebagai “orang kanan” Nuruddin, tetapi Sultan kepada dinasti di Mesir yang berhubung terus dengan Kerajaan Abbasiyah). Justifikasi kepulangan beliau disandarkan pada usaha untuk melindungi al-Salih dari “serangan” dalaman di Halab.
Dalam menumpaskan gerakan-gerakan (baca: mereka ini Muslim) yang cuba mencabar al-Salih di Halab, Salahuddin turut membuat perjanjian pendamaian sementara dengan tentera perang Salib (1175) bagi membolehkannya menumpukan fokus ketenteraannya pada Perang Saudara di Syria.
Tentunya ini adalah perkiraan politik yang harus dibuat sebagai pemimpin politik sesebuah negara. Awlawiyyat bagi mengekalkan kesatuan masyarakat Islam Dinasti Zengid barangkali menggerakkan Salahuddin untuk bersepakat dengan tentera salib (baca: “Kafir”) buat sementara waktu.
Sekiranya kita membacanya secara selapis, dan hanya mahukan “Salahuddin” yang muluk-muluk semata-mata, kita pasti gagal memahami realiti politik seperti ini.
Pemikiran selapis inilah yang sekiranya hidup pada waktu itu hanya akan melihat Salahuddin sebagai pemimpin yang “khianat” kerana lebih rela mengerah tenteranya untuk melawan anak saudara Nuruddin (yang juga Muslim) daripada mengambil takhta, daripada menggunakannya untuk melemahkan tentera Salib sendiri.
(Mungkin dalam era moden, analoginya seperti kita bayangkan harus bekerjasama dengan “Israel” atau “AS” buat seketika untuk memastikan isu dalaman terjaga..)
Pertempuran dalaman ini berlangsung selama 12 tahun, sebelum Halab dan Mosul akhirnya berada di bawah naungan Salahuddin pada tahun 1186.
Salahuddin juga sering menggunakan ungkapan “jihad” gerakan ketenteraan beliau, dengan alasan ianya diperlukan untuk mengukuhkan kedudukan umat islam bagi mempersiapkan mereka dalam berhadapan dengan Tentera Salib.
Mencari “Salahuddin” Di Era Moden
Mengapa saya membangkitkan sisi-sisi politik yang jarang dibahaskan dalam Seminar Kepimpinan Islam yang ada pada hari ini? Kerana di dalamnya wujud persoalan-persoalan sukar yang menjadi sifat bagi dunia politik.
Andai secara tiba-tiba pemimpin Islam seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih dicampak dalam bentuk era moden hari ini, adakah para ustaz dan peserta bengkel mampu mengenali atau mengiktiraf kepimpinan mereka?
Kalau diikutkan gambaran-gambaran romantis dan sakral yang sering ditempelkan pada pemimpin Islam terdahulu, saya khuatir lebih ramai yang mudah menghukum mereka. Bahkan, boleh jadi tidak sedikit yang memilih untuk mencela dan mengkafirkan mereka.
Sebab itu, membincangkan aspek “Politik Islam” juga harus tidak terhad pada persoalan teori dan prinsip. Kita harus mendalami sejarah politik umat Islam dengan jujur dan mengambil iktibar daripada pilihan politik yang sukar dan tidak mudah tertangkap dengan penilaian hitam-putih moral.
Sekiranya kita gagal berbuat demikian, ditambah pula dengan pemikiran cetek dan selapis yang hanya bernostalgia, kita akan terus hanya berseminar tentang “pemimpin ulung Islam” sambil menjatuhkan pemimpin politik Muslim yang ikhlas dan terpaksa bergelut dengan lumpur-lumpur politik moden hari ini.




