Search
Close this search box.

Borneo Tuntut 35% Kerusi Parlimen: Hentikan Retorik Opportunistik

Penulis: Ooi Kok Hin

Kebelakangan ini, tuntutan untuk memberikan Sarawak dan Sabah satu pertiga (35%) perwakilan di Parlimen semakin lantang. Oleh sebab kebergantungan Kerajaan Persekutuan pada sokongan mereka, kerajaan negeri dan parti politik di kedua-dua negeri juga mengambil kesempatan untuk menuntut 35% kerusi di Dewan Rakyat. Bagi sesetengah pihak di Borneo, tuntutan ini dilihat sebagai langkah untuk melindungi kepentingan negeri-negeri tersebut seiring dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi antara dokumen asas pembentukan negara.

Namun, isu ini telah mencetuskan perdebatan sengit yang lebih luas mengenai federalisme dan perwakilan politik. Adakah adil jika Sarawak dan Sabah diberi peruntukan 35% kerusi di Dewan Rakyat? Berikut adalah beberapa persoalan untuk dipertimbangkan.

Mengapa Borneo Menuntut 35% Perwakilan di Parlimen?

Tuntutan ini berpunca daripada kepercayaan bahawa perwakilan sebanyak satu pertiga (35%) di Dewan Rakyat akan memberikan Sarawak dan Sabah kuasa veto terhadap sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan yang boleh menjejaskan autonomi mereka. Namun, teks dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) tidak menyebut, apatah lagi menjanji, perwakilan 35% sebagai veto. Disebabkan ketiadaan bukti dalam dokumen Perjanjian MA63, mereka yang menyokong tuntutan ini kini mengungkitkan “Semangat MA63” tetapi istilah ini sangat kabur dan sukar dibuktikan kerana bersifat interpretif dan tidak bertulis.

Adakah Tuntutan Satu-Pertiga Ini Adil dan Demokratik?

Tidak. Pengundi-pengundi Sarawak dan Sabah hanya mewakili kira-kira 17% daripada jumlah pengundi Malaysia. Kini, mereka sudah pun memiliki 25% daripada jumlah kerusi Parlimen. Menaikkan lagi perwakilan mereka kepada 35% kerusi di Parlimen akan memberi kelebihan politik yang tidak seimbang berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang jauh lebih ramai bilangan pengundi seperti Selangor dan Johor.

Menurut kajian ENGAGE, sebuah NGO pakar pilihan raya, sekiranya tuntutan satu-pertiga ini direalisasikan, seorang pengundi di Sarawak akan mempunyai empat kali ganda kuasa politik berbanding seorang pengundi di Selangor.

Pembaca boleh cuba bandingkan jumlah pengundi antara kawasan parlimen Igan di Sarawak (30,000 pengundi) dan kawasan parlimen Bangi di Selangor (lebih 300,000 pengundi). Bangi mempunyai 10 kali ganda jumlah pengundi, tetapi mendapat satu ahli Parlimen dan peruntukan yang sama seperti Igan. Adakah ini adil dan demokratik?

Bukankah isu ‘malapportionment’ masalah Melayu-Cina di Malaya Sahaja?

Walaupun malapportionment atau ketidakseimbangan perwakilan lebih ketara di Semenanjung, masalah ini juga berlaku di Sarawak dan Sabah. Sebagai contoh, kawasan parlimen Igan di Sarawak mempunyai 30,000 pengundi, manakala kawasan parlimen di negeri yang sama iaitu Miri mempunyai lebih 140,000 pengundi. Ini menunjukkan ketidakseimbangan perwakilan bukan masalah eksklusif Malaya, tetapi satu masalah nasional.

Adakah Tuntutan ini untuk Memperbetulkan “Kesilapan Sejarah” Selepas Pemisahan Singapura?

Terdapat dakwaan bahawa apabila Singapura keluar dari Malaysia, 15 kerusi yang dipegang Singapura telah “diberikan” kepada Malaya, justeru tuntutan 35% adalah untuk memperbetulkan “kesilapan sejarah” ini. Ini adalah tidak benar.

Apabila Singapura keluar pada tahun 1965, kerusi-kerusi tersebut tidak “diberikan” kepada Malaya, tetapi hilang begitu sahaja. Apabila persempadanan semula dibuat pada tahun 1967-68, tidak ada penambahan kerusi kepada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 1973, pindaan perlembagaan telah menambah 10 kerusi Dewan Rakyat dan semuanya berada di Semenanjung Malaysia.

Tetapi pindaan perlembagaan ini diluluskan juga oleh Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak. Sekiranya ini merupakan satu ‘rampasan’ dari kerusi Singapura kepada Malaya, kenapa ahli Parlimen Borneo pada ketika itu tidak marah, malah meluluskan pindaan ini?

Jawapannya mudah: selepas Singapura keluar, peratusan kerusi Sarawak dan Sabah dalam persekutuan sebenarnya meningkat dari 25.2% kepada 27.8%. Persempadanan 1973 yang menambah 10 kerusi kepada Semenanjung Malaysia mengurangkan peratusan Borneo kepada 26%. Peratusan ini masih lebih tinggi berbandingan peratusan sebelum 1965. Perwakilan Sarawak dan Sabah amat konsisten pada 25% dari penubuhan Malaysia pada tahun 1963 sehingga tahun 2024 – tidak timbul isu “hak” perwakilan mereka dirampas oleh Malaya.

Perwakilan 35% Borneo sebagai veto kepada dasar Islamisasi?

Ada pihak tertentu yang menyokong tuntutan 35% perwakilan Borneo kerana percaya bahawa blok Borneo boleh bertindak sebagai kuasa veto terhadap dasar-dasar Islamisasi di peringkat nasional. Namun, tiada bukti kukuh bahawa pemimpin-pemimpin Sarawak dan Sabah pernah atau akan menggunakan kedudukan mereka untuk menghalang “Islamisasi” di luar negeri mereka.

Alternatif Kepada Tuntutan 35% Perwakilan

Terdapat satu cadangan daripada empat badan NGO (BERSIH, Projek SAMA, ROSE Sarawak, dan ENGAGE) yang dapat menguatkan perwakilan Sarawak dan Sabah tanpa menjejaskan hak negeri dan pengundi lain.

Cadangan yang lebih realistik itu ialah memberikan 35% perwakilan kepada Sarawak dan Sabah di Dewan Negara (Senat), bukannya Dewan Rakyat. Ini lebih munasabah kerana negara-negara lain seperti Amerika Syarikat juga memberikan lebih banyak perwakilan kepada negeri-negeri di Senat berbanding Dewan Rakyat yang seharusnya berdasarkan jumlah bilangan pengundi.

Satu lagi cadangan adalah untuk meminda Artikel 161(E) Perlembagaan Persekutuan supaya sebarang pindaan perlembagaan yang memberi kesan kepada Sarawak dan Sabah mesti diluluskan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri masing-masing. Ini akan memberikan negeri-negeri Borneo kuasa untuk menghalang sebarang pindaan perlembagaan yang boleh dianggap menjejaskan hak dan kedudukan mereka.

Bagaimana tuntutan ini diapi-apikan oleh gerakan pemisah yang mahu mengeluarkan Sarawak dan Sabah dari Persekutuan Malaysia?

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh sekumpulan NGO baru-baru ini, mereka menyebut tentang penghakisan sistem sekular serta penafian 35% kerusi di Dewan Rakyat, dan menggunakan dua perkara ini untuk menyeru kepada pemisahan. Kenyataan itu berbunyi, “Kami tidak lagi terikat dengan syarat MA63. Kami menuntut agar kerajaan Sabah dan Sarawak segera mempertahankan hak kami dan mengejar jalan keluar yang sah dari persekutuan yang gagal ini.”

Adalah penting bahawa wacana pemisahan ini tidak disamakan dengan tuntutan perwakilan 35%. Ini adalah dua persoalan yang berasingan, tetapi kita boleh memahami mengapa sesetengah individu menyerang sebarang cadangan alternatif yang menawarkan jalan penyelesaian seimbang yang mempertingkatkan autonomi Sarawak dan Sabah sambil mengekalkan mereka dalam persekutuan Malaysia. Ini menghalang rancangan mereka untuk mencetuskan konflik antara Borneo dan Malaya, dan menggugat hasrat terpendam mereka untuk membawa Sarawak dan Sabah keluar dari Malaysia.

Kesimpulan: Bahaya Polarisasi

Perpecahan antara Borneo dan Semenanjung Malaysia boleh menjadi lebih parah jika isu ini tidak dibincangkan dengan cara yang sihat dan demokratik. Kita perlu mengelakkan retorik yang memburukkan lagi ketegangan antara wilayah, sebaliknya fokus kepada mencari penyelesaian yang adil dan seimbang bagi semua rakyat Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus mencari jalan tengah yang memastikan hak-hak Sarawak dan Sabah dihormati tanpa mengorbankan prinsip keadilan dan demokrasi. Meningkatkan perwakilan di Borneo, mengukuhkan Dewan Negara, dan memperbaiki ketidakpadanan undi adalah langkah-langkah penting ke arah ini.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *