Penulis: Rizal Hamdan
Pada awal tahun 2024, konsultansi politik global, Eurasia Group dalam Laporan Risiko Politik bagi tahun 2024 menyatakan “the longer the war goes, the more both populations will radicalise, this will increase the risk of insurgency in Gaza, deadly clashes in the West Bank and Jerusalem’.
Pada 31 Julai 2024, Ketua Biro Politik HAMAS yang juga mantan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh telah gugur dalam satu serangan pihak Israel di Tehran selepas menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baru Republik Islam Iran. Kaedah pembunuhan pemimpin Palestin seringkali digunakan oleh pihak Israel bagi mengkucar-kacirkan struktur dan mematikan moral para pejuang Palestin.
Namun, satu yang perlu difahami oleh pihak Israel, setiap kali gugurnya seorang pemimpin, kumpulan pejuang seperti HAMAS akan menggantikannya dengan seseorang yang lebih radikal, karismatik dan taktikal berbanding pendahulunya. Jika kita soroti sejarah, pada tahun 1973, Hussein Al-Bashir, pemimpin kanan Palestine Liberation Organisation (PLO) telah dibunuh di Cyprus oleh agen Mossad, namun digantikan oleh seorang yang lebih radikal iaitu Zaiad Muchasi.
Dalam konteks HAMAS, pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin pada tahun 2004, membawa kepada kemunculan pengganti yang karismatik seperti Abd Aziz Rantisi. Pembunuhan demi pembunuhan ini meningkatkan populariti HAMAS dikalangan penduduk yang akhirnya membawa kepada kemenangan besar Gerakan tersebut dalam pilihanraya Legislatif Palestin pada tahun 2006. Operasi pembunuhan pimpinan hanya menumbuhkan pengganti yang lebih radikal yang semakin menyulitkan proses rundingan.
Psikologi dalam mana-mana gerakan pembebasan ialah, mereka sudah menyiapkan barisan kepimpinan 10 tahun awal dan setiap kali gugurnya pemimpin, akan muncul kepimpinan baru untuk mengambil tampuk kepimpinan. Oleh yang demikian, kaedah barbarik Israel hanya akan menyulitkan keadaan, melahirkan generasi yang lebih radikal dan memperpanjangkan lagi konflik bersenjata.
Israel Duri Dalam Daging di Rantau Timur Tengah
Pembunuhan Ismail Haniyeh merupakan isyarat jelas bahawa pihak Israel tidak mahukan jalan perdamaian sebagai penyelesaian kepada pertempuran dan pertumpahan darah yang sudah berlarutan selama hampir sepuluh bulan. Almarhum Ismail Haniyeh yang merupakan Ketua Biro Politik HAMAS merupakan muka hadapan dalam proses rundingan konflik.
Pembunuhan tersebut, secara tidak langsung memberikan isyarat bahawa konflik Palestin-Israel akan melimpah keluar sempadan kedua-dua entiti tersebut. Lebih-lebih lagi ia berlaku di tengah-tengah pusat pentadbiran Republik Islam Iran iaitu Tehran.
Perlu diingati, selepas peristiwa pembunuhan Brigadier Jeneral Mohamad Redza Zahedi di Damascus beberapa bulan lalu, pada malam 13hb April, pihak Republik Islam Iran telah melancarkan serangan balas ke atas Israel dengan menghantar sebanyak 130 dron, lebih 30 peluru berpandu krus dan 120 peluru berpandu balistik yang menyebabkan panik di seluruh Israel. Saya melihat serangan tersebut sebagai isyarat pihak Tehran kepada Tel Aviv supaya jangan cuba menjolok sarang tebuan.
Tragedi pembunuhan Ismail Haniyeh ditengah-tengah kota Tehran, akan membawa berlakunya lebih banyak serangan koordinasi Iran dan sekutunya ke atas Israel dan pangkalan strategiknya dalam masa terdekat. Ini sudah semestinya akan mengusutkan lagi konflik yang telah sedia rumit.
Seperti yang kita ketahui, Netanyahu sendiri sedang berhadapan dengan penentangan dalam negara atas kepimpinannya. Dapat kita lihat, tindakan membunuh kepimpinan HAMAS bertujuan mendapatkan menuai laba politik (political milage) atas kepimpinannya yang tercalar teruk sejak sebelum dan selepas serangan 7 Oktober 2023.
Difahamkan kini, diplomat Amerika Syarikat dan negara sekutunya sedang berusaha untuk berbincang dengan rakan sejawat mereka di rantau tersebut bagi mengelakkan situasi semakin memburuk. Jelas bahawa Israel merupakan liabiliti atau ‘biawak hidup’ kepada dasar luar dan pertahanan Amerika Syarikat, di saat negara Uncle Sam tersebut sedang berhadapan ketidaktentuan politik domestik menjelang pemilihan Presiden pada 5hb November ini.
Geopolitik Konflik Palestin-Israel
Seperti yang kita fahami, konflik ini bukan hanya melibatkan HAMAS ataupun Palestin, tetapi turut melibatkan beberapa entiti politik dan kumpulan bersenjata seperti Republik Islam Iran, Hezbollah dan Houthi.
Empat entiti ini merupakan aktor teras (core actors) dalam konflik selain Israel. Manakala di kategori pinggiran (periphery) negara-negara Muslim misalnya Turki, Malaysia dan Indonesia yang memberikan dukungan kepada HAMAS dengan pelbagai aktiviti lobi/kempen di peringkat diplomasi pelbagai hala (multilateral diplomacy) dan boikot diseluruh dunia. Manakala diperingkat semi-pinggiran (semi-periphery) terdapatnya kuasa besar misalnya China, Amerika Syarikat dan Russia.
Sejak meletusnya kembali konflik Palestin-Israel pada 7 Oktober 2023, pergolakan geopolitik di Rantau Timur Tengah. Konflik pada kali ini disertai oleh entiti bukan negara seperti puak bersenjata Houthis di Yemen.
Serangan berkala puak Houthis di Bab El-Mandeb ke atas kapal perdagangan milik Israel dan sekutunya telah menyebabkan gangguan terhadap perdagangan antarabangsa.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh konglomerat perkapalan dunia Maersk, 12 peratus perdagangan global menggunakan Terusan Suez pada tahun 2023. Angka ini menurun secara drastik sebanyak 66 peratus berikutan pergolakan yang berlaku di Laut Merah akibat serangan puak Houthis. Ini menyebabkan kemerosotan perdagangan dan kenaikan kos barangan global kerana kapal perdagangan terpaksa dilencongkan melalui Afrika. Mudahnya, perang meningkatkan risiko atas barang dagangan dan mengganggu rangkaian bekalan (supply chain).
Jika diperhalusi corak konflik Palestin-Israel sebelum ini, ia tidak melibatkan penentangan yang holistik sehingga mengganggu ekonomi dan perdagangan dunia.
Namun, dengan insiden pembunuhan Ismail Haniyeh, kita boleh meramalkan bahawa situasi perdagangan global akan semakin memburuk dengan kemungkinan puak Houthis akan memperhebatkan serangan ke atas kapal dagang Israel dan sekutunya dan ditambah dengan serangan balas skala besar oleh pihak Republik Islam Iran.
Saya menjangkakan, attrition warfare yang akan dipergiatkan oleh HAMAS dan sekutunya akan menyebabkan sumber daya ekonomi Israel dan sekutu akan melemah dan berkurangan, seterusnya membawa kepada campur tangan secara langsung oleh pihak Amerika Syarikat.
Jika ini terjadi, apa yang kita bimbangkan ialah campur tangan kuasa besar lain seperti China dan Rusia dalam konflik ini yang nescaya akan membawa kepada penglibatan senjata nuklear yang sangat dibimbangkan. Perlu diingati bahawa China merupakan broker kepada usaha ‘détente’ di antara Arab Saudi dan Republik Islam Iran pada tahun yang lalu.
Kegopohan Israel dalam melakukan clandestine operation dengan membunuh pemimpin tertinggi HAMAS tidak menyelesaikan konflik mahupun menjatuhkan moral para pejuang. Bahkan ia hanyalah kejayaan bersifat sementara atau pyric victory.
Kesan daripada insiden pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh membuktikan Israel memilih pertempuran berbanding perundingan.
Ia bukan sahaja menjadikan situasi di Gaza lebih memburuk, bahkan ia melahirkan kelompok kepimpinan baru yang lebih radikal dan taktikal berbanding pendahulu mereka. Lebih-lebih lagi, ia akan menjadikan pertempuran ini bukan lagi konflik serantau, tetapi konflik antara Global North dan Global South.
Semoga Allah SWT merahmati roh Almarhum Ismail Haniyeh dan menempatkannya dalam kalangan para syuhada.
*Penulis merupakan penganalisis politik antarabangsa dan dasar luar.




