Search
Close this search box.

Bolehkah Menyebut Seseorang Sebagai al-Syahid?

Penulis: Prof Dr. Ahmad al-Raysuni
Terjemahan oleh Zulkifli Abdul Rahman

Saya membaca tulisan dan mendengar ucapan sebahagian ulama pada hari ini di kaca televisyen yang membantah penggunaan lafaz ‘syahid’ atau ‘syuhada’ bagi individu-individu yang terkorban di medan pertempuran.

Hujah Pihak Yang Melarang
Sebahagian daripada mereka berkata (petikan ini merupakan kata-kata Sheikh Ibn Uthaimin rhm daripada laman sesawangnya),

“Seandainya kita lihat orang yang sedang berperang berkata, “Kami berperang untuk Islam dan demi mempertahankan kesucian agama Islam,” kemudian salah seorang daripada mereka terkorban. Adakah kita boleh sebut dia telah mati syahid? Jawapannya: Tidak, kita tidak boleh berkata dia telah mati syahid.” 

Beliau menambah,

“Perbuatan ini adalah haram. Perbuatan menyatakan seseorang individu itu secara spesifik telah mati syahid adalah tidak diharuskan.”

Dalil paling penting yang digunakan untuk menyokong hujah bantahan mereka dan melarang dari memberikan status syahid kepada mana-mana individu secara spesifik ialah kata-kata Imam al-Bukhari, “Bab: Seseorang itu tidak seharusnya dikatakan syahid. Abu Hurairah berkata daripada Nabi Muhammad ﷺ,

الله أعلم بمن يجاهد في سبيله، والله أعلم بمن يكلم في سبيله

Allah lebih tahu sesiapa yang berjihad di jalan-Nya dan Allah lebih tahu berkenaan sesiapa yang tercedera di jalan-Nya.”

Bab ini mengandungi satu hadith yang panjang. Kesimpulan dan prinsip umum bagi isu ini terletak pada penghujung sabda Rasulullah ﷺ dalam hadith terbabit,

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ عَمَلَ أَهْلِ الْجَنَّةِ فِيمَا يَبْدُو لِلنَّاسِ وَهُوَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ عَمَلَ أَهْلِ النَّارِ فِيمَا يَبْدُو لِلنَّاسِ وَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ

Terdapat seseorang yang beramal dengan amalan ahli syurga sebagaimana zahirnya tampak pada pandangan orang ramai, sedangkan dia ialah ahli neraka. Ada pula seseorang yang beramal dengan amalan ahli neraka sebagaimana zahirnya tampak pada pandangan orang ramai, sedangkan dia ialah ahli syurga.

Mereka juga berhujah dengan hadith yang diriwayatkan oleh beberapa ulama termasuk Imam Muslim bahawa Umar bin al-Khattab berkata,

لَمَّا كَانَ يَوْمُ خَيْبَرَ أَقْبَلَ نَفَرٌ مِنْ صَحَابَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالُوا: فُلَانٌ شَهِيدٌ. فُلَانٌ شَهِيدٌ. حَتَّى مَرُّوا عَلَى رَجُلٍ فَقَالُوا: فُلَانٌ شَهِيدٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كَلَّا. إِنِّي رَأَيْتُهُ فِي النَّارِ. فِي بُرْدَةٍ غَلَّهَا. أَوْ عَبَاءَةٍ.

Pada hari berlakunya peristiwa Khaibar, sebilangan Sahabat Nabi ﷺ pergi ke sana lalu berkata, “Si fulan itu telah syahid, si fulan itu telah syahid.” Sehinggalah mereka melalui seorang lelaki lalu berkata, “Si fulan itu telah syahid.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak, aku melihatnya berada di dalam neraka kerana pakaian atau jubah yang dicurinya.”

Mereka juga berhujah dengan kata-kata Umar RA yang turut mengandungi maksud yang sama.

Titik Perbezaan
Sebelum memberikan jawapan bagi pandangan dan hujah-hujah yang dijadikan sandaran bagi pandangan yang melarang ini, seharusnya dinyatakan terlebih dahulu titik temu yang disepakati semua agar ia tidak lagi menjadi ranah perdebatan dan perbincangan.

Semua ulama bersetuju bahawa kedudukan setiap orang di sisi Allah dan balasan baik buruknya di Hari Akhirat hanya diketahui secara yakin oleh Allah SWT sahaja. 

Hanya Allah SWT yang mengetahui siapa mukmin yang sebenar, siapa yang benar-benar syahid dan siapa yang diberikan kebahagiaan pada Hari Akhirat nanti. Dia sahajalah yang mengetahui siapa penghuni syurga dan penghuni neraka, begitu juga siapa yang diberikan keampunan dan sebaliknya. Malah, para Nabi sendiri tidak mengetahui tentang perkara ini, melainkan sekadar yang dijelaskan dan diwahyukan oleh Allah SWT.

Hujah Yang Mengharuskan Gelaran Syahid
Namun, hal ini bukan halangan untuk memberikan status ‘syahid’ kepada seseorang individu atau kumpulan tertentu. Sebaliknya, ia selari dengan hukum syarak secara umumnya dan hadith-hadith Nabi SAW secara khususnya. Penjelasannya adalah seperti berikut:

  1. Sebelum ini telah dibawa satu hadith berkenaan Umar bin al-Khattab daripada Sahih Muslim menyebut:

لَمَّا كَانَ يَوْمُ خَيْبَرَ أَقْبَلَ نَفَرٌ مِنْ صَحَابَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالُوا: فُلَانٌ شَهِيدٌ. فُلَانٌ شَهِيدٌ. حَتَّى مَرُّوا عَلَى رَجُلٍ فَقَالُوا: فُلَانٌ شَهِيدٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كَلَّا. إِنِّي رَأَيْتُهُ فِي النَّارِ. فِي بُرْدَةٍ غَلَّهَا. أَوْ عَبَاءَةٍ.

Pada hari berlakunya peristiwa Khaibar, sebilangan Sahabat Nabi ﷺ pergi ke sana lalu berkata, “Si fulan itu telah syahid, si fulan itu telah syahid.” Sehinggalah mereka melalui seorang lelaki lalu berkata, “Si fulan itu telah syahid.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak, aku melihatnya berada di dalam neraka kerana pakaian atau jubah yang dicurinya.

Hadith ini jelas menunjukkan sewaktu para sahabat memeriksa kesan peperangan yang berlaku, mereka menamakan secara spesifik para syuhada yang gugur di dalam Peperangan Khaibar. Perbuatan ini tidak disanggah oleh Rasulullah ﷺ melainkan hanya pada satu nama sahaja kerana Baginda ﷺ mengetahui keadaan dan kelakuan sebenar individu terbabit.

Ini bermakna, Rasulullah ﷺ tidak menghalang perbuatan memberikan status ‘syahid’ kepada mana-mana sahabat secara spesifik. Sebaliknya, Baginda ﷺ memperakui perbuatan itu, menjadikannya termasuk dalam kategori sunnah taqririyyah. Baginda ﷺ hanya mencanggahi para sahabat dalam keadaan tertentu sahaja apabila terdapat sebab yang menghalangnya yang diketahui melalui wahyu daripada Allah SWT.

  • Dalil lain yang menandakan keharusan perkara ini ialah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya daripada Jabir bin ‘Abdillah al-Ansari RA bahawa bapanya telah meninggal dunia ketika peperangan Uhud.

    Beliau telah meninggalkan enam orang anak perempuan dan sejumlah hutang. Apabila tiba musim menuai kurma, beliau pergi menemui Rasulullah ﷺ lalu berkata, “Wahai Rasulullah, kamu tahu bahawa bapaku telah syahid dalam peperangan Uhud…”

Hadith ini juga menunjukkan seorang sahabat telah menyatakan bahawa bapanya, ‘Abdullah al-Ansari telah gugur syahid. Nabi ﷺ telah memperakui perkara tersebut, maka ia termasuk dalam sunnah taqririyyah.

  • Tersebar luas dalam kalangan para sahabat dan generasi selepas mereka bahawa orang yang gugur di atas jalan agama digelar sebagai syuhada. Antaranya, Sumayyah ibu kepada ‘Ammar RA yang diberikan gelaran sebagai syahid pertama dalam Islam. 

    Dalam Musannaf Ibn Abi Shaybah diriwayatkan bahawa Mujahid berkata, “Syahid pertama yang gugur dalam Islam ialah ibu kepada ‘Ammar. Beliau syahid disebabkan Abu Jahal melempar tombak di bahagian perutnya.”
  • Dalam Musannaf Ibn Abi Shaybah juga diriwayatkan daripada Sa’d bin ‘Ubayd al-Qari’ bahawa beliau berkata pada hari peperangan al-Qadisiyyah, “Kita akan bertemu musuh pada hari esok inshaAllah dan kita akan gugur sebagai syuhada. Oleh itu, janganlah dibersihkan darah yang mengalir daripada tubuh badan kita dan janganlah kita dikafankan melainkan dengan pakaian yang kita sedia pakai.”

Oleh sebab itu, al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Ulama salaf bersepakat menamakan Sahabat yang gugur di peperangan Badar, Uhud dan sebagainya sebagai syuhada.” Kita juga sedia maklum bahawa para syuhada ini disebut nama mereka satu persatu secara spesifik.

  • Kita sedia maklum bahawa jenazah syahid ini mempunyai hukum yang khusus berkaitan memandikan, mengkafankan dan berkaitan solat jenazah. Semua ini telah dihuraikan dalam kitab-kitab fiqh dan hadith. Hukum yang istimewa bagi para syuhadaini tidak dapat dilaksanakan melainkan setelah jenazah yang terkorban itu diberikan status syahid.

Semua dalil ini menunjukkan keharusan untuk menetapkan individu tertentu sebagai syahid. Malah, hukumnya juga boleh jadi wajib. Perkara ini telah dilakukan pada zaman Rasulullah ﷺ dan para Sahabat RA.

Berkenaan hujah yang dipegang oleh golongan yang menyanggah keharusannya, semua ini mengingatkan kita tentang hal-hal tersirat yang mungkin berbeza dengan apa yang tersurat. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak seharusnya menyebut secara pasti tentang perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui Allah. Kita hanya berhukum dengan apa yang zahir semata-mata, sedangkan Allah sahajalah yang memutuskan apa yang tersembunyi. 

Perbuatan menghukum seseorang individu sebagai syahid adalah berdasarkan sangkaan baik dan berpandukan apa yang terzahir di mata manusia. Semua ini adalah diharuskan dan tidak menjadi masalah. Namun, tindakan berlebihan dalam menjelaskan sesuatu yang tidak sepatutnya tanpa sebarang garis panduan dan memutuskan sesuatu secara pasti bagi sesuatu perkara ghaib adalah tidak dibenarkan dan tidak seharusnya dilakukan.

Kita sedia maklum bahawa bersangka baik dengan zahir perbuatan manusia dan menyerahkan urusan niat yang tersembunyi itu kepada Allah ialah satu prinsip yang kukuh dan satu jalan yang benar di dalam Islam. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

إذا رأيتم الرجل يعتاد المساجد فاشهدوا له بالإيمان

“Apabila kamu melihat seorang lelaki melazimi masjid, maka saksikanlah bahawa dia adalah orang yang beriman.”

Hadith ini mengingatkan manusia agar berhukum menurut perkara zahir, sedangkan hakikatnya orang yang melazimi masjid itu mungkin benar-benar beriman dan mungkin juga sebaliknya. Masjid ialah tempat yang selalunya dihadiri oleh orang yang beriman. Inilah kebiasaan yang dapat dilihat secara zahirnya.

Namun, masjid juga mungkin dihadiri golongan munafik dan mungkin juga didatangi oleh mata-mata daripada golongan Yahudi, Kristian mahupun Atheis. Bahkan, Masjidil Haram sendiri mungkin boleh dimasuki golongan-golongan ini demi pelbagai motif. 

Walaubagaimanapun, semua ini tidak menghalang kita daripada menyebut keseluruhan orang yang bertandang ke masjid itu sebagai orang yang beriman. Dalam masa sama, kita tidak seharusnya memutuskan perkara itu secara pasti kerana hanya Allah yang mengetahui perkara ghaib yang tersembunyi. Begitu juga dalam isu menyebut seseorang itu sebagai syahid.

Oleh yang demikian, al-Hafiz Ibn Hajar berkata di dalam Fath al-Bari, “Kata-kata beliau (Imam al-Bukhari) yang menyatakan: Bab Berkenaan Tidak dikatakan bahawa Si Fulan itu Syahid; larangan itu adalah berkaitan perbuatan menyatakannya dalam bentuk yang putus dan yakin, melainkan jika perkara itu diketahui melalui wahyu… Meski begitu, orang yang terkorban itu tetap diberikan hukum syahid berdasarkan hukum-hukum yang zahir.”

Dalam Hashiyah al-Sindi ke atas Sahih al-Bukhari pula dinyatakan, “Kata-kata al-Bukhari (Bab Berkenaan Tidak dikatakan bahawa Si Fulan itu Syahid) adalah merujuk kepada neraca akhirat. Jika dikatakan syahid dalam urusan hukum-hukum duniawi, maka perkara itu adalah diharuskan.”

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *