Penulis: Dr Sahul HM
Buat kesekian kalinya, apabila berlaku pertukaran dan pelantikan pucuk pimpinan tertinggi pentadbiran negara, maka diisytiharkanlah gagasan baharu bagi mempamerkan keinginan untuk melakukan perubahan berbanding pentadbiran terdahulu.
Malaysia pernah dihadapkan dengan gagasan Wawasan 2020 pada zaman Dr. Mahathir, kemudian digantikan dengan Islam Hadhari yang berhayat pendek pada zaman Pak Lah. Selepas itu, muncul pula gagasan 1Malaysia di bawah Najib Razak. Setelah kerajaan Barisan Nasional runtuh buat kali pertama dalam sejarah negara, Dr. Mahathir kembali semula bersama Pakatan Harapan dan mempropagandakan wawasan baharu, Malaysia Baru. Ia tidak bertahan lama sebelum direnggut oleh Mahiadin Yassin, di tengah pandemik Covid-19 pada Februari 2020, lantas tidak memberikan sebarang pilihan kepadanya untuk mencipta gagasan tersendiri, melainkan menyesuaikannya dengan kegetiran semasa ketika itu, sehingga terungkapnya Malaysia Prihatin. Selepas itu, datang pula Ismail Sabri Yaakob dengan konsep Keluarga Malaysia, bagi menggantikan retorika sebelumnya.
Kini, usai PRU-15, kita semua dihadapkan dengan gagasan terkini di bawah kemudi nakhoda Anwar Ibrahim, yang digelar PMX. Gagasan Malaysia Madani diluncurkan secara rasmi pada 19 Januari 2023 di Putrajaya.
Berbanding kesemua gagasan yang pernah dilontarkan oleh para perdana menteri Malaysia sebelum ini, idea Madani bukanlah suatu buah fikir yang tiba-tiba tumbuh dalam kotak minda PMX sejak sebulan dua ini demi memenuhi upaya perjawatan perdana menteri beliau. Ia merupakan suatu konsep yang sudah digagas dan dibahas sejak puluhan tahun yang lalu, dengan memetik pandangan dan perspektif pelbagai sarjana terkemuka, dari dalam dan luar negara, seperti Syed Naquib al-Attas, Ibnu Khaldun dan Al-Farabi.
Malaysia Madani ialah gagasan yang menyasarkan perkembangan dan kemajuan material dan kemanusiaan yang dipandu dan didasari oleh ketertinggian akhlak, adab dan budi pekerti. Seperti istilah ‘peradaban’ membawa maksud daripada kata dasarnya ‘adab’ dan menjadi istilah gantian bagi menggambarkan ketamadunan, Madani juga membawa maksud yang lebih kurang sama: ketamadunan yang beradab.
Membaca huraian penuh oleh PMX dalam bukunya ‘Madani’, kita diajukan dengan kefahaman yang menyeluruh, bahawa ia tidak lain dan tidak bukan adalah berhubung rapat dengan pembangunan nilai kemanusiaan, menekankan perihal ‘hablumminannas’– hubungan antara manusia dengan manusia demi mencapai keredhaan Maha Pencipta, bagi mencipta hubungan kondusif, ‘hablumminAllah’. Malaysia Madani ialah Malaysia yang berjuang untuk mengharmonikan hubungan antara manusia Malaysia bagi menagih ihsan dan rahmat Allah.
Walau bagaimanapun, fokus penulis bukanlah terhadap wacana Madani itu per se. Penulis lebih gemar untuk berbicara dari sudut publisiti dan promosi gagasan tersebut di bawah kerajaan perpaduan ini. Dalam istilah yang lebih spesifik, bagaimanakah gagasan tersebut menjalani fasa propagandanya? Apakah ia hanya akan dianggap sebagai satu lagi produk retorik pemerintah bagi membuai perasaan rakyatnya untuk melupakan segala kesukaran real yang dialami?
Secara jujurnya, penulis sentiasa cuba bersangka baik dan berharap setiap gagasan yang dilontarkan oleh pihak pemerintah dapat direalisasikan. Kerana kita hidup dalam harapan. Harapan supaya nasib kita dapat diperbaiki selepas sekian lama terperuk dalam kesukaran yang mengasak kehidupan. Dengan kuasa yang dipinjamkan kepada pemerintah, harapan itu kita angkat sebagai doa supaya gagasan yang diumumkan benar-benar dapat mengubah nasib, mengeluarkan kita daripada kegelapan kepada cahaya. Tetapi pada masa yang sama kita bersikap realistik bahawa tiada sentuhan midas yang dapat mengubah segalanya dalam sekelip mata.
Madani, pada peringkat ini, terdengar seperti istilah Arab berkonotasi Islam yang menjadikan ia sebagai satu cabaran untuk dipersembahkan kepada rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam. Bagi yang Muslim, ia mungkin sahaja selesa dan tidak janggal mendengar istilah berbunyi Islamik sebegini. Di sinilah peranan para propagandis yang mewakili kerajaan perlu bekerja dan bertungkus lumus bagi menyebarluaskan pemahamannya. Madani harus dipaparkan sebagai suatu gagasan inklusif yang memenuhi kehendak, impian dan harapan seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya memfokuskan kepada mana-mana satu bangsa atau agama. Untuk itu, pemerintah harus menggerakkan segala aparatus penerangan ke segenap pelosok negara bagi menjelaskan aspirasinya. Libat urus dengan pemimpin tempatan di setiap peringkat perlu diadakan sesegera mungkin. Ia perlu turun dari atas ke bawah, dengan satu panduan seragam, supaya tidak tersasar maksud dan hasratnya.
Bagi sesebuah gagasan, ruang interpretasi perlu dibataskan dalam ruang lingkup aspirasi asalnya, bukan dibiarkan sewenang-wenangnya sehingga ia disalah tafsir. Modul Madani perlu dibangunkan bagi menjadi panduan para propagandis. Proses ini berlangsung seperti model ‘belahan nukleus’ (nucleus fission), apabila Uranium-235 dibedil dengan neutron, ia terbelah dua, sebelum berpecah lagi dalam satu rantaian tindak balas yang berterusan, sehingga mencipta satu tenaga yang amat besar seperti bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki.
Satu gagasan yang terorganisasi dan terkawal, dipropagandakan kepada pemimpin tempatan, turun ke bawah kepada pemimpin lebih kecil sebelum ia tersebar secara berantai dalam kalangan rakyat terbanyak dengan pemahaman asal, sehingga akhirnya berlaku satu perubahan massa, meletuskan tenaga reformasi dalam negara. Kerana ini jugalah, penulis pernah mencadangkan supaya institusi Biro Tata Negara (BTN) wajar untuk dihidupkan semula, dengan mengubah modulnya ke arah pembinaan negara bangsa Malaysia berteraskan gagasan Madani, bukan sebagai alat propaganda murahan pemerintah dengan mengeksploitasi sentimen agama dan kaum. BTN ialah jenama yang sudah established serta memiliki rangkaian fasiliti di seluruh negara.
Namun, penting juga untuk diingatkan bahawa kesemua ini bukanlah suatu proses indoktrinasi yang tidak meraikan keupayaan akal fikiran. Rakyat dibenarkan untuk membahaskan gagasan tersebut dan memberikan pandangan berdasarkan kepelbagaian latar kaum, budaya dan agama yang ada. Yang penting, matlamat akhir bagi mencapai nilai kemanusiaan yang tinggi yang bebas korupsi, dapat dicapai tanpa merencatkan mana-mana nilai eksklusif kaum dan agama yang terdapat dalam negara ini. Pemerintah mempunyai kuasa; jika ia mempunyai iltizam, tiada yang mustahil dapat dilaksanakan.




