Search
Close this search box.

Cadangan Saya Kepada Menteri Pendidikan

Penulis: Dr Sahul HM

YB Menteri Pendidikan yang dihormati, ada beberapa perkara yang boleh dilaksanakan tanpa perlukan kepada penubuhan jawatankuasa dan pindaan polisi atau penggubalan polisi baharu. Juga tidak melibatkan implikasi kewangan yang besar. Kita faham akan kedudukan kewangan yang sangat mendesak pada waktu ini. Oleh yang demikian, eloklah kiranya pihak kementerian dapat melaksanakan hal-hal yang kecil yang berimpak besar, sebelum menumpukan kepada hal-hal yang besar kelak. Antaranya adalah:

1. Mengarahkan sekolah di seluruh Malaysia untuk tidak menguatkuasakan pakaian yang kurang sesuai dengan iklim tropika di Malaysia. YB mungkin pernah melihat sendiri anak-anak di sekolah terpaksa mengenakan tali leher pada waktu tengah hari rembang, kan? Itu belum lagi pengawasnya yang ditambah pula dengan blazer atau vest sepanjang hari, sampai basah kuyup bajunya dengan peluh yang bercucuran. Berminyak-minyak kepala dan mukanya. YB, dengan cuaca panas dan hujan sepanjang tahun kita ini. Kita tak perlukan pakaian sebegitu. Ia bukan parameter kepada kemajuan atau penguasaan ilmu. Itu namanya kita menuruti Barat secara membuta tuli. Malah tidak semua sekolah di negara empat musim mensyaratkan pemakaian tali leher setiap masa. Ia berubah mengikut musim.  

Bagi negara kita ini, yang lebih kita perlukan, YB, ialah topi yang menutupi kepala anak-anak di sekolah, bukannya tali leher. Sebagai bapa, saya pernah menyuarakan hal ini dalam mesyuarat PIBG, tetapi tidak diendahkan. YAB Perdana Menteri pun sudah tidak memakai tali leher, walaupun bermesyuarat dalam bilik berhawa dingin, inikan pula anak-anak di sekolah yang bilah kipasnya pun belum tentu boleh berpusing. Sediakanlah mereka ruang pembelajaran yang kondusif berdasarkan realiti iklim kita.

2. Membenarkan para guru untuk bertukar sekolah secara suka sama suka berdasarkan keperluan subjek yang sama. YB tak perlu khuatir, para guru ini kalau di sekolah serba boleh orangnya. Manakan tidak, yang major PJK boleh mengajar Sejarah. Yang major Matematik boleh mengajar Bahasa Inggeris. Jadi apa yang jadi masalahnya jika mereka boleh bertukar suka sama suka? Kita masih belum mampu untuk menempat dan menetapkan guru berdasarkan opsyen dan kepakaran. 

Kita bercakap soal profesionalisme guru, tetapi perkara paling fundamental ini pun belum kita dapat selesaikan selepas hampir 60 tahun membina negara. Selama ini, pertukaran suka sama suka ini tidak diamalkan secara meluas. Ia tertakluk kepada kebenaran pentadbir di peringkat PPD ataupun JPN. Berdasarkan pengetahuan saya, ia sering tidak digalakkan. Dengan cara ini YB, masalah guru duka lara boleh diatasi, walaupun tidak sepenuhnya.

3. Meminta pihak JPN atau PPD supaya tidak menekankan kepada kuantiti pengajaran, tetapi mementingkan kualiti pengajaran. YB boleh adakan culaan atau pungutan suara daripada para guru bagi mendapatkan pandangan tentang keghairahan pihak pentadbiran atasan ini dalam memastikan semua dapatan atau laporan atas kertas muluk belaka, walaupun hakikatnya tidak sebegitu. Ada orang atasan yang tak faham pun tentang PAK21 (Pembelajaran abad ke-21) tetapi menekan dan mengkritik guru kerana tidak menggunakan bahan ICT dalam pengajaran. 

YB yang dihormati, PAK21 bukan tentang teknologi, tetapi terasnya ialah pengajaran berpusatkan murid. Let the pupils do the walking, talking, teaching and questioning. Kita perlu galakkan murid untuk bertanya soalan. Pertanyaan atau inkuiri ialah unsur terpenting proses pembelajaran. Untuk itu, gurunya juga perlu terlebih dahulu dibenarkan bertanya kepada para pentadbir atasan. Ia adalah satu rantaian. Mana mungkin para guru dapat menggalakkan muridnya sedangkan mereka sendiri tidak dibenarkan ada sifat inkuiri terhadap orang atasannya? Berdosakah bertanya?

4. Mendapatkan data sebenar kadar buta huruf di negara kita. Data sebenar YB, bukan sekadar data yang enak dipandang mata dan sedap didengar telinga. Hal ini berkait langsung dengan perkara di atas tadi kerana terdapat sebilangan pentadbir yang mahu mengampu Menteri dengan menyampaikan data yang muluk sahaja. Dengan pandemik yang melanda kita ini, kadar buta huruf pastinya semakin meningkat, bukan menurun. Saya pernah berbicara dengan seorang Ketua Pegawai Pendidikan Daerah yang mengakui “…akhirnya, kita perlu menyampaikan benda yang baik sahaja ke atas, supaya tak dihentam dan disalahkan...” 

Inilah konvensyen dalam pengurusan kita sekian lama. Semuanya untuk memuaskan hati pihak atasan, dan jarang ada yang mahu bercakap benar kerana yang bercakap benar bisa senasib dengan Hang Nadim!

5. Bina platform atau mekanisme untuk mendapatkan input langsung daripada guru di lapangan. Ia boleh berupa apps atau laman web. Ini zaman Revolusi Industri 4.0, YB, kita boleh gunakan segala kepakaran yang ada dalam KPM atau di kementerian lain untuk mewujudkan suatu pusat pangkalan data berkaitan pandangan dan aduan guru yang mesra, telus dan tepat. Big data, itu kuncinya. 

6. Yang terakhir, tapi bukan yang terkurang YB, mohon dikembalikan fungsi asal pendidikan berdasarkan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk membina manusia yang seimbang dan harmonis, bukan hanya menumpukan kepada pencapaian material semata-mata. Kita sudah tersasar jauh. Kita sibuk dengan sains dan teknologi sehingga terlupa kepada bidang kemanusiaan dan sains sosial. Kita sendiri yang mencipta jurang dan dikotomi antara dua bidang tersebut sehingga wujud persepsi bahawa ‘budak pandai akan ke aliran sains’ dan ‘budak kurang pandai akan pilih aliran sastera’. Kita melenyapkan keseimbangan dalam pendidikan sehingga mencipta ketidakseimbangan dalam ekosistem masyarakat dalam jangka waktu yang panjang. 

Demikianlah YB Menteri Pendidikan yang dihormati, secebis pandangan daripada saya, seorang pendidik di universiti yang tidak hanya mahu duduk senang-senang dalam bilik berhawa dingin. Kami di UPSI menghasilkan ribuan guru dan terbuka juga kepada pelbagai aduan dan respon daripada bekas pelajar kami yang masih berhubung. Itulah sumber yang dapat dirujuk untuk menuangkan tulisan sebegini demi kebaikan dan kebingkasan sistem pendidikan kita.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *