Search
Close this search box.

Hak Borneo Demi Perpaduan

Penulis: Amirul Mukminin

Apabila kerajaan Malaysia yang diterajui oleh PM-X mengumumkan bahawa kuasa selia gas di Sabah diserahkan kepada kerajaan negeri Bawah Bayu ini, ia membuktikan komitmen kita untuk membina sebuah negara bangsa yang kukuh. 

Dalam sebuah negara bangsa, kita ada harus toleransi dan kefahaman, serta persetujuan atas perpaduan dan hak masing-masing. Jika tidak sebuah negara bangsa tidak akan stabil. Malaysia, seperti kebanyakan negara di dunia bukanlah sebuah negara hemogeneous, yang bermakna bukan hanya satu etnik yang wujud dan mendominasi. 

Malaysia dengan warisan ribuan tahun dahulu, terbentuk dengan wujudnya pelbagai etnik termasuk Melayu, Peranakan, Orang Asli, Dayak, Bidayuh, Iban, Murut dan orang dagang seperti Arab, Parsi, Jawa, Aceh, Banjar dan sebagainya. Setelah penjajahan British dan Jepun mengambil tempat, keadaan tanah ini lebih berwarna-warni dengan kedatangan etnik India dan Cina. Dengan semangat perpaduan ini kita membentuk sebuah negara bernama Malaysia.

Malaysia dibentuk pada 1963 dengan perjanjian Malaysia (MA63). Walaupun Singapura kemudiannya ditendang keluar, Sabah dan Sarawak kekal dengan perjanjian ini. Dengan kewujudan sahabat dari Borneo, ia bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan Malaysia, tetapi juga dari sudut kewangan melalui sumber alam, pelancongan dan sumber tenaga manusia. Sumbangan aspek keselamatan juga perlu dihargai, kerana secara geopolitiknya Sabah ialah titik kestabilan untuk kepulauan Semenanjung, Kalimantan Indonesia, dan Jawa. 

Bagi orang Borneo, mereka melihat Perjanjian Malaysia yang ditandatangani itu mengikut model Denmark, sebuah negara kesatuan secara perlembagaan yang merangkumi wilayah autonomi Kepulauan Faroe dan Greenland di Lautan Atlantik Utara. Melalu perjanjian ini, ereka mempunyai kuasa autonomi dalam beberapa hal ke atas negeri mereka.

Mereka melihat mereka ada ‘saham’ besar selaku equal partner dalam pembentukan Malaysia. Tanpa mereka, tidak ada Malaysia. 

Disebabkan negeri-negeri Borneo tidak berkongsi sistem beraja dan konteks sosiopolitik yang sama, mereka diberikan pelbagai hak istimewa. Sarawak misalnya ialah “negara” sendiri semasa zaman kolonial dan bukan bernaung di bawah British-Malaya, dan Sarawak diperintah oleh ‘Rajah’nya sendiri. Sabah pula, walaupun diperintah oleh British, namun ia masih merupakan “negaranya sendiri” sebagai North Borneo, sebelum masuk ke dalam Malaysia pada 1963.

Jadi, mereka punyai hak sendiri sebagai ‘negara’ gabungan. Hal ini dinyatakan dalam Memorandum 20[1] yang antara lain menuntut:

1. Islam ialah agama rasmi Persekutuan Malaysia tetapi ia dikecualikan ke atas Sabah dan Sarawak. 

2. Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi Bahasa Inggeris akan digunakan sebagai Bahasa Rasmi di Sabah dan Sarawak. 

3. Sistem pendidikan dikekalkan di bawah kawalan Kerajaan Pusat kecuali di Sabah dan Sarawak. Sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak kekal di bawah kawalan kerajaan negeri masing-masing sehingga Majlis Negeri membuat pindaan. 

4. Bidang kuasa Imigresen terletak di bawah Kerajaan Pusat, tetapi Sabah dan Sarawak diberi kuasa-kuasa tersendiri untuk mengendalikan hal ehwal imigresen negeri masing-masing.

Perjanjian Malaysia 1963 bukan sahaja diiktiraf oleh semua ahli Malaysia, bahkan termasuklah PBB dan komuniti antarabangsa. 

Sedangkan akibat kurangnya kefahaman, orang semenanjung Malaysia melihat bahawa idea federalisme kita mirip Amerika Syarikat. Ini salah. Hakikatnya perjanjian ini lebih mirip dengan Denmark-Greenland. 

Greenland adalah sebuah negara di kepulauan di Amerika Utara yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Denmark. Greenland dan Kepulauan Faroe adalah sebahagian daripada tiga negara konstituen yang membentuk Kerajaan Denmark; rakyat negara-negara ini adalah semua warga Denmark dan Kesatuan Eropah. Tapi Greenland punya autonominya sendiri dalam beberapa hal termasuk ada “Premier”-nya sendiri, walaupun Denmark sudah ada Perdana Menteri dan monarki.  PM Denmark ialah Mette Frederiksen, monarki mereka ialah Margrethe II of Denmark tapi Greenland ada Premier Múte Bourup Egede yang equal but not very equal dengan PM Denmark. Sounds familiar? Sekarang baru faham kan, mengapa nama jawatan Ketua Menteri di Sarawak ditukar kepada Premier Sarawak? 

Sepanjang sejarah Kerajaan Pusat, sering ada idea Federalism ala Amerika. Hak-hak Borneo sering dipolitikkan oleh parti-parti di Borneo kononnya mahu perjuangkan hak mereka tapi masalah di peringkat pusat pula tidak pernah mahu selesaikan dan luluskan.

Pada 2019, Selepas cadangan pindaan Perlembagaan Malaysia 2019 mengenai status sama rata Sabah dan Sarawak gagal diluluskan, kerajaan persekutuan Malaysia bersetuju untuk menyemak semula perjanjian untuk memulihkan pelanggaran perjanjian dengan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Khas Untuk Mengkaji Perjanjian Malaysia. Akhirnya 7 Perkara diputuskan: 

  1. Hak duti eksport ke atas eksport pembalakan dan hasil hutan.
  2. Pengagihan gas dan kuasa pengawalseliaan ke atas elektrik dan gas.
  3. Pelaksanaan Kerja Raya Persekutuan dan Negeri.
  4. Tenaga manusia.
  5. Kuasa negara dalam isu kesihatan.
  6. Pentadbiran pulau Sipadan dan Ligitan untuk Sabah.
  7. Isu pertanian dan perhutanan.

Walaupun cuba diselesaikan, ramai yang beranggapan ini akan jadi projek gajah putih lagi, perjanjian ini akan hidup tak bernyawa. Namun PM-X meneruskan dan melaksanakan apa yang sudah dijanjikan. Beliau benar-benar mengotakan janji.

Dengan pengotaan janji ini Sabah-Sarawak akan lebih selesa untuk hidup sebagai equal partner dengan Semenanjung. Hal ini akan lebih menstabilkan Malaysia dan mengurangkan desakan-desakan segelintir penduduk kedua-dua wilayah tersebut untuk keluar daripada Malaysia. Malaysia boleh fokus untuk kehadapan dan memajukan negara.

Jelaslah, usaha memupuk perpaduan di Malaysia itu seharusnya bermula dengan memberi hak kepada yang berhak.


[1] Memorandum 20 Perkara (ataupun secara luasnya lebih dikenali sebagai Perkara 20) itu adalah satu dokumen yang menggariskan perkara-perkara asas yang dianggap sebagai penting oleh pemimpin-pemimpin serta masyarakat Sabah ketika itu, bagi menjamin hak Sabah (dan juga rakyatnya) kekal terjaga walaupun selepas Persekutuan Malaysia berjaya dibentuk. Rujuk: https://therakyatinsight.com/memahami-perkara-sebenar-perkara-20-ma63-keistimewaan-bab-3-laporan-igc/

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *