Penulis: Dr Sahul HM
1. Ini ialah kerajaan perpaduan nasional. Bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) per se. Ia mengumpulkan pelbagai latar ideologi dan pendekatan yang berbeza, malah kadangkala kontradik berdasarkan pengalaman masing-masing dalam politik. Pendekatan antara ahli politik daripada PH adalah berbeza berbanding rakan gabungan dalam Barisan Nasional (BN) yang kebanyakannya terdiri daripada para warlords yang sudah biasa mengurus dan menggunakan kuasa.
2. Kerajaan perpaduan ini diketuai oleh PH. Oleh sebab itu, ia turut memikul liabiliti daripada kesilapan dan kelemahan kerajaan PH yang terdahulu di bawah pimpinan Tun Mahathir. Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) kini mempunyai tanggungjawab bagi ‘mencuci’ daki dan kotoran yang terlekat pada imej PH. Segala kesilapan yang dilakukan oleh anggota kabinet yang terdahulu sepatutnya menjadi iktibar untuk tidak mengulanginya semula. Penting juga untuk diingati supaya barisan kabinet yang sama tidak diletakkan pada portfolio yang sama seperti sebelumnya. Barangkali ada seorang dua menteri yang boleh dikekalkan pada tempatnya berdasarkan sumbangan dan perubahan yang dilaksanakan dalam tempoh singkat 22 bulan tersebut, seperti Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan, Yeo Bee Yin sebagai Menteri Sains dan Teknologi dan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan (dilantik Senator). Cabaran utama yang dihadapi oleh DSAI adalah untuk memilih dan melantik calon terbaik berdasarkan kuota anggota kabinet yang dikongsi bersama dengan rakan koalisi yang lain.
3. Belajarlah daripada pengalaman lalu. Perubahan perlu dilakukan tetapi dengan tenang dan waras. Jangan gopoh, jangan ghairah. Kabinet baharu perlu dinasihatkan supaya menentukan prioriti masing-masing. Yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Diharapkan supaya beberapa perkara yang bersifat kontroversi mestilah dibincang dan diwacanakan secara tuntas supaya tidak menjadi beban kepada kerajaan ini. Antara isu terpenting yang perlu diperlahankan pelaksanaannya ialah pengiktirafan UEC. Para pakar daripada pelbagai latar belakang harus dikumpulkan supaya hal ini dapat dibincang lumat sebelum dibuat sebarang keputusan. Agenda nasional mestilah diutamakan bagi menggalakkan integrasi dan perpaduan dalam jangka waktu yang panjang berbanding permintaan golongan yang hanya memikirkan kepentingan kelompok kecil, secara relatifnya.
4. Kita berhasrat melakukan reformasi bukannya revolusi. Reformasi bermaksud membuat perubahan dengan menambahbaik sistem dan aparatus yang ada, bukannya mendobrak dan menggantikannya dengan yang baharu. Reformasi institusi penting seperti agensi penguatkuasaan perlu diutamakan berbanding merombak hal-hal yang sudah menjadi teras dalam negara kita. SPRM misalnya, perlulah diletakkan di bawah Parlimen, bukan menjadi agensi yang menjawab kepada Perdana Menteri semata-mata. Pihak PDRM harus dilepas dan dibebaskan daripada sebarang campur tangan politik.
5. Tumpuan utama pada waktu ini seharusnya adalah DUA TERAS utama iaitu PEMULIHAN EKONOMI dan PEMBINAAN MANUSIA. Setelah dua teras ini diwacanakan dan dilangsaikan peranannya, barulah kita beralih kepada tujuan dan matlamat yang lain.
6. Pemulihan ekonomi merangkumi usaha memulihkan RM, mengawal atau menurunkan harga barang, menghapuskan monopoli, meluaskan peluang kerja, mengawal inflasi dan meningkatkan pelaburan. Perkembangan awal pengukuhan mata wang ringgit bermula 22 November yang lalu ialah perkembangan yang sangat memberangsangkan. Sedikit sahaja perubahan menyaksikan kesan yang signifikan terhadap keadaan dalam negara. Isu kekurangan telur ayam misalnya, tiba-tiba dapat diatasi dengan trend pemulihan mata wang ringgit. Beberapa usaha kecil seperti menghentikan kadar kenaikan OPR juga bisa membantu rakyat terbanyak dalam mendepani krisis ekonomi yang melanda kocek mereka. Rakyat tidak arif dengan segala label dan istilah jargon berkaitan ekonomi, tetapi yang mereka mahukan ialah akses untuk mendapatkan bahan dan perkhidmatan asas dengan harga yang munasabah. Inilah yang perlu diberi perhatian oleh barisan kabinet kelak.
7. Pembinaan manusia ialah teras kedua. PRU-15 banyak merosakkan hubungan antara manusia pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Ucapan kebencian dan fitnah melata dalam bentuk poster, video dan ceramah. Kerajaan baharu ini wajib melaksanakan rekonsiliasi nasional. Perdamaian semula. Tanpa hubungan kaum dan agama yang harmoni, pemulihan ekonomi tidak akan berjaya. Kerajaan melalui aparatusnya, seperti RTM, pejabat perpaduan, sekolah dan institusi pengajian tinggi misalnya, harus menggerakkan usaha besar-besaran bagi memulihkan ketegangan kaum dan agama yang dimanipulasi dalam pilihanraya. Walaupun terdapat usaha daripada individu dan kumpulan masyarakat sivil, kerajaanlah yang berkeupayaan untuk melaksanakannya dengan lebih meluas dan berkesan. Di Malaysia ini, kita semua hidup saling memerlukan ibarat aur dengan tebing. Menang jadi arang, kalah jadi abu.
8. Kekalkan institusi yang boleh dimanipulasi untuk program retooling dan mental conditioning seperti Biro Tata Negara (BTN) dan J-KOM tetapi ditambah baik bagi menyebarkan idea pendidikan politik, unsur tradisi Perlembagaan, penyatupaduan, demokrasi, tata kelola kerajaan, sistem penyampaian dan anti-rasuah. Sekian lama BTN dikenali sebagai agensi propaganda dan indoktrinasi yang dikuasai oleh kerajaan bagi mengekalkan sokongan dengan eksploitasi politics of fear. Dengan segala prasarana yang ada, BTN dapat dirombak dan disegarkan dengan pendekatan baharu demi membina negara yang bersatu pada dan menghargai demokrasi.
9. Lantiklah Menteri berdasarkan merit dan kredibiliti. Sudah-sudahlah menjadikan jawatan sebagai ghanimah. Saiz kabinet yang kecil perlukan Menteri yang benar-benar berkaliber dan berkeupayaan. Seperti yang dikatakan di poin sebelum ini. DSAI berhadapan cabaran yang besar bagi menyusun atur barisan anggota kabinet supaya ia menghormati pandangan daripada semua rakan koalisi. Perbincangan terbuka, hati ke hati, harus diadakan bagi membawa perubahan. Jawatan ialah amanah dan beban, bukan kebanggaan dan kemewahan.
10. Hentikan amalan menyanjung elit politik. Kembalikan kemuliaan suara rakyat. Eloklah jika kita dapat menghentikan gejala menyanjung dan meraikan secara berlebihan para elit politik setiap kali mereka berkunjung ke kawasan kita. Makanannya perlu eksklusif, pintu keretanya harus dibukakan, kerusinya ditarik, makanannya disodor. Ini semua mentaliti hamba dan budaya feudal yang perlu dihapuskan. Yang Berhormat ditukar kepada Yang Berkhidmat. Kita yang melantik mereka, mengapa pula kita yang harus menunduk malu alah dengan mereka?
Demikianlah sedikit pandangan daripada penulis, seorang pendidik di universiti, yang dikumpul dan disusun daripada pelbagai sumber dan pendapat di lapangan. Walaupun tulisan ini tidak akan mempengaruhi golongan pembuat dasar, sekurang-kurangnya ia dapat menyedarkan mereka bahawa rakyat di bawah mendambakan suatu usaha perubahan yang serius dan bersungguh-sungguh.




