Penulis: Izmil Amri
Akhir-akhir ini, ada gangguan makhluk halus di rumah saya. Kelibatnya kadang-kadang kelihatan di subuh hari, ketika masih gelap dan rumah masih sunyi. Dari mana ia datang, tidaklah kami tahu. Tetapi ada sisa yang ditinggalkan, dan makanan kering di dapur belakang habis terpaksa dibuang.
Sebenarnya rumah sudah pun dipagar rapi. Siap dipasang jaring di segala liang dapur belakang; tetapi makhluk ini tetap lolos juga. Entah mengaji mana, cerdik sungguh ia. Dua hari lalu saya pasang perangkap gam, dengan umpan saya letakkan di tepi, supaya makhluk ini melekat dan boleh ‘diselesaikan’. Tetapi ia ternyata lebih cerdik lagi. Gam tidak terusik, umpannya habis hilang. “Sial,” getus hati kecil saya.
Tidak seperti cerita Ratatouille, makhluk yang seekor ini langsung tidak beradab. Selepas makan, ia berak. Merata-rata pulak tu. Kalau yang digeritnya plastik balut barang pun, ia melepas juga setelah selesai melantak. Tapi ya lah, dia mana faham bahasa. Yang ia tahu, setiap malam, ketika penghuni rumah sudah tidur; ia perlu makan dan kemudian berak. Bila kantoi, lari sembunyi.
Maka tidak hairan kenapa orang politik disebut politikus. Tidak banyak beza kan sebenarnya.
Makan rasuah, berak, tinggal. Tunggu orang lain bersihkan. Yang dimakan itu pula bukan haknya. Ya, seperti tikus.
Ada usaha mungkin untuk menukar kalimat itu – politikus, menjadi politikawan. Supaya tidak nampak jahat, kotor, kaki rembat dan sebagainya. Tapi siapalah nak percaya. Dari sudut pandang kebanyakan orang, politikus adalah saling tak tumpah perangainya seperti seekor tikus. Kawan? Jauh panggang dari api.
Tetapi benarkan sudut pandang ini? Adakah semua aktor politik itu jahat seperti tikus?
Politika
Kata ‘politik’ berasal dari istilah Yunani, politika yang bererti ‘hal ehwal kota’. Lebih kurang. Ia boleh difahami sebagai kegiatan yang berkait dengan kerja membuat keputusan secara berjemaah, atau permainan kuasa antara individu dan/atau perkumpulan. Ia adalah persoalan pentadbiran sumber-sumber oleh masyarakat atau mereka yang dijadikan wakil oleh sesebuah masyarakat.
Mereka yang mendalami ilmu fiqh siasah dengan manhaj barat akan menemukan tokoh bernama Harold Lasswell yang mendefinisikan politik sebagai ‘siapa mendapat apa, bila dan bagaimana’. Ini yang paling popular, dalam memahami politik sebagai seni segala mungkin.
Kalau yang rajin sikit, maka dihafal pula definisi Otto von Bismarck, yang antara lain menyebut politik itu adalah keupayaan untuk memilih, pada setiap ketika dan di dalam situasi berubah-ubah, pilihan yang paling kurang mudaratnya dan paling membawa manfaat. Lebih kurang begitu.
Di Malaysia, orang ramai melihat politik dengan sudut pandang yang sedikit Nusantara. Ini kerana di dunia balik sini, konsep demokrasi hadir dan berfungsi dalam fabrik masyarakat agak lambat. Harus dijajah, berperang dan kemudian dijajah lagi untuk mengerti bahawa rupanya ada sistem lain yang namanya demokrasi untuk memilih apa yang dianggap masyarakat sebagai ‘pemimpin’ negara.
Dan pemimpin itu pula mentadbir bagi pihak raja-raja. Dan raja-raja itu pula kebal daripada undang-undang. Kerana raja punya daulat. Dan leluhur para raja itu boleh dijejak pertalian darahnya hingga ke kisah-kisah paling sakti dan tidak boleh dipertikai.
Maka golongan yang dianggap pemimpin ini, yang datang dari pertubuhan politik seperti Umno misalnya, sebuah parti yang lahir dari rahim istana, adalah juga dikira berkuasa, dan perlu dihormati, tidak boleh dibantah-bantah.
Justeru, melawan kerajaan bukan budaya kita, mengkritik dan mempersoal juga bukan budaya kita. Apatah lagi berdebat tentang politik. Eh, itu lagilah bukan budaya kita.
Arakian maka apabila berlangsungnya sahaja Pilihan Raya Umum ke-15, segala ajakan untuk pemimpin parti politik berdebat dan mengemukakan idea serta dasar masing-masing untuk memperbaiki negara langsung sahaja ditolak mentah-mentah. Dengan alasan ‘debat bukan budaya kita’.
Budaya kita apa dia? Rasuah, hadiah dan duit kopi? Entahlah.
Ada sebuah lagu berbahasa Jawa yang popular di aplikasi TikTok akhir-akhir ini berbunyi:
Wong ko ngene kok dibanding-bandingke
(Orang seperti ini dibanding-bandingkan)
Saing-saingke yo mesti kalah
(Dipersaingkan ya pasti kalah)
Mungkin itulah andalan golongan yang enggan berdebat kerana takut jika dibanding-banding maka terserlah hakikat bahawa ia tidaklah begitu bijak.
Tikus yang menghantui hidup saya hari ini mungkin jauh lebih bijak. Mungkin telah membaca niat kami untuk menutup segala laluan yang ada, ia terlebih dahulu bersembunyi di belakang peti sejuk, menumpang panas di musim tengkujuh ini. Dan entah kenapa saya pun kasihan.
Bukan demikian juga sikap dan sifat orang politik. Setelah dirembat harta negara, digeritkan rezeki yang bukan haknya, dan menyelinap ke sana ke mari mencari upaya untuk terus mandiri dan menyusahkan kehidupan orang ramai; ia berlagak sedih, seolah-olah dia lah yang menjadi mangsa keadaan. Nak diracun dibunuh, eh makhluk tuhan juga. Ah, sudah. Sekarang bagaimana?
Tikus membaiki labu
Al-Quran telah lama mengkhabarkan kepada kita, dalam surah Al-Ahzab, ayat 72:
اِنَّا عَرَضْنَا الْاَمَانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ وَالْجِبَالِ فَاَبَيْنَ اَنْ يَّحْمِلْنَهَا وَاَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْاِنْسَانُۗ اِنَّهٗ كَانَ ظَلُوْمًا جَهُوْلًاۙ
“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, lalu semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.”
Terang jelas bahasa ayat ini, tiada bertapis-tapis. Sudahlah zalim, bodoh pula.
Kemudian ada hadith pula yang menyebut tentang salah satu tanda kiamat::
“فإذا ضيعت الأمانة؛ فانتظر الساعة”. قال: كيف إضاعتها؛ قال: “إذا وسد الأمر إلى غير أهله؛ فانتظر الساعة”
“Jika amanah telah disia-siakan, maka tunggulah hari kiamat.” Sahabat yang menyoal itu bertanya: “Bagaimana maksud amanah disia-siakan?” Nabi menjawab: “Apabila suatu urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.”
Politik, jika tak kena gaya; maka akan membuka jalan kepada orang yang tiada tahu ekor kepala untuk menggalas tanggungjawab yang bukan kepandaiannya. Lalu jadilah seperti tikus membaiki labu; seperti politikus membaiki negara.
Tetapi apakah penyelesaian kepada kejahatan politikus ini? Adakah kita tidak memerlukan politik dan politikus? Adakah semua orang politik itu jahat belaka? Adakah semua orang politik cenderung korup?
Sebenarnya kita semua pun cenderung korup. Cumanya kita belum teruji. Dan pastinya dalam kalangan kita manusia biasa tiada punya cita-cita ini juga pernah ada yang diuji dengan peluang untuk menjadi korup. Lalu peluang itu ditolak mentah-mentah.
Ahli politik pun serupa juga. Manusia belaka, makan nasi sekali hadap tak mungkin lebih dua pinggan.
Cuma sukar bagi kita untuk menerima hakikat bahawa lawan kepada politikus jahat bukanlah kehancuran sekalian politikus dan sistem politik. Tetapi lawan politik jahat adalah politik kebaikan. Dan ini yang sepatutnya kita beri perhatian.
Ada dalam kalangan kita yang menolak peluang untuk meraih untung laba daripada kedudukan berkuasa. Ada juga yang sifatnya tidak mencari kekayaan, apatah lagi mendahagakan kuasa. Malah ada yang jenis berhabis tanpa berkira, untuk kemaslahatan orang lain. Ada yang jenis meski diugut dicerca, dia tiada membalas. Malah dia senyum sahaja.
Takkan yang jenis ini pun kita nak panggil politikus? Ha, bincangkan.




