Penulis: Luqman Tarmizi
Dahulunya, memang sebahagian umat Islam di Malaysia salah dalam memahami agama. Bagi golongan ini, Islam langsung tidak mempunyai elemen politik. Islam hanya solat, puasa, zakat dan haji.
Alhamdulillah, salah faham ini beransur-ansur dihakis dan umat Islam umumnya menerima agama ini sebagai satu cara hidup yang syumul. Dari membersihkan najis hinggalah kepada memerintah negara, Islam ada panduannya. Justeru, mantra ‘politik suku, agama suku’ tidak lagi menjadi isu besar.
Lalu agama dijadikan sumber inspirasi untuk umat Islam berpolitik. Perintah al-Quran agar umat Islam melaksanakan amar makruf nahi mungkar dijadikan asas untuk menceburi bidang politik dan melakukan islah dalam masyarakat.
Tapi dari satu ekstrem, sebahagian pihak terlajak ke kutub ekstrem yang lain.
Dari berpolitik menurut agama, sebahagian mereka terjebak pula ke dalam kancah mempolitikkan agama, atau memperalatkan agama untuk tujuan politik.
Berpolitik menurut agama atau mempolitikkan agama?
Untuk mengelak sebarang kekeliruan, saya definisikan dahulu maksud kedua-dua istilah ini agar jelas bagi pembaca makna yang saya kehendaki ketika saya menggunakannya.
Berpolitik menurut agama bagi saya bermaksud kita menjadikan nas, prinsip dan nilai agama sebagai teras dalam berpolitik, sumber inspirasi dan garis panduan agar tidak tersasar daripada landasan syarak.
Manakala mempolitikkan agama pula bermaksud menjadikan agama sebagai alat untuk mencapai cita-cita politik, dengan antara lain meletakkan nas agama bukan pada tempatnya, menyelewengkan nas agama daripada maksud asalnya, menempel diri sendiri dan kumpulannya kepada nas-nas yang muluk dan indah, serta menggunakan nas-nas berbentuk ancaman terhadap kumpulan yang berseteru dengannya.
Sebut sahaja amalan mempolitikkan agama, PAS lah pihak yang paling sinonim dengannya. Pimpinan atau penyokong PAS boleh bermati-matian menidakkan kenyataan ini, namun hakikatnya, PAS memang sedang dilanda barah memperalatkan agama dalam berpolitik.
Saya tidak akan menyebut nama-nama politikus yang terlibat dengan amalan memperalatkan agama yang akan disebut di bawah. Cukup sekadar saya menyebut gist atau kata kunci yang boleh pembaca cari sendiri untuk dipastikan kesahihannya.
Pada 7 Disember 2018, seorang pemimpin utama PAS berstatus ulama telah ‘memfatwakan’ wajib fardu ain (wajib ke atas setiap individu Muslim yang mukallaf) untuk turun ke himpunan menentang ICERD.
Pada 7 Mac 2020 (pasca Langkah Sheraton), pemimpin yang sama telah menulis artikel berjudul “Demokrasi bukan hanya satu pintu” demi menjustifikasikan tindakan partinya bekerjasama dalam menjayakan penubuhan sebuah kerajaan hasil amalan lompat parti. Pada awal artikel tersebut, beliau telah menukilkan firman Allah SWT iaitu ayat ke-67 daripada Surah Yusuf:
وَقَالَ يَا بَنِيَّ لَا تَدْخُلُوا مِن بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُّتَفَرِّقَةٍ ۖ
Maksudnya: Dan Nabi Yaakub berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan.
Komentar saya: apakah tujuan beliau menukilkan ayat ini, melainkan untuk menggunakannya sebagai dalil dan sandaran untuk menjustifikasikan Langkah Sheraton?
Sewaktu Muktamar Pemuda PAS 2019, seorang penyajak jemputan telah mendeklamasikan sebuah sajak yang antara lain memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana darah-darah munafik telah ditapis daripada PAS. Ya, pendeklamasi itu bukan pemimpin PAS. Tapi apakah respon PAS terhadap sajak tersebut? Apakah ada tindakan yang dikenakan?
Jangan lupa juga label munafik haraki yang dikenakan oleh seorang bekas pemimpin PAS terhadap pimpinan parti yang berbeza pandangan dengan aliran arus perdana parti. Istilah munafik merupakan satu label yang amat berat untuk dilemparkan kepada mana-mana Muslim, manakala label munafik haraki itu sendiri merupakan satu bidaah yang direka-reka.
Undur sedikit ke belakang di tengah-tengah kehangatan isu RUU355 yang bakal dibentangkan oleh YB Presiden PAS di parlimen. Seorang ustaz (pada ketika itu berstatus Yang di-Pertua kawasan PAS) dengan beraninya telah menyebut di meja kuliah, mana-mana ahli parlimen Muslim yang tidak menyokong RUU tersebut, jika ditakdirkan mati selepasnya, dia tidak boleh ditanam di tanah perkuburan umat Islam.
Ini merupakan cebisan kecil daripada episod panjang yang menyaksikan nas dan konsep agama telah diperalatkan sesuka hati oleh pimpinan PAS demi kepentingan politik mereka. Jika saya senaraikan semua, nescaya sebuah buku berjaya dihasilkan.
Namun sudah tentu pimpinan PAS akan membalas: “Tindak tanduk dan perlakuan segelintir individu bermasalah dalam parti tidak boleh sama sekali dinisbahkan kepada parti!” Benar.
Tetapi bukankah amalan ini telah berlarutan sejak puluhan tahun? Amalan ini bukan sekadar dilakukan ahli yang jahil, tapi pimpinan tertinggi berstatus ulama turut terlibat.
Rakyat tidak nampak apa tindakan PAS bagi membanteras gejala ini. Bahkan rakyat melihat amalan ini sengaja dibiarkan berleluasa, bahkan semacam digalakkan, kerana ia menguntungkan PAS.
Atas sebab ini, menelanjangkan perbuatan jahat mereka ini menjadi satu tanggungjawab. Mengalahkan mereka ini menjadi satu tugas. Memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat menjadi satu beban yang harus dipikul bersama.
Masa depan PAS
Adakah ini bermakna PAS akan kekal begini selamanya? Pastinya tidak.
Sejarah membuktikan bahawa PAS adalah sebuah parti yang dinamik. PAS mampu beradaptasi dengan perubahan semasa dan menyesuaikan diri menurut tuntutan zaman.
PAS pada awal penubuhannya merupakan sebuah parti yang dianggotai guru-guru agama dan lebai-lebai pondok. Justeru ia gagal menyaingi UMNO-Perikatan yang lebih rencam keahliannya dari sudut latar belakang sosial dan pemikiran.
Kemasukan Dr. Burhanuddin al-Helmy telah mengubah wajah PAS kepada sebuah ‘parti kiri’ yang membawa ideologi sosialisme Islam.
Peristiwa 13 Mei 1969 telah mendorong PAS agar lebih cakna kepada isu-isu Melayu, terutamanya sepanjang Dato Asri mengemudi bahtera parti.
Gelombang kebangkitan Islam yang melanda dari Iran pula telah mencorakkan PAS agar mengembalikan semula ‘imej Islam’ yang menjadi asas penubuhan dan meletakkan barisan ulama sebagai autoriti utama yang mengawal dasar parti.
Fast-forward ke tahun 1999, gelombang reformasi telah membawa PAS ke pangkuan politik pelbagai kaum. PAS mula menjalin kerjasama dengan parti non-Melayu. PAS mula berkempen di gereja dan kuil. Puluhan ribu masyarakat non-Muslim menyertai Kelab Penyokong PAS. Justeru ia membuahkan kemenangan buat PAS di Selangor, Perak dan Kuala Lumpur yang selama ini amat sukar ditembusi.
2015, PAS kembali memposisikan dirinya sebagai parti Islam ‘tulen’. Ia menjarakkan diri daripada gabungan pelbagai kaum, rancak memainkan sentimen perkauman dan keagamaan. Perkembangan ini sudah pasti didorong oleh kepentingan politik.
Begitulah seterusnya ia akan berulang dan terus berulang.
Nah, bukankah dinamika perjalanan panjang ini menjadi saksi bahawa PAS sememangnya mampu berubah? Namun setiap perubahan berhajat kepada syarat. PAS mampu berubah (atau diubah?) jika salah satu, atau kedua-dua perkara ini berlaku:
i. Masyarakat Islam secara total menolak gejala mempergunakan agama dan politik ekstrem, seterusnya memaksa pimpinan parti mengubah dasar dan pendekatan.
ii. Golongan muda dalam parti yang mempromosikan ‘politik matang’ bangkit dan menentang amalan memperalatkan agama yang banyak dilakukan oleh pimpinan mereka secara berleluasa. Usah berselindung di sebalik adab berjemaah, lalu mendiamkan diri daripada sekian banyak kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin atasan.
Jika situasi kedua ini sukar menjadi realiti – dan saya fikir ia hampir mustahil berlaku kerana doktrin walak (kepatuhan) kepada pemimpin – maka tanggungjawab mengislahkan PAS jatuh ke bahu masyarakat secara keseluruhannya.
Golongan yang menjadikan agama sebagai alat menggapai kepentingan politik mesti dikalahkan.




