Penulis: Imran Rasid[1]
“Adakah engkau lihat orang yang mendustakan ad-din?(1) Itulah orang yang mengherdik / menindas anak yatim (2); Dan tidak menggalakkan memberi makan kepada orang miskin (3); Kecelakaan bagi orang-orang yang melakukan solat (4). Yang lalai dari solat mereka (5); Juga orang-orang yang riya’ (6). Dan orang-orang yang enggan memberi pertolongan (7)”[2]
Kyai Ahmad Dahlan, pengasas gerakan Islam Muhammadiyyah di Indonesia, pernah ditanya anak-anak muridnya tentang surah al-Ma’un. Mereka hairan mengapa sang gurunya itu menggesa mereka terus membaca surah tersebut tanpa berpindah ke surah yang lain? Mendengar keluhan anak-anak muridnya, dengan tenang Kyai bertanya mereka kembali:
‘Apakah kamu sudah beramal dengannya?’ Mereka terus kelihatan bingung, sebahagian kemudian menjawab ‘Apakah maksud diamallkan itu? Bukankah surah al-Ma’un itu berulangkali kami baca selepas al fatihah dikala kami solat?’ Mendengar jawapan anak muridnya itu Kyai lantas menerangkan:
‘Bukan itu yang saja maksudkan. Diamalkan, ertinya dikerjakan… Oleh karena itu mulai pagi ini, saudara-saudara agar pergi berkeliling mencari seorang miskin. Kalau sudah dapat, bawa pulanglah ke rumahmu masing-masing. Berilah mereka mandi dengan sabun yang baik, berilah pakaian yang bersih, berilah makan dan minum, serta tempat tidur dirumahmu. Sekarang juga pengajian saja tutup, dan saudara-saudara melakukan petunjuk-petunjuk saja tadi’
Saya cukup tersentuh membaca dialog ringkas ini melalui sebuah makalah panjang karangan Dr Azhar Ibrahim[3] beberapa tahun yang lalu. Coretan ini membawa saya mengimbau pengalaman mengaji pendidikan agama di sekolah dahulu. Selain daripada hafazan ayat-ayat Quran dan selok belok fiqih, saya tidak ketemu dimensi keprihatinan sosial sepertimana yang terakam dalam perbualan Kyai Ahmad Dahlan dengan murid-muridnya. Seolah-olah dimensi sosial dan kebertanggungjawaban masyarakat sudah dicerai talak tiga daripada pengajian agama.
Lazimnya, pelajar-pelajar disuguh untuk menghafal baris-baris ayat Qur’an yang akhirnya hanya untuk didengungkan dalam solat. Zakat diajar sebagai tanggungjawab rukun yang harus dibuat bagi mengelak dosa, tanpa menginsafi maksud di sebalik firman itu. Adapun dalam bab puasa yang ditekankan hanyalah nikmat-nikmat beribadah yang individualistik, yakni yang tertutup dan dipisahkan oleh dinding-dinding masjid daripada kesengsaraan masyarakat di luar. Kita dilazimkan juga dengan kegiatan bersedekah kepada para gelandangan, namun pelajar (dan guru) gagal melihat tanggungjawab sosial dan beragama itu melangkaui budaya one-off dan bantuan-bantuan sipian seperti itu.
Hakikatnya, pemahaman dan pendidikan agama kita telah disempitkan pada ibadah ritual semata-mata. Ciri-ciri ini disebut oleh Malik Bennabi, pemikir besar Muslim dari Algeria, dalam menjelaskan watak Muslim Pasca-al-Muwahhidun, iaitu Muslim yang kehilangan “ruh” dan identitinya disinonimkan dengan kemeruduman umat Islam selepas kejatuhan Dinasti al-Muwahhhidun (1130-1269 Masihi). Gaya fikir Muslim Pasca-al-Muwahhidun inilah yang membejatkan sistem pendidikan agama dari merealisasikan visi ‘Rahmatan lil Alamin’ (Surah Anbiya’, ayat 107), suatu visi yang menekankan rahmat buat sekalian makhluk.
Visi sejagat Rahmatan Lil Alamin tidak boleh difahami melalui lensa ibadah ritual sahaja tanpa mempersiapkan umat Islam dengan ilmu untuk berdepan dengan isu-isu dunia moden yang rencam. Misalnya, isu kemiskinan, isu ancaman alam sekitar, isu rasisme, isu seksisme dan isu eksploitasi golongan buruh antara yang terus membelenggu masyarakat dunia hari ini. Dalam mendepani cabaran ini, kita boleh bertanyakan: Di manakah duduk dan peranan pendidikan Islam sedia ada dalam hal ini?
Pendidikan Islam Yang Membebaskan
Cerita Kyai Ahmad Dahlan dengan murid-muridnya menawarkan beberapa jawapan bagi persoalan ini. Sesiapa yang mengikuti sejarah gerakan Muhammadiyyah yang kini berjumlah sekitar 50 juta ahli itu pastinya tahu bahawa pengasasnya, Kyai Ahmad Dahlan, juga seorang guru, menubuhkan Muhammadiyyah awalnya sebagai gerakan pendidikan. Teras gerak kerja beliau disebut terus berpaksi pada intisari Surah al-Ma’un, atau juga disebut sebagai ‘Teologi al-Ma’un’.
Apakah mesej besar yang terkandung dalam pendekatan keagamaan seperti ini? Sekilas menekuni makna Surah al-Maun, terselit beberapa amaran penting terhadap sikap hipokrasi serta kelalaiaan manusia dalam menunaikan tanggungjawab sosial, sehinggakan ibadat solat itu tidak ada maknanya sekiranya kita berpaling dari, atau mengabaikan mereka yang susah dan bergelimpangan.
Seruan ‘Rahmatan lil Alamin’ itu juga tidak terzahir melalui sikap yang eksklusif, elitis dan picisan. Sebaliknya, agama yang menjadi rahmat bagi sekalian alam ialah agama yang difahami dalam erti kata yang inklusif, dan melawan kemiskinan dan kesusahan yang bersangkut paut dengan kemunduran sosial umat manusia (baik Muslim atau non-Muslim).
Sepertimana kata Dr. Azhar Ibrahim dalam salah sebuah makalahnya; ‘kesalehan individu (seperti dalam ibadat solat) harus segandingan dengan kesalehan sosial (seperti menyantuni umat yang melarat dan terpinggir)’.
Banyak sekali sebutan di dalam al Quran yang menekankan peri pentingnya membantu golongan yang tertindas. Haruslah kita insafi bahawa tema keadilan (adl) sering diulang-ulang dalam setiap surah, dan Qur’an juga tidak sunyi dari mengangkat tema penindasan (zulm) yang dialami umat manusia. Qur’an menyebut perihal orang-orang yang dizalimi (al-mustad‘afun), serta para penzalim yang bertanggungjawab melaksanakan kegiatan penindasan (al-mustakbirun), dan dalam waktu yang lain turut menyebut tentang kelas-kelas manusia, yaitu kelompok sosial pertama meliputi aradzil (kelas bawah dan marginal), fuqara(orang-orang fakir), masakin (orang yang papa kedana) dan kelompok sosial kedua meliputi mala’ (aristokrasi), muthrafun(konsumerisme)[4]. Kesemuanya ini untuk menyedarkan kita bahawa hidup keberagamaan itu juga melibatkan sebuah tanggungjawab sosial yang besar dan pemihakan kepada kelompok yang lemah; perlawanan antara yang adil dan zalim, serta antara golongan yang ditindas dan golongan yang menindas.
Tuhan sendiri berpihak kepada golongan yang dizalimi tanpa berbelah bahagi, tidak kiralah yang dizalimi itu beriman atau tidak. Kita temui deklarasi pemihakan Tuhan ini dalam Surah al-Qasas:
Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya)[5]
Dimensi sosial inilah yang hilang dalam wacana pendidikan Islam di Malaysia hari ini. Kita disuguhkan dengan perdebatan fiqih yang meleret-leret, perbahalan teologis yang tidak ada pucuk pangkal, leteran-leteran nasihat yang sibuk mengawal cara hidup orang lain, walhal maksud beragama itu tidak pernah terhenti di pintu-pintu yang sempit lagi menyesakkan itu.
Sewajarnya, para guru harus membiasakan visi serta konsep-konsep yang dinyatakan sebelumnya dalam pembelajaran agama. Yang menjadi dasar kesemua ini ialah sifat kasih dan sayang yang termaktub dalam agama. Generasi Muslim yang benar-benar komited untuk mengangkat visi Rahmatan Lil Alamin hanya akan lahir apabila jauh dari lubuk hati mereka terselit iman yang menebal pada Tuhan yang memihak kepada golongan yang dizalimi (baik Muslim atau Non-Muslim), dan bukannya dengan kepercayaan bahawa Tuhan itu lebih suka umatnya saling bertekak soal akidah sesama sendiri.
[1] Sebarang komentar atau maklum balas boleh disampaikan di di imranmohdrasid303@gmail.com
[2] Surah Al-Ma’un, ayat 1-5
[3] Dr Azhar memetik buku Solichin Salam, K.H. Ahmad Dahlan Reformer Islam Indonesia. Jakarta: Djajamurni, 1963, h. 79 sebagai sumber.
[4] Farid Esack, Qur’an, Liberation and Pluralism, Oxford: Oneworld, 1997.
[5] Surah Al-Qasas, ayat 5




