Penulis: Amirul Mukminin
Orang awam selalu keliru maksud populisme, kadang-kadang mereka ingat ia bermaksud pendekatan popular atau budaya pop. Kekeliruan ini juga turut berjangkit pada kelompok aktivis yang tidak membaca. Populisme dalam sains politik ialah perkara berbeza.
Ia merujuk pada gerakan politik. Gerakan ini membahagikan masyarakat kepada “rakyat sejati” dan “elit jahat”. Ini bermakna gerakan ini memecahkan masyarkat dengan mewujudkan permusuhan yang tidak seimbang. Siapa sahaja yang tidak bersama mereka dianggap “tidak sejati” atau “elit jahat”. Tambah Cas Mudde, pemimpin populis bukan sahaja mewakili rakyat, tetapi seolah-olah menjadikan dirinya sebagai “rakyat” . Bermakna siapa sahaja yang menyakitinya akan menyakiti “rakyat”, apa sahaja yang menyenangkannya bermakna ia menyenangkan rakyat.
Tetapi definisi rakyat pada kaum populis amatlah sempit, yakni siapa sahaja yang sealiran dengan mereka. Selain daripada golongan mereka dianggap “bukan rakyat tulen”.
Di seluruh dunia, gerakan populis akan menyerang institusi kehakiman, ekonomi dan apa sahaja yang dianggap “tidak murni” dan tulen kerana tidak memihak kepada kelompok mereka.
Menurut Jan-Werner Müller, salah satu sifat gerakan populis ialah anti-kepelbagaian dan tidak sukakan demokrasi, kecuali apabila ia memihak kepada mereka. Penganut populisme juga sering mengakui bahawa mereka mewakili rakyat tulen dan terbanyak.
Ada sesuatu yang menarik dalam kalangan pimpinan populisme. Selain semua kritikan yang dihamburkan ke atas mereka seperti anti-imigran, rasis dan sebagainya – khususnya populisme-kanan, jarang kita perasan bahawa korupsi atau rasuah merupakan ciri utama yang ada pada kelompok populisme.
Najib Razak seorang pemimpin populis dalam erti kata retorik yang digunakan semasa beliau menjadi PM yang mengangkat golongan terbanyak dan rakyat, dasar-dasar pro-kebajikannya yang sekali lagi dilihat cenderung kepada rakyat terbanyak (BR1M, TR1M, PR1MA dan projek kereta api misalnya). Namun, dihujung kejatuhannya, dia terpalit dengan pelbagai skandal yang didedahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Najib merupakan Perdana Menteri pertama yang didakwa sedemikian rupa atas soal pecah amanah wang negara. Rumah kediaman beliau diserbu polis dan berkotak-kotak barangan kemas telah dirampas yang didakwa diperolehi hasil penyelewengan wang negara. Isterinya Rosmah Mansur turut disabitkan dengan beberapa pertuduhan pecah amanah.
Najib berkali-kali cuba menjelaskan dirinya di Facebook atas pelbagai tuduhan mahkamah atas dirinya. Tapi rupanya setiap hantaran di Facebook itu tidak berjaya membelanya di mahkamah.
Najib akhirnya ke penjara atas pertuduhan menyelewengkan wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB. 1MDB ialah syarikat pembangunan strategik Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan. Maknanya mengunakan wang negara untuk perut sendiri.
Najib seperti populis lainnya tidak terlepas dari mengunakan retorik di Facebook untuk menimbulkan antogonisme (perseteruan) rakyat kepada kerajaan PH ketika itu serta keraguan kepada proses perundangan beliau dalam skandal 1MDB .
Maka berduyun-duyunlah pengikutnya yang menangis terasa “tersakiti” kerana mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas pemimpin mereka.
Kini badan kehakiman dilihat tidak berkredibiliti. Kononnya ada campur tangan politik sekalipun kerajaan ini dipimpin oleh parti Najib sendiri.
Di Amerika Donald Trump juga sedang menghadapi keadaan yang hampir serupa. Sepanjang presidensi dan pasca-presidensi, beliau dituduh dengan pelbagai tohmahan termasuk membahayakan keselamatan negara apabila berkerjasama dengan Rusia secara rahsia dan menerima bantuan Rusia untuk menang pilihanraya.
Tapi 9 Ogos lalu, rumah percutian beliau diserebu oleh FBI. Serbuan dibuat atas waran mahkamah itu, menemukan lebih 15 kotak fail dan dokumen negara yang dicuri dan dibawa keluar secara tidak sah oleh Trump. FBI mengesyaki terselit di dalam dokumen-dokumen itu rahsia dan kepentingan negara.
Sebenarnya kebanyakan dokumen di White House boleh dibawa keluar oleh mantan Presiden dengan cara yang sah, yakni mesti melalui proses perundangan untuk proses deklasifikasi sebelum pemergiannya. Terdapat beberapa Presiden Amerika yang telah melakukannya sebelum mereka keluar dari pejabat Oval sebagai cenderahati. Selalunya Presiden akan melakukannya dengan proses memanggil agensi terbabit dan arahan bertulis perlu dibuat sebagai rekod.
Ini kerana, terdapat 3 level “kerahsiaan” negara Amerika: “confidential“, “secret“, dan “top secret“.
Namun, Trump didakwa tidak berbuat demikian, sebaliknya dia membawa pulang semua itu. Motifnya? Tidak tahu.
Tapi yang pasti Trump sedang memainkan victim-card untuk meraih simpati dan sokongan. Katanya ini “konspirasi jahat” untuk menghalangnya dari melakukan comeback untuk pilihanraya Presiden akan datang.
Dengan ini hooligan (hooligan ini istilah sains politik, kalau istilah layman mungkin zombie politik) Trump akan kembali marah. Ini menumbulkan keraguan, antagonisme melawan badan kehakiman dan kehuru-haraan.
Trump memang bagus dalam mencetus huru-hara, sebab dalam keadaan huru-hara banyak perkara yang tak terjangka boleh berlaku, contohnya insiden kalah pilihanraya lepas dan rusuhan di bangunan Capitol (bangunan parlimen US). Trump mengunakan sentimen sama dengan mendakwa pilihanraya tidak adil dan korup, menimbulkan ketidakpercayaan dan kehuru-haraan dalam sistem.
Di Israel, Mantan PM Benjamin Netanyahu, yang terkenal mengunakan retorik anti-perdamaian dengan Palestin juga dihadapkan ke mahkamah.
Netanyahu semasa berkuasa membantu menubuhkan negara kebajikan de facto dalam penempatan Yahudi di dalam Tebing Barat yang dijajah. Beliau menjadikan ekonomi Israel bersifat neo-liberalisme, bahkan semua nasionalis-kiri sebagai musuh yang dianggap “elit” dan “rakyat yang tak tulen”. Netanyahu dianggap pemimpin populis-kanan Israel yang agak berjaya dibawah pemerintahannya.
Kini beliau pertuduhan menerima rasuah yang mewah dari pelbagai “penderma” termasuk dari James Packer, seorang ahli perniagaan Australia, songlap duit tiga kapal selam kelas Dolphin dan empat kapal perang korvet 6 kelas Sa’ar, dan juga mengayakan ahli keluarga terutama isterinya. Seperti isteri Najib, isteri Netanyahu juga dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menerima wang rasuah.
Apa yang menarik dalam ketiga-tiga kes berkenaan adalah mereka punyai persamaan yang ketara. Ketiga-tiga mereka membesar sebagai orang berada dan kaya. Netanyahu membesar di luar negara, hidup mewah. Najib bersekolah di England, anak bangsawan. Trump juga seorang kapitalis yang kaya raya. Namun ketiga-tiga mereka berjaya memaparkan diri bukan sekadar “wakil rakyat” tetapi menjadi sebahagian daripada rakyat itu sendiri.
Walaupun itu agak jangkal sebab kehidupan mewah mereka, cerut dan kopi mereka tidak sama dengan rokok dan kopi B40. Kejayaan ini seolah-olah sebuah cult sehingga siapa menyakiti mereka bermakna menyakiti “rakyat”.
Tapi jika difikirkan dengan segala korupsi, dan rasuah yang dipalitkan, sekiranya benar, tidakkah itu lebih “menyakiti negara” dan menyakiti masa depan rakyat? Sampai mendedahkan keselamatan negara, memalukan negara, mengeringkan wang negara yang akan digunakan untuk masa depan rakyat?
Dan segala serangan keatas insitusi itu, akan menyebabkan huru-hara bahkan mungkin melemahkan sistem demokrasi negara? Bila sistem demokrasi dan insitusi negara lemah tidakkah itu melemahkan tatanegara (statecraft) itu sendiri?
Di saat sebahagian kita mengangkat dan mengagungkan fenomena populisme global, cuba kita renungkan apakah ia sebenarnya membawa manfaat atau mudarat pada bangsa dan negara?




