Penulis: Dr Sahul HM
Saya mengambil masa yang lama sebelum mengulas filem Mat Kilau. Pertama, kerana saya lambat menontonnya; kedua, untuk membaca dan memahami pelbagai sudut pandang yang berlainan di luar sana; dan ketiga, kerana saya sendiri berada dalam keadaan yang kurang sihat.
Filem pecah panggung ini sangat kontroversial. Ia menimbulkan perdebatan dan perbahasan yang panjang, daripada pemain media sosial sehinggalah kepada profesor di universiti. Malah di Parlimen juga ada dibicarakan tentangnya oleh Pak Menteri. Filem ini, pada sesetengah orang, menjadi modal untuk menjaja kepentingan masing-masing. Ramai yang cuba menangguk di air yang keruh. Inilah yang sedikit mengganggu secebis pengkisahan sejarah yang cuba diusahakan tersebut.
Saya memecahkan isu ini kepada dua bahagian. Mat Kilau sebagai filem, dan Mat Kilau sebagai sejarah. Kita mulakan dengan naratif Mat Kilau sebagai filem. Secara umumnya saya pasti bersetuju kisah Mat Kilau diangkat dalam bentuk filem. Banyak kali saya pernah menulis betapa pentingnya watak dan peristiwa sejarah kita diangkat dan dipromosikan lewat filem. Sejarah dalam bentuk audio visual lebih menawan dan berpotensi untuk diterima dengan lebih meluas oleh khalayak massa, berbanding sejarah yang tinggal tercetak di atas kertas, di dalam buku. Impaknya berbeza.
Gandhi pernah difilemkan, Mandela juga, selain Malcolm X dan Sukarno misalnya. Kita perlukan filem untuk mempopularkan sejarah, dan kita perlukan dokumentari untuk mendokumentasikan sejarah. Filem dan dokumentari, kedua-duanya kita perlukan. Tetapi malangnya, dalam negara kita, dokumentari sejarah tentang sejarah nasional sangat kurang diberi perhatian.
Di permulaan filem ini, sudah tertulis “penafian”. Filem ini diinspirasikan daripada watak Mat Kilau. Diinspirasikan, bukan “berdasarkan”. Ia tidak menyatakan ia “berdasarkan kisah benar”. Ada bezanya di situ. Penonton harus sedar akan hal ini. Mengkritik filem Mat Kilau, bukan bermakna mengkritik sejarah Mat Kilau, bukan memperkecilkan perjuangan Mat Kilau. Sebagai filem, ia terbuka kepada fantasi dan imaginasi pengarahnya. Filem ini boleh sahaja berfungsi sebagai alat propaganda pembinaan nasionalisme. Ia mungkin dibangunkan untuk membangkitkan semangat orang Melayu untuk kembali menghargai sejarahnya dan mengenang tokohnya.
Cakap-cakap yang mengatakan filem ini “rasis” dan “mengancam” kaum lain ialah spekulasi dan tuduhan semata-mata. Berapa banyak jenayah kebencian yang berlaku setelah tiga bulan filem ini ditayangkan? Berapa ramai yang diancam dan terancam oleh orang Melayu di pawagam seluruh negara? Saya belum pernah mendengarnya. Orang Melayu bersemangat, tetapi masih rasional. Mereka berkobar-kobar berpakaian tradisional (betul atau tidak cara pakaiannya?), tetapi tidak merendahkan pakaian orang lain pun. Jadi, di mana masalahnya?
Saya menonton filem ini dengan teliti. Untuk mendengar setiap dialognya. Untuk memahami maksudnya. Untuk mencari kekurangannya, supaya ia dapat diperbaiki pada masa hadapan. Saya perasan pada minit-minit awal, dalam babak Eli Suriati sebelum ditembak mati, saya perasan nun di hujung belakangnya, ada kereta melintas. Sayup, tapi saya percaya saya melihatnya. Anda boleh menyemaknya semula. Kita tak dapat nak rewind, mungkin di Netflix kelak kita dapat menelitinya semula. Untuk pengetahuan, pada tahun 1890-an, belum ada kereta yang digunakan di Tanah Melayu!
Filem ini -walaupun ramai yang mengkritik dialognya yang terlalu dramatik dan nerdy– banyak menyampaikan maksud tersirat yang boleh diambil iktibar. Perlu diingat, ia bukan dialog asal Mat Kilau, tetapi ialah hasrat sang Pengarahnya. Pada minit ke-09, Mat Kilau menekankan tentang “masa dan ilmu”. Perjuangan perlukan masa yang sesuai dan perjuangan mestilah berilmu. Pada minit ke-12, filem ini secara halus menyampaikan kritikan terhadap penguasa yang memberikan ruang kepada penjajah. Pada minit ke-50, ada satu lagi mesej penting disampaikan. “Sayang kepada tanahair tak bermakna harus sayang kepada orang yang mentadbirnya!” Tanahair dan pentadbirnya adalah dua entiti yang berbeza. Kesetiaan kepada tanahair berbeza dengan kesetiaan kepada pentadbirnya, baik ia daripada penjajah mahupun dalam anak bangsa sendiri. Dan yang terakhir, pada minit ke-90, saya fikir momen perpisahan antara Mat Kilau dengan anaknya sepatutnya diiringi dengan dialog yang meruntun, tetapi nampaknya tidak. Pengarah terlepas satu peluang keemasan untuk membuai emosi. Mat Kilau pernah berpesan dengan anaknya dalam babak awal sebelum itu. Jika pesan perjuangan terakhir diperturunkan pada detik perpisahan itu, saya percaya, kesannya lebih padu dan sentimental.
Yang lain-lain, saya fikir Pengarah dan pasukannya perlu lebih peka kepada penggunaan propsnya. Pakaian pelakon nampak indah dan cantik belaka, seperti baru keluar kedai. Tidak kelihatan usaha dan kepayahan orang kampung. Malah khemah dan kain selubung kereta lembu juga nampak putih mulus seolah-olah baru dibuka bungkusannya. Bagaimana pengarah boleh terlepas pandang hal-hal yang sebesar ini? Untuk membangkitkan “rasa kesejarahannya”, pengarah perlu lebih berhati-hati dan serius pada masa hadapan.
Bahagian kedua yang dibincangkan di sini adalah tentang pensejarahannya. Benarkah segala sejarah yang ditayangkan dalam filem tersebut? Apakah pemaparan beberapa watak yang digambarkan itu merupakan kebenaran sejarah? Apakah motif dan latar yang membangkitkan penentangan Mat Kilau terhadap British? Bagaimana pula dengan pandangan yang mengatakan bahawa kebangkitan dan penentangan berlaku hanyalah atas faktor cukai dan kehilangan sumber pendapatan pembesar? Persoalan-persoalan inilah yang berlegar dan dipolemikkan selepas filem ini ditayangkan.




