Penulis: Amirul Mukminin
Kebelakangan ini kaum muslim dikejutkan dengan beberapa langkah nornalisasi antara negara muslim dan Israel. Perjanjian Abraham (Abraham Accord) antara Israel-Emiriah Arab Bersatu (UAE), normalisasi Israel-Bahrain (2020), normalisasi Israel-Sudan (2020) dan normalisasi Israel-Maghribi (2020), beberapa negara Liga Arab menjalinkan hubungan separa-rasmi dengan Israel. Normalisasi ini semuanya dimudahcarakan oleh Presiden Donald Trump pada ketika itu.
Sejak daripada itu beberapa diplomat dari UAE dan ulamanya seperti Abdullah Ben Bayyah (Ben Bayyah) dilihat begitu mesra dengan pegawai tertinggi Israel.
Langkah ini mengundang kritikan oleh ramai aktivis kemanusiaan liberal-kiri dan aktivis islamis seluruh dunia. Ada juga yang mula menyelak sejarah dan mengaitkan beberapa ulama terdahulu seperti Kyai Haji Abdurrahman Wahid, yang juga merupakan mantan Presiden Indonesia dengan cubaan normalisasi dengan Israel.
Pada Februari 2022, Turki pula kembali menjalinkan hubungan dan bernormalisasi dengan Israel.
Apa sebenarnya yang berlaku? Mengapa negara-negara Muslim ini berbaik dan berlunak dengan ‘musuh’ utama mereka? Apakah pendorong utama mereka sanggup melakukan perkara ini? Isu ini perlu diperhalusi satu-persatu:
- Indonesia (Gus Dur)
Abdurrahman Wahid, atau nama timangannya Gus Dur merupakan seorang ulama, anak dan cucu kepada ulama yang menentang penjajah Belanda. Beliau juga sempat hidup dalam era itu. Menjadi Presiden Indonesia keempat (1999-2001), beliau dikenali sebagai Presiden Indonesia yang kontroversial kerana mula ber“lunak” dengan Israel. Surat khabar Haaretz di Israel menyematkan julukan pada Kyai itu sebagai “A Friend of Israel in the Islamic World”.
Pendekatan Gus Dur didasari prinsip kedamaiannya. Gus Dur sebenarnya seorang pacifist -seseorang yang menolak perang/keganasan sebagai cara untuk menyelesaikan konflik. Pada pemikiran Gus Dur, keganasan tidak boleh dilawan dengan keganasan. Antara tokoh politik berfikiran Pacifism lain termasuklah Mahatma Gandhi tokoh kemerdekaan India, Bertrand Russell ahli falsafah British dan penyanyi tersohor John Lennon.
Gus Dur sangat percaya pada perdamaian tanpa darah ini, sehingga beliau sanggup digulingkan daripada jawatannya demi mengelakkan pertumpahan darah. Beliau juga berjaya menyelesaikan konflik Papua. Gus Dur juga memberi hak bersuara dan membuka jalan untuk Aceh menjadi wilayah semi-autonomi. Beliau juga terlibat dalam pengenduran konflik di Selatan Thai. Semua ini demi perdamaian tanpa darah.
Djohan Effendi (Menteri Sekretaris Negara era Gus Dur) dalam bukunya Damai Bersama Gus Dur menyatakan ada 2 sebab utama Gus Dur rapat dengan Israel; Gus Dur ingin memastikan kapitalis George Soros, seorang Yahudi, tidak mengacau ekonomi Indonesia. Kedua, beliau ingin meningkatkan kuasa diplomasi Indonesia di Timur Tengah.
Gus Dur mempercayai konflik Palestin harus dilihat lebih jauh dari kebencian dan cara pandang Arab. Islam bukan Arab. Masalah Palestin bukan masalah agama versus agama. Ia masalah konflik etnik Arab versus Yahudi. Gagasan Gus Dur ialah Indonesia tidak mungkin berperanan dalam perdamaian Palestin dan Israel jika tidak menjalin hubungan diplomatik dengan keduanya. Secara geografinya, Indonesia dilihat tidak ada kepentingan dan ancaman dari Israel. Oleh itu bagi beliau, kekusutan Arab jangan diemosikan sampai ke Indonesia.
- Abraham Accord.
Akar isu ini bermula pada tahun 2000-an, apabila Israel dan negara Arab melihat Iran sebagai musuh utama yang lebih menakutkan berbanding konflik Arab-vs-Israel. Trump pada masa itu juga mempunyai pendekatan strategi yang sama. Amerika di bawah Trump merasakan berbaik dengan Iran seperti yang cuba dilakukan oleh Obama hanya akan membahayakan Israel.
Dalam itu, sejak Arab Spring berubah menjadi Perang Saudara, Iran mengembangkan pengaruhnya melalui millitia yang sangat efisyen dan bahaya di Yaman, Syria dan Iraq. Dengan militia Syiah pro-Iran berada di Syria, sempadan Israel terdedah kepada serangan gerila. Gerila merupakan serangan non-conventional yang sukar uıtuk dipatahkan oleh tentera.
UEA dan Bahrain pula hanya berseberangan dengan Iran melalui laut Teluk Parsi, sebuah teluk yang direbut Iran. “Belakang pintu” pula terdapat Yaman penuh dengan pemberontak Houti yang didanai oleh Iran. Houti pula sangat efisyen melancarkan serangan roket sampai ke tanah Riyadh, Saudi beberapa kali.
Sifir mudah “the enemy of my enemy is my friend”. Kalau Israel sangat bermusuh dengan Iran, negara Teluk juga bermusuh dengan Iran. Ancaman bersama yang menyatukan Arab-Israel adalah melawan Iran. Common enemy.
Perkara ini jadi mudah apabila ada Trump ketika itu sebagai pemudah cara. Amerika ialah sahabat kepada negara-negara Teluk dan Israel. Rakan niaga dan rakan ketenteraan yang paling dipercaya sebagai orang tengah. Negara lain pula hanya menurut melalui kesan domino. Sudan, Maghribi, Jordan hanya ikut sahaja negara teluk ini kerana ia memanfaatkan mereka. Tidak perlu teruk bergaduh dah dengan Israel.
Abraham Accord, atau bahasa melayunya Perjanjian Ibrahimyah ini dinamakan sempena tradisi dan anak cucu keturunan Ibrahim. 3 agama yang muncul dari 1 Nabi. Percaya 1 Tuhan yang sama. Maka ulama seperti Ben Bayyah diperlukan untuk memberi justifikasi dan “sijil halal” pada perjanjian ini.
Normalisasi juga ada tahapnya. Ada normalisasi yang menjadikan hubungan diplomasi sekadar neutral (suam-suam kuku), ada juga yang menjadi akrab. Cuma negara yang menandatangani Abraham accord ini seolah melupakan Palestin dan nasib rakyat Palestin yang dilayan seperti kelas kedua di Israel. Sudah tiada kritikan ataupun permintaan secara konstruktif hak Palestin yang disuarakan.
Bahkan mereka melonjakkan lagi tahap diplomasi Arab-Israel kepada hubungan yang sangat akrab. Sampai ada duta mereka yang makan malan, tengok bola dengan ahli politik Israel. Sudah macam adik-beradik.
- Turki
Turki ada hubungan dinamik dengan Israel. Naik turun. Tarik tali.
Turki hanya mula menjalinkan hubungan dengan Palestin pada tahun 1970an, sedangkan mereka telah pun mengiktiraf Israel lebih awal pada 1949. Kekhuwatiran Turki pada masa itu ialah gerakan komunis Palestin yang bergabung dengan gerakan millitan komunis di Turki dan Syria.
Pada 1990an Turki mula aktif memperjuangkan hak Palestin di PBB, tapi masih mengekalkan hubungan baik dengan Israel. Pada tahun-tahun itu Turki bebas menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk pendidikan, hospital dan penubuhan zon industri dengan memanfaatkan hubungan baik dengan Israel. Hubungan retak setelah peristiwa Flotilla Gaza apabila Israel membunuh aktivis kemanusiaan Turki pada 2010. Pada 2011, Duta Besar Israel ke Turki diisytihar sebagai “persona non grata” dan terpaksa keluar dari Turki.
Pada 2015, barulah Turki-Israel melakukan normalisasi diplomasi. Pada 2013, Netanyahu menelefon Erdoğan dan memohon maaf atas insiden Flotilla Gaza. Dalam satu kenyataan rasmi, kerajaan Israel menyatakan kekesalan terhadap kemerosotan dalam hubungan dua hala dan menyifatkan insiden itu sebagai tidak disengajakan, dikesali dan dicemari oleh “kesilapan operasi”.
Normalisasi ini sangat minimal dan perlahan. Bahkan disebut sebagai normalisasi bersyarat. Beberapa syarat utama diletakkan antaranya Turki akan terus memberi bantuan fasaliti dan kesihatan untuk palestin melalui jalan darat dan laut Israel.
Pada 2022, kedua negara ini mencari alternatif tenaga kerana terkesan dengan perang Rusia-Ukraine. Dalam perbicangan Kerjasama Tenaga Menteri Luar Turki meyifatkan bahawa hubungan normalisasi ini “tidak sama dengan sesetengah negara lain”. Dalam masa sama rakan sejawatannya dari Israel, Yair Lapid dalam sidang media bersama dengan selamba berkata: “Kami tidak akan berpura-pura bahawa hubungan kami tidak mengalami pasang surut”. Bermakna ketidak-setujuan tidak akan mudah terpadam dengan normalisasi Israel-Turki.
Tuntasnya, setiap negara ada kepentingan negara masing-masing yang berbeza mengikut perkiraan ekonomi, keselamatan, kebudayaan dan sebagainya. Negara bertindak dengan kepentingan mereka sendiri, dan ada negara yang berpegang dengan kompas moral dan cuba mengimbanginya dengan kepentingan negara, manakala ada pula yang mendahulukan salah satu daripada yang lain.




