Penulis: Tengku Ameer Faiqal
Setelah lebih tiga dekad Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menjawat jawatan Presiden PAS sejak 2003, kita terutama masyarakat Melayu Islam Malaysia selalu ternanti-nanti buah fikir ‘bermantiq tinggi’ dari Minda Presiden PAS.
Alhamdulillah, berkat tahun baru 2026, Tuan Guru tampil dengan pandangan politik yang menarik; faham politik Islam yang lebih sederhana, berlapang dada, pragmatik dan matang, serta pengolahan semula makna Melayu-Islam yang lebih murni.
Walaupun teruja, tetapi kita perlu jujur bahawa apa yang diungkapkan itu bukanlah sesuatu yang benar-benar baharu. Sudah ramai orang silih berganti “berbuih mulut” mengungkapkan buah pandangan serupa. Namun, para sarjana dan agamawan yang sebut tentang perkara ini lazimnya dihukum, disisih dan dipinggirkan sebagai sekular, liberal, pengkhianat, atau sesat jika tidak kafir.
Sekitar Ogos tahun lepas, Sahibus Samahah Mufti Wilayah Ustaz Fauwaz Fadzil ditohmah hebat dengan pelbagai gelaran jelik oleh sebahagian penyokong PAS. Beliau dituduh sesat, melemahkan perjuangan, malah dicurigai sebagai pengkhianat terhadap Islam, hanya kerana mempertahankan satu pandangan asas dalam usul siyasah, iaitu politik ialah fiqah, bukan akidah. Pandangan tersebut hari ini seolah-olah mula diraikan apabila Tuan Guru mengakui pecahan politik bukan usul ‘agama’ tetapi furu’ agama yang perlu diraikan.
Sedih sekali, pandangan ini datang dalam keadaan yang sudah terlambat. Nasi sudah hampir jadi bubur. Implikasi Amanat Haji Hadi 1981 telah meresap dan membekas dalam ramai kalangan Melayu Islam sehingga melahirkan budaya kafir mengkafir yang cukup parah.
Isu enggan solat berjemaah di belakang imam yang berbeza parti, mempertikaikan status sembelihan dan makanan, memboikot kenduri serta memutuskan silaturrahim atas nama kesetiaan politik bukan benda dongeng, tetapi suatu realiti sejarah yang terpahat dalam memori masyarakat Melayu. Semua ini lahir daripada wacana politik Islam yang keras dan fanatik, yang dinormalisasikan atas nama perjuangan Islam.
Seruan agar Melayu Islam wajib diberikan hak memimpin negara pula membuat kita fikir sejenak: adakah ini satu isu yang benar-benar berlaku? Realitinya, orang Melayu Islam bukan sahaja diberi hak memimpin tetapi wajib memimpin. Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,, peranan Raja-raja Melayu, dan bidang kuasa pentadbiran hal ehwal orang Islam yang memberikan punca kuasa kepada pelantikan pimpinan daripada kalangan Melayu Islam.
Dominasi Melayu Islam dalam badan eksekutif dan kehakiman adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Ketua Hakim Negara Malaysia ialah seorang Melayu Islam, begitu juga sebahagian besar Hakim Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Rayuan. Dalam badan eksekutif pula, jawatan Perdana Menteri secara konvensyen politik sentiasa dipegang oleh Melayu Islam, majoriti menteri kabinet adalah Melayu Islam, begitu juga kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam termasuk Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Peguam Negara yang secara tradisinya juga datang daripada kalangan Melayu Islam.
Di peringkat negeri, institusi Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam, Majlis Agama Islam negeri, Mufti dan jabatan agama pula mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan Melayu Islam dalam ketatanegaraan. Jika kepimpinan Melayu Islam disempitkan hanya kepada jumlah kerusi Dewan Rakyat (yang Tuan Guru juga ada rekod ponteng yang cemerlang), ia perspektif yang sangat sempit, malah mengabaikan struktur negara sedia ada yang memperuntukkan banyak keistimewaan dan hak kepimpinan kepada warga Melayu Islam.
Cuma saya masih tertanya-tanya; mengapa dulu Tuan Guru segan untuk mengaku secara jelas bahawa perbezaan politik itu juga tertakluk di bawah cabang agama yang wajar diraikan, sama halnya dengan pandangan beliau tentang kepelbagaian aliran mazhab Islam e.g Asyari dan Salafi, Sunni dan Syiah etc?
Kenapa dulu beliau tidak ambil pandangan Hujjatul Islam Al-Ghazali dan Syeikh Ibrahim Al-Laqqani sebagai rujukan induk Ahli Sunnah Wal-Jama’ah yang menegaskan bahawa politik ialah isu furuk, dan bukan isu usul agama?
Kita terlalu kerugian; rugi tenaga, masa dan fikiran apabila kita terpaksa menghadap, perpecahan dan permusuhan sesama Melayu Islam akibat kesempitan dalam memahami politik Islam.
Kita rugi hampir setengah abad dengan sentimen politik agama yang tidak berfaedah dan membangun. Bukan itu sahaja, ia membentuk persepsi negatif di sisi orang bukan Islam dan mencemarkan imej Melayu Islam yang murni yang beliau sendiri ingin bawa. Ia menghambat usaha menjernihkan ‘minda terjajah’ yang menjadi mimpi ngeri tuan presiden walaupun ia lebih kepada kesan daripada punca kebobrokan pengamalan politik Islam yang sejahtera.
Kenapa sekarang baru terdetik buah minda Presiden? Kita tahu, ia sebenarnya tak lebih sekadar retorik politik klise yang cuba dimainkan untuk memikat kekasih politik lama. Ada orang kata itu sikap gila talak, bak kata pepatah Melayu. Ia timbul dalam dek kerana sikap oportunis untuk membentuk naratif baharu bagi PRU akan datang.
Hakikatnya, orang Melayu tidak mudah lupa kepada sejarah gelap PAS dengan UMNO-BN sewaktu Muafakat Nasional, begitu juga PAS dengan Pakatan Rakyat, juga PAS dengan mandat rakyat melalui Langkah Sheraton; janji yang dimungkiri, kepercayaan yang dikhianati, serta sikap talam dua muka yang mudah bertukar kawan dan lawan.
Pun begitu, kita boleh bersetuju dengan Tuan Guru dalam satu perkara yang penting, iaitu keperluan membebaskan bangsa Melayu Islam daripada kejahilan. Ini termasuklah kejahilan politik Islam yang ekstrem, populis dan simplistik.
Kejahilan yang bermudah melabel Perlembagaan sebagai kufur (kemudian orang yang sama bersumpah pula untuk mempertahankan Perlembagaan ketika di Parlimen), serta memecah-belahkan masyarakat Melayu Islam berdasarkan kesetiaan politik, tetapi pada waktu yang sama menikmati gaji dan elaun wakil rakyat dan (bekas) menteri kabinet yang beribu-raban daripada institusi yang dihukum ‘taghut’.
Untuk membasmi kejahilan umat Melayu-Islam, Tuan Guru perlu akui fiqh politik Islam yang wasatiyyah (sederhana), harmoni dan madani (berkiblat ‘umran / pembangunan peradaban), pengolahan konsep Melayu Islam yang menghargai kewujudan bersama dan kemajmukan Malaysia itu ialah satu keperluan mendesak masa kini. Beliau juga perlu mengaku silap ijtihad politik lampau yang merugikan, dan berusaha membaiki kesannya sementara hayat dikandung badan.
Jika yang demikian itu kehendak beliau sempena azam tahun baru 2026, maka: tahniah Tuan Guru Presiden PAS!




