Penulis: Amirul Mukminin
Dasar luar Malaysia tidak statik. Banyak sekali pusingan-pusingan di persimpangan penting yang diambil oleh pimpinan negara, terutamanya Perdana Menteri dan Menteri Luar.
Tentunya dasar luar Malaysia sangat dipengaruhi persekitaran cuaca geopolitik semasa dan juga faktor dalaman negara. Tetapi faktor dalaman negara selalunya memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan bagaimana dasar luar negara dibentuk dan berinteraksi dengan cuaca geopolitik antarabangsa. Tentunya faktor dalaman itu ialah kepimpinan semasa.
Sebagai contoh semasa awal kemerdekaan, Malaysia sangat cenderung kepada kuasa barat yang mengetuai blok demokrasi liberal menentang pengaruh komunis yang merebak ke seluruh dunia. Berkat usaha sama ini kita menang dalam konfrontasi dan berjaya meredakan pengaruh komunisme dalam negara. Tunku Abdul Rahman yang mengetuai negara ketika itu juga berlatarkan pendidikan Inggeris.
Tun Razak yang pernah menjadi ahli Parti Buruh British bukan sahaja memfokuskan konsep negara kebajikan dengan memperkukuhkan kaum petani, beliau juga mula berdamai dengan China setelah lama Malaysia begitu cenderung pada Barat.
Mahathir kemudian pula muncul dengan postur anti-barat dan mengembeleng tenaga negara-negara “Global South”, dan mula memposisikan Malaysia selaku barisan hadapan dalam memimpin negara-negara Muslim di persada antarabangsa.
Kemunculan PMX sudah tentu datang dengan membawa gaya dan tarikannya yang tersendiri melalui karisma dan profil yang sekian lama dibina oleh beliau sebagai Muslim Demokrat.
Pada tahun 1996/1997 beliau diberi gelaran sebagai Menteri Kewangan Terbaik oleh beberapa majalah kewangan antarabangsa, sebelum kemudiannya berjaya memberi laluan kepada dual-party system dalam demokrasi Malaysia pasca-1999.
Anwar Ibrahim juga merupakan pengasas bersama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) di Amerika Syarikat. Punya hubungan rapat dengan beberapa pemimpin dunia luar terutama dengan Indonesia seperti BJ Habibie, Amerika seperti Mantan Naib Presiden AS Al Gore, Tayyip Erdogan dan sebagainya. Beliau juga dikenali dengan keaktifan beliau dalam intelektualisme dan sempat menjadi pengajar jemputan di Georgetown University pada tahun 2005-2006.
Jadi kita dapat lihat personaliti Anwar menjadi daya tarikan utama dalam diplomasi Malaysia apabila sebaik sahaja beliau rasmi menjawat takhta di Seri Perdana, bertalu-talu ucapan tahniah diterima, sama ada melalui panggilan telefon seperti Presiden Turkiye Erdogan, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, mahupun melalui perutusan surat seperti dari Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, atau melalui media sosial dan laman web seperti dari Perdana Menteri India, Narendra Modi, Presiden Indonesia, Joko Widodo, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Presiden Amerika Joe Biden.
Setelah itu, PMX menyibukkan dirinya dalam 100 hari pertama beberapa lawatan diplomasi. Hanya empat hari selepas mengangkat sumpah jawatan, Anwar menerima lawatan Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei yang tiba di Malaysia pada 28 November. Sepuluh hari kemudian, beliau menerima Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prawit Wongsuwan (8 Dis); dan empat hari selepas itu, beliau menerima kunjung hormat Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta (12 Dis). Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier pula hadir pada 17 Feb.
Tanpa membuang masa dalam memenuhi tradisi diplomasi, Anwar mengadakan lawatan rasmi kepada jiran terdekat, bermula dengan Indonesia, diikuti Brunei, Singapura, Thailand dan baru-baru ini, Filipina.
Dasar luar kerajaan Madani
Pada 19 Januari Anwar mengumumkan konsep Malaysia Madani. Sebuah konsep yang bukan sahaja akan menjadi rangka kerja dasar ekonomi dan dasar-dasar dalam negara, bahkan akan menjadi sebuah kerangka dasar luar negara yang akan cuba diprojeksikan dalam diplomasi Malaysia.
Dan sudah tentunya dengan harapan akan didakap oleh masyarakat umum di Malaysia, cuma malang sekali belum ada sebuah usaha keras untuk ‘memadanikan’ masyarakat dan rakyat Malaysia setakat ini.
Dalam temu bual khas RTM perihal dasar luar & kestabilan negara bersama Menteri Luar Negeri Senator Zambry Abd. Kadir, beliau menyatakan dalam siri lawatan dan penerimaan kunjungan pemimpin dunia, karisma Anwar memainkan peranan utama dalam seni diplomasi Malaysia yang baharu dan memberikan sebuah hubungan baharu antara pemimpin negara. Beberapa pemimpin dunia turut memberi julukan internationalist kepada Anwar. Internationalist membawa maksud seseorang yang berprinsip secara diplomatik dan percaya bahawa negara harus bekerjasama dan cuba memahami antara satu sama lain.
Namun, karisma dan personaliti Anwar tentunya belum cukup gagah untuk memposisikan semula Malaysia di arena Hubungan Antarabangsa. Sejak krisis 1MDB yang telah mencalarkan kuasa lunak (soft power) Malaysia, banyak sekali insiden Malaysia berada dalam keadaan getir terutama disebabkan rasuah dan pengurusan dalaman aset strategik negara yang mengheret kepada permasalahan ekonomi.
Kerajaan Malaysia juga sedang memperbaiki ini dengan menggunakan diplomasi sebagai mekanisme dan wasilah untuk memperbaiki bukan sekadar imej Malaysia di peringkat antarabangsa tetapi juga untuk memperbaiki ekonomi dan masalah domestik.
Selain itu, konsep Madani juga cuba digunakan sebagai projektori kuasa oleh Malaysia. Bagaimana ia sedang dilaksanakan? Akan dianalisis dalam siri seterusnya.




