Search
Close this search box.

Hasan Nasrallah: Wira atau Penjahat?

Penulis: Amirul Mukminin


Tatkala dunia dikejutkan dengan pembunuhan Setiausaha Agung Hezbollah Hasan Nasrallah, sebahagian Muslim di terutama di Barat Laut Syria dan pelarian di Turki serta Eropah meraikannya secara besar-besaran. Di sosial media dan pemberita Netizen telah memuat naik video orang ramai berhimpun, saling memberi manisan Baklava sambil berjoget dan menjerit kegembiraan.


Hasan Nasrallah antara Wira atau Penjahat


Nasrallah telah menjawat jawatan tertinggi dalam Hezbollah secara politik dan mengawal ketenteraan Hezbollah sejak 1992. Hezbollah merupakan sebuah parti politik di Lubnan yang mempunyai sayap militan dan berideologi Syiah. Mereka mempunyai hubungan rapat dengan Iran serta banyak kali terlibat dengan peperangan sempadan dengan Israel.


Di bawah kepimpinan Nasrallah, keupayaan Hezbollah meningkat dengan memperoleh teknologi roket jarak jauh yang membolehkan mereka menyerang utara Israel. Israel, selepas mengalami kerugian besar semasa pendudukan selama 18 tahun di Selatan Lubnan, menarik balik pasukan tenteranya pada tahun 2000, yang secara signifikan meningkatkan kekuatan dan populariti Hezbollah di rantau Asia Tengah khasnya dan dunia Islam amnya. Dibawah Nasralllah juga Hezbollah berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam politik domestik Lubnan. Kejayaan demi kejayaan ini telah membina imej Nasrallah sebagai seorang pemimpin yang karismatik di dunia Islam.


Walaupun Hezbollah dikritik kerana melakukan serangan hendap terhadap unit rondaan sempadan Israel yang menyebabkan tercetusnya Perang Lubnan 2006, Nasrallah berjaya memenangi perang itu dan menggambarkan kejayaan itu sebagai kemenangan bagi Lubnan dan dunia Arab.


Lubnan mempunyai kurang lebih 30% Sunni dan 27-30% Shia, 30% Kristian (dari pelbagai aliran) yang secara relatifnya hidup aman. Hezbollah pula menjadi sekutu dalam kerajaan Lubnan dengan bersama dengan pelbagai parti.


Manakala di belahan lain pula, Hezbollah tidaklah begitu ‘wira’. Mereka memain peranan besar dalam perang proksi di Syria. Mereka telah terlibat dalam Perang Syria terutamanya untuk menyokong rejim Bashar Assad.


Di bahagian barat laut Syria, terutamanya di kawasan seperti Aleppo dan Idlib, Hezbollah memainkan peranan penting dalam banyak pertempuran utama.

Penglibatan mereka boleh diringkaskan seperti berikut:

  1. Sokongan kepada Kerajaan Syria: Hezbollah telah menjadi sekutu teguh Presiden Syria, Bashar al-Assad. Mereka telah memberikan bantuan ketenteraan kepada Tentera Arab Syria (SAA) dan pasukan pro-rejim lain di barat laut Syria, dengan tujuan untuk mendapatkan semula wilayah daripada kumpulan pemberontak dan faksi Islamis, termasuk Tahrir al-Sham (pro ISIS) , Free Syrian Army (didokong oleh Turki) dan pelbagai pasukan pembangkang lain.
  2. Pertempuran dan Pengepungan besar-besaran: Hezbollah mengambil bahagian dalam beberapa pertempuran besar di barat laut Syria. Salah satu yang paling penting ialah Pertempuran Aleppo (2012–2016), di mana pejuang Hezbollah memainkan peranan penting dalam membantu pasukan Assad merampas kembali bandar itu daripada kawalan pemberontak. Mereka menyediakan pasukan darat, risikan, dan sokongan logistik.
  3. Perlindungan Tempat Suci Syiah: Salah satu alasan yang dinyatakan oleh Hezbollah untuk campur tangan di Syria adalah untuk melindungi tapak suci kumpulan Syiah, seperti Makam Sayyidah Zaynab di Damsyik. Walau bagaimanapun, di rantau barat laut, penglibatan Hezbollah lebih selaras dengan matlamat strategik yang lebih luas, seperti mengamankan wilayah untuk Assad dan melawan kumpulan pemberontakan pembangkang.
  4. Penyelarasan dengan Iran: Kehadiran Hezbollah di barat laut Syria juga merupakan sebahagian daripada strategi Iran yang lebih besar di rantau ini. Iran, sebagai penaja utama Hezbollah, telah terlibat secara mendalam dalam konflik itu, mengerahkan pasukan sendiri dan militan seperti Hezbollah untuk memperkuatkan kerajaan Assad. Di barat laut Syria, Hezbollah berkoordinasi rapat dengan pasukan dan penasihat Iran, serta sokongan ketenteraan Rusia.
  5. Peranann di Idlib: Walaupun Idlib sebahagian besarnya masih di bawah kawalan pelbagai kumpulan pemberontak dan jihad, Hezbollah telah terlibat dalam serangan sporadik di rantau ini, terutamanya semasa kempen besar-besaran oleh kerajaan Syria untuk menawan kembali wilayah tersebut. Idlib adalah kubu kuat terakhir pasukan pembangkang di Syria, dan penglibatan Hezbollah dalam pertempuran di sana adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menyatukan kawalan Assad ke atas Syria.
  6. Aktiviti Hezbollah di barat laut Syria membuktikan bukan sahaja sebagai entiti Lubnan tetapi sebagai sebahagian daripada proksi penentangan yang lebih luas yang diketuai oleh Iran, dengan tujuan untuk mengekalkan pengaruh dan kawalan di rantau ini melalui sokongan kepada kerajaan dan gerakan sekutu.

Hezbollah dan tuduhan jenayah perang


Menurut beberapa sumber terutama dari pasukan pembangkang Syria, terdapat beberapa kes yang dicatatkan terkait dengan operasi oleh Hezbollah:


• Al-Qusayr: Pada Mei dan Jun 2013, militia Hezbollah bekerjasama dengan tentera rejim Assad untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam menyasarkan kepada mereka yang cuba melarikan diri dari bandar itu, yang dikepung oleh militia.
• Al-Husseiniyyah & Al-Dhiyabiyah: Pada Oktober 2013, serangan oleh tentera Hezbollah dan Assad mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai kira-kira 130 orang awam.
• Al-Zabadani : Pengepungan tentera Hezbollah dan Assad menyebabkan kematian 350 orang awam akibat kebuluran dan kekurangan bekalan perubatan.
• Darayya: 20 – 25 Ogos 2012, Hezbollah dan tentera rejim membunuh sekurang-kurangnya 700 orang awam di Darayya.
• Aleppo Timur: Semasa pengepungan Aleppo Timur, tentera Hezbollah dan Assad, dengan sokongan udara dari Rusia, membunuh beribu-ribu orang awam, termasuk ratusan kanak-kanak.

Wira atau Penjahat?


Kes-kes di atas merupakan sebahagian daripada pertuduhan yang mengaitkan penglibatan Hezbollah dalam jenayah perang. Apakah benar atau tidak? Belum dibuktikan. Namun kehadiran Hezbollah memang meruncingkan lagi keadaan di Syria pada perang lalu. Walaupun perang itu bukanlah disebabkan perang mazhab seperti yang cuba dipropagandakan oleh Barat, regim wahabi Saudi, dan ISIS namun kehadiran militia Syiah memang menegangkan lagi sentimen mazhab dan menyebabkan banyak pelarian dan kematian yang kejam.


Semua ini tentulah dituding kepada pimpinan tertinggi Hezbollah terutama ikon utama mereka, Hasan Nasrallah sebagai pemutus dasar dan pembuat keputusan.


Di satu sudut Nasrallah ialah satu-satunya pimpinan Arab yang berani berperang dengan regim Israel yang serba canggih. Bukan sekali tapi berkali-kali. Bukan sikit tetapi besar-besaran sehingga akhirnya dia sendiri terbunuh. Nasrallah merupakan antara watak terpenting bersama Iran dengan jenama Blok Perlawanan atau Axis of Resistance.


Blok Syiah memang dilihat lebih keras, dan konsisten dalam perlawanan dengan Israel. Sehinggakan Ahmad Raisuni, tokoh Fiqh Siyasah Sunni dari Maghribi mengakui kumpulan Syiah (negara dan militan) terbukti lebih banyak membantu perjuangan Palestin berbanding umat Sunni sendiri.


Pandangan peribadi saya, kita harus akui bahawa peperangan ialah satu perkara yang kompleks. Di satu waktu Hasan Nasrallah ialah wira, manakala di waktu lain dia dilihat seekor Iblis yang dahagakan darah.

Tiada yang sepenuhnya suci dan tiada yang sepenuhnya kotor. Itulah politik dan geopolitik.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *