Penulis: Dr Sahul HM
Selangor, negeri terkaya dan termaju di Malaysia. Selangor ialah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya. Di Selangorlah terletaknya ibu negara Kuala Lumpur, yang terkepung segenap sempadannya dengan daerah-daerah negeri Selangor. Malah, Kuala Lumpur itu sendiri ialah tanah milik Selangor sebelum dipindah milik kepada Persekutuan pada tahun 1974. Unik, nostalgik dan ikoniknya Selangor ini kerana sesiapa sahaja yang ingin ke ibu negara Malaysia pasti tidak terlepas daripada memasuki negeri ini, walau melalui jalan mana sekalipun. Jalan darat, udara atau air untuk ke Kuala Lumpur, pasti menempuh Selangor. Bahkan, sebilangan besar keluarga warga Malaysia ini mempunyai waris yang tinggal dan bekerja di Selangor sehingga apa-apa sahaja perkembangan yang berlaku di Selangor ini akan memberikan kesan kepada Malaysia secara keseluruhannya.
Malah kini, selepas pengorbanan tanah Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan melalui perjanjian pada tahun 1995, Selangor menjadi lebih penting, kerana seperti Kuala Lumpur, Putrajaya juga tidak boleh diakses tanpa melalui sempadan Selangor. Di Putrajaya juga berhimpunnya anak segala negeri dari seluruh Malaysia, yang tinggal merata, berselerak di sempadan Selangor.
Inilah negerinya yang sentiasa menjadi rebutan dan sasaran parti politik untuk dikuasai dalam pilihanraya. Menguasai Selangor ibarat menguasai sebahagian daripada negara Malaysia, walaupun kerajaan pusat tidak dikuasai. Begitulah keadaannya bagi parti Pakatan Harapan (PH), kini, yang menguasai Selangor sejak tahun 2008, melalui kerjasama dalam gabungan Pakatan Rakyat. Kerajaan pusat tidak dikuasai, tetapi kerajaan negeri dikuasainya sehingga kini.
Menguasai politik Malaysia tanpa kuasa terhadap Selangor ibarat makan gulai ayam tanpa garam. Kenyang, tapi sekadar mengisi perut, tak sedap dan tak puas. Masakan tidak, Seri Perdana yang didiami oleh Perdana Menteri terletak di tengah Selangor, bangunan Parlimennya dikepung Selangor dan segala ‘mak nenek’ industri yang menjadi punca pendapatan besar untuk negara ada di Selangor. Pendapatan negerinya berjumlah lebih RM 2 bilion pada 2021. Zakatnya sahaja berjumlah RM992 juta pada 2021, tertinggi antara negeri lain di Malaysia.
Tidak pantas bagi sesebuah kerajaan yang menguasai kerajaan pusat tidak menguasai kerajaan negeri Selangor. Oleh yang demikian, menjelang pilihanraya negeri (PRN) yang akan tiba tak lama lagi, pastinya Selangor menjadi tumpuan utama untuk dipertahankan oleh PH yang menjadi kerajaan pusat hari ini, dengan tekanan yang memuncak daripada blok Perikatan Nasional (PN).
Sehingga beberapa hari yang lepas, PN, khususnya parti Bersatu misalnya sedang memikirkan secara serius untuk menamakan calon Menteri Besar daripada parti tersebut. Bekas Pengerusi UMNO Negeri Selangor, TS Noh Omar pula dilaporkan berkata bahawa UMNO, yang kini merupakan sekutu politik PH, akan mengalami kekalahan di banyak kerusi tradisinya di Selangor dalam PRN akan datang. Ini bermakna keyakinan PN adalah tinggi bahawa momentum sokongan orang Melayu masih kekal seperti waktu PRU-15 dan akan terus melanda negeri Selangor pada PRN ini.
Pastinya keyakinan ini bukanlah omong kosong yang bisa diperlekehkan oleh kerajaan negeri Selangor yang mentadbir hari ini di bawah pimpinan DS Amirudin Shaari. Meskipun Selangor masih menerajui kemajuan dan pertumbuhan ekonomi di bawah PH, kebangkitan PN tidak boleh dipandang enteng.
Ia ditambah pula dengan hasil kajian Prof. Bridget Welsh baru-baru ini yang menyimpulkan bahawa kekuatan PN bukan hanya kerana magnitud belanja pilihanrayanya, tetapi adalah atas personaliti TS Mahiadin Yasin sendiri melalui jenama ‘Abah’ yang dikira berjaya menyentuh hati orang Melayu-Islam dalam pilihanraya umum yang lalu.
Walaupun ‘Abah’ sudah diheret ke mahkamah, manipulasi emosi dengan menggunakan alasan ‘pendakwaan terpilih’ dijangka tidak sedikit kesannya terhadap orang Melayu-Islam yang memang dikenali sebagai bangsa yang mudah tersentuh dan mudah disantuni.
Untaian kata-kata, hujanan bujukan dan lambakan maklumat yang meruntun emosi boleh sahaja membuai perasaan orang Melayu-Islam untuk memangkah PN, dan mengetepikan gabungan PH-UMNO dalam PRN akan datang. Oleh itu, bagi PH-UMNO, pilihan yang ada ialah melawan naratif tersebut dengan menggunakan pendekatan pembujukan yang sama.
Maksudnya di sini bukanlah dengan ledakan propaganda yang memanipulasi emosi semata-mata, tetapi dengan melambakkan dan menyebarluaskan fakta dan kebenaran berkaitan pencapaian dan kejayaan kerajaan negeri Selangor di bawah PH selama ini.
Emosi boleh dilawan dengan fakta, tetapi cara penyampaiannya juga harus bijak dan halus.
Terlalu banyak inisiatif yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang memberikan manfaat kepada anak negeri Selangor. Iltizam Selangor Penyayang, yang menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat, serta Skim Insuran Hayat Selangor perlu diuar-uarkan manfaat dan kejayaannya. Kemudian, bonus dua bulan setengah kepada kakitangan kerajaan negeri perlu dihebahkan. Mana pernah dalam sejarah pemberian bonus kakitangan di negara ini mencapai dua bulan setengah? Ini satu pencapaian yang besar. Tapi pencapaian yang besar, jika tidak dihebahkan, orang tak tahu dan orang tak peduli.
Selain itu, apakah slogan pilihanraya yang bakal dilancarkan oleh PH Selangor untuk mempertahankan kerajaannya bagi menghadapi hunjaman PN BeSt? Kita Boleh, itu sahaja?
Masa sangat suntuk. Jika Selangor ingin dikekalkan di bawah pentadbiran PH, yang bakal berkongsi kuasa dengan UMNO selepas ini, maka langkah segera berkaitan gerak kerja publisiti perlu dilancarkan dan digandakan. Dengan keupayaan kewangan dan aparatus yang dimiliki oleh negeri Selangor, tiada yang mustahil untuk dilakukan. Hanya sanya yang menghalangnya ialah keazaman.




